Saturday, February 4, 2012

Kecut perut di lereng gunung


SEBAHAGIAN anggota rombongan tidak melepaskan peluang bergambar dengan anggota tentera India yang bertugas.


GULMARG merupakan kawasan pergunungan yang mesti dilawati jika anda berada di Kashmir. Terletak kira 4,000 meter dari paras laut, kawasan pergunungan India Utara tersebut dipenuhi pokok fir sepanjang perjalanan mendaki kaki gunung.

Bas yang membawa 16 orang ahli rombongan berlepas dari bandar Srinagar pada awal pagi yang amat sejuk.

Di sepanjang perjalanan selama dua jam itu, pandangan mata disajikan suasana perkampungan yang rata-ratanya penduduknya menanam padi. Bentuk rumah di sekitar Kashmir amat unik kerana ia dibina mengikut kesesuaian cuaca. Kebanyakannya ialah rumah dua tingkat dan mirip binaan kotej yang terdapat di Ireland dan Switzerland.

Dalam asyik menikmati pemandangan, bas rombongan kami tiba-tiba berhenti di tepi jalan dan pemandu pelancong bergegas turun. Sudah menjadi kebiasaan, semua bas ataupun kereta pelancong akan ditahan tentera India untuk pemeriksaan, dan untuk menerima 'wang sagu hati'. Maka, tidak hairanlah jika setiap kereta tentera yang membuat pemeriksaan akan berada di belakang dan bukannya di hadapan bas!

Sejurus meneruskan perjalanan, saya melihat keindahan pekan-pekan kecil termasuk deretan kedai runcit yang menjual pelbagai keperluan harian. Suatu perkara yang jelas, kelibat kaum wanita di tepi-tepi jalan sangat sukar ditemui. Itu adalah senario biasa di sana.

Sedang saya mengelamun, sekali lagi bas diberhentikan. Pemandu pelancong kami turun sekali lagi. Saya sangkakan pemeriksaan hanya berlaku sekali, tetapi tidak!

Ketika bas yang kami 'mendaki' kaki gunung, jalannya semakin mengecil, berliku-liku dan tiada pembahagi jalan. Di tebing jalan yang curam juga tidak ada tembok penghadang. Kecut perut dibuatnya apabila melihat pemandangan bawah dari tingkap bas dari paras ketinggian tertentu.

Musim luruh

Pemandangan semakin cantik dengan warna dedaun pepohon di gunung yang semakin menguning sebagai tanda musim luruh bakal tiba.

Sekali lagi bas kami ditahan dan perkara yang sama diulangi, 'wang sagu hati' dan pemeriksaan permit bas pelancong dilakukan.


PENULIS tidak melepaskan kesempatan bergambar kenang-kenangan di puncak Gulmarg yang berlatarbelakangkan banjaran Himalaya.


Kemudian kami berhenti sebentar di sebuah pekan kecil untuk berehat. Di situ, kami sempat membeli air kopi panas yang dijual di situ. Di sekeliling bas, ramai peniaga kain dan selendang mengerumuni kami. Sesi tawar-menawar pun berlaku hingga harga selendang besar dijual pada harga sekitar RM14 sahaja. Bayangkan!

Di perhentian itu juga kami mencari tandas. Tapi, setelah ditunjukkan tandas awam di situ, kami membatalkan niat untuk membuang air kecil lantaran keadaannya yang teruk.

Akhirnya, kami dicadang oleh pemandu pelancong melepaskan hajat kami di sebuah restoran. Tandas awam untuk lelaki dibina secara terbuka tanpa pintu dengan orang ramai lalu-lalang dan beristirehat di sekitarnya!

Bas meneruskan 'pendakian' menyusuri jalan naik ke kaki gunung. Sayup kelihatan landskap gunung-gunang dari dalam bas.

Stesen gondola

Setelah dua jam kami sampai di Gulmarg. Penumpang harus turun dan berjalan kaki atau menunggang kuda sejauh 1.5 kilometer untuk menuju ke stesen gondola.

Bayaran upah untuk menunggang kuda ialah RM14 sehala. Kami mengambil keputusan berjalan kaki sahaja, memandangkan cuaca yang dingin dan tidak panas. Di kawasan itulah terletaknya sebuah lapangan golf yang paling tinggi di dunia.

Di stesen gondola pertama, setiap orang dikenakan bayaran RM49 untuk naik hingga ke puncak. Setiap gondola boleh memuatkan enam penumpang.

Kebetulan, stesen sangat sesak dengan pengunjung sewaktu kami tiba di stesen itu. Tidak mahu membiarkan kami menunggu sehingga berjam-jam lamanya, pemandu pelancong kami mendapat satu helah. Dia menyuruh kami berkumpul dan berbaris di bahagian depan pintu pemeriksaan untuk memotong barisan.

Memandangkan kami ialah satu-satunya kumpulan berbangsa asing ketika itu, jadi pelancong tempatan yang datang dari serata India hanya mendiamkan diri.

Di fikiran mereka, mungkin kami mendapat hak keistimewaan daripada pihak berkuasa untuk memotong barisan yang panjang. Lucu sungguh!

Saat gondola yang kami naiki menuju ke stesen kedua, kami dihidangkan dengan pemandangan perkampungan yang begitu mempesonakan di kaki gunung.

Setibanya di stesen kedua, kami terpaksa turun dan kemudian beratur semula untuk menaiki gondola seterusnya untuk ke puncak. Sudut gerakan gondola semakin menaik secara menegak. Ketika itu, salji yang melitupi batuan gunung sudah mula kelihatan.

Salji memutih

Sejurus tiba di stesen puncak, kami keluar dari gondola lalu dikejutkan panorama banjaran Himalaya yang memutih keseluruhan puncaknya di hadapan kami.

Suhu di puncak ketika itu ialah sekitar 10 darjah Celsius. Kepala kami semakin pening akibat paras oksigen yang tipis. Pergerakan juga tidak boleh dilakukan dengan aktif. Terasa mahu pitam dibuatnya dalam keadaan itu.

Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak tahan dengan altitud sedemikian dinasihatkan hanya ke stesen kedua sahaja.

Jika musim sejuk pada Disember hingga Februari, kawasan pergunungan ini dijadikan kawasan bermain ski kerana keseluruhan tanah dan batuan yang ada di Gulmarg menjadi putih diliputi salji dan ais.

Menurut pemandu pelancong kami, Gulmarg menjadi tarikan pelancong India bahagian selatan bila tiba musim salji. Gulmarg adalah kemuncak kedua tertinggi di dunia untuk bermain ski selepas Switzerland.

Cenderamata


KERETA dan bas pelancong sering menjadi sasaran pemeriksaan oleh tentera India untuk mendapatkan 'wang sagu hati'.


Bercerita tentang bandar Srinagar, pastinya ia menjanjikan pelbagai cenderamata yang murah untuk dibawa pulang.

Seperti di bandar-bandar India lainnya, Srinagar juga mempunyai kain khasnya. Selain dijual murah di New Delhi, kain ela sepasang baju yang diperbuat daripada kapas dengan pelbagai motif dijual dari harga RM10 untuk sehinggalah RM50.

Buah delima yang banyak dijual pada September hingga November dijual hanya pada harga RM4 sekilogram. Selain itu Kahsmir juga kaya dengan walnut dan badam, ia dijual pada harga yang murah sekali.

Begitu juga dengan selendang sutera, kain kapas yang lembut dan halus buatannya. Di bandar Srinagar juga anda boleh membeli bermacam-macam cenderahati lain seperti tempat gantung kunci yang diperbuat daripada kayu, rantai batu pelbagai bentuk, cadar, alas meja, kain sulam dan batu-batu permata.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: