Wednesday, February 1, 2012

Warga UTeM digalak sumbang idea pembangunan


Pelajar UTeM, (dari kiri) Norezmi Md. Jamal, Nurul Atiqah Mohd. Lazim, Nurul Salehah Abd. Wahab dan Nur Safiah Akmala Ramdab menunjukkan laman web baru universiti itu selepas majlis pelancarannya di Durian Tunggal, Melaka semalam.


MELAKA 31 Jan. - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menggalakkan sumbangan idea dan cadangan berimpak positif dari kalangan warganya dalam memastikan pertumbuhan pembangunan universiti itu sentiasa seiring dengan peredaran semasa biarpun terpaksa berdepan dengan kekangan kewangan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, kekangan kewangan yang dihadapi oleh UTeM bukan alasan untuk tidak melakukan perubahan kerana ia seharusnya dipandang sebagai cabaran.

"Memang bajet agak terhad tetapi kita dianjurkan untuk perkemaskan program-program sedia ada yang sedang berjalan. Justeru itu, semakan serius untuk perkecilkan aspek yang tidak berkaitan perlu dilakukan untuk memberi laluan kepada agenda utama.

"Bajet untuk pembangunan tidak begitu banyak, sebab itu ia terpaksa ditangguhkan. Namun UTeM sudah peruntukkan perbelanjaan untuk pengukuhan program sedia ada dan merangka sesuatu yang baru berkos rendah yang boleh mencetus impak besar serta menonjolkan UTeM ke peringkat lebih tinggi.

"Ini cabaran kita dari segi kewangan. Seharusnya kita lihat cabaran ini sebagai peluang untuk meneroka idea baru dan melihat semua perkara sebagai peluang untuk bertindak," katanya pada Majlis Perutusan Naib Canselor 2012 dan pelancaran wajah baru Portal UTeM di kampus induk UTeM di sini hari ini.

Menurut Ahmad Yusoff, majlis perutusan yang menjadi acara tahunan UTeM amat penting dalam menyampaikan matlamat serta membentuk minda dalam kalangan warganya.

Katanya, UTeM pada tahun ini bertekad merancang usaha yang lebih berdaya saing terutama dalam mengarusperdanakan pendidikan teknikal secara bersepadu.

Justeru katanya, beberapa langkah strategik diadakan melibatkan projek baru UTeM pada tahun ini termasuk pembangunan imej dan penjenamaan dengan bakal memperkenalkan logo baru UTeM yang akan digunapakai dalam semua peringkat, 10 program Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Pusat Kecemerlangan Industri (iCOE) dan pelan jangka panjang UTem dan UTeM Holding.

Dalam pada itu kata Ahmad Yusoff, UTeM yang kini mempunyai lebih 9,000 penuntut dari dalam dan luar negara bakal mempunyai kolej kediaman pelajar dalam kampus berkapasiti 1,000 orang menjelang Ogos ini.

Katanya, sehingga kini hanya 90 peratus penuntut di universiti itu disediakan kemudahan tempat tinggal di kawasan perumahan berhampiran.

"Akan datang kediaman yang bakal menempatkan lebih 3,000 penuntut akan dibina dan kini dalam proses akhir perancangan.

"Sepatutnya projek yang sudah diluluskan itu sudah boleh dibina, namun pembinaannya terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu kerana beberapa masalah dari pihak kontraktor," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: