Saturday, February 4, 2012

Saksi pendaratan pelarian Vietnam



BERKELUASAN 10 hektar persegi, Pulau Galang yang terletak di Kepulauan Riau, Indonesia mempunyai struktur geografi berbukit-bukau dan diliputi hutan. Ia pernah menjadi tempat pelarian Vietnam mencari perlindungan ketika meletusnya Perang Vietnam pada tahun 70-an dahulu.

Berbeza dengan kem pelarian di Pulau Bidong, Terengganu yang dipelihara untuk ditonton oleh orang ramai, suasana di Pulau Galang sangat berbeza jika dibuat perbandingan.

Selepas lebih sedekad mereka meninggalkan kem tersebut, keadaan di pulau tersebut lengang dan hampir kesemua bangunan di situ terbiar tanpa penjagaan melainkan sebuah pagoda yang terletak di puncak Bukit Teratai.

Itupun disebabkan terdapat penduduk Pulau Batam beragama Buddha yang masih lagi menggunakan premis ibadat tersebut sehingga kini.

Bangunan lain pula, keadaannya begitu buruk dan kusam lantaran terdedah pada hujan dan panas. Ia bagaikan menanti untuk rebah ke bumi di kawasan yang dipenuhi semak-samun.

Seperti yang diungkapkan oleh pemandu pelancong, Yuli Fitria Sitompul kepada ahli rombongan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), memang tiada sebarang usaha untuk memulihara tempat tersebut oleh pihak pemerintah untuk dijadikan sebagai produk pelancongan.

Satu-satunya pembangunan yang dibuat adalah sistem jalan raya dengan pembinaan rangkaian Jambatan Balerang yang terdiri daripada enam buah jambatan yang menghubungkan pulau paling besar di Pulau Batam ke pulau sekitarnya.

Namun, pembangunan sistem jaringan jalan raya oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Industri Batam (BIDA) itu bertujuan untuk menjana potensi Batam sebagai kawasan perindustrian yang berdaya saing di Indonesia.

Bangunan usang

Jika dilihat dengan teliti, sebenarnya kemudahan di kem pelarian itu hampir lengkap. Terdapat kawasan perkuburan Kristian dan bangunan-bangunan penting lain seperti gereja serta hospital.


PETA menunjukkan kedudukan Batam yang terletak berdekatan dengan negeri Johor.


Bagaimanapun, semua bangunan tersebut perlu diperkenalkan oleh Yuli terlebih dahulu kerana tiada sebarang papan tanda menunjukkan fungsi premis.

Selepas menyusuri laluan sempit yang hanya muat sebuah kenderaan pada satu-satu masa, kelihatan tiga buah bot besar terdampar di suatu kawasan lapang.

Berwarna biru, dua daripada bot tersebut masih lagi dalam keadaan baik manakala sebuah lagi sudahpun repuit dan terhakis fizikal asalnya.

Menurut Yuli, bot-bot tersebut suatu ketika dahulu digunakan oleh pelarian Vietnam ke Pulau Galang dan ia tidak dimusnahkan sebagai tanda peringatan pendaratan mereka di Indonesia.

Pelarian yang tinggal di situ berjumlah hampir 20,000 orang dan telah mendiami Pulau Galang dari tahun pendaratan, 1970-an, sehingga 1995. Jumlah tersebut tidak termasuk bilangan pelarian di pulau-pulau lain di sekitarnya.

“Mereka yang mendarat di sini adalah terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, pegawai kerajaan dan jurutera,” terang Yuli kepada Kosmo!.

Sepanjang berada di pulau itu, perbelanjaan mereka seperti makanan harian dan perubatan telah ditanggung sepenuhnya oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pelarian Vietnam atau lebih dikenali sebagai orang hanyut itu, kini telahpun menetap di negara ketiga seperti Amerika Syarikat dan Australia dan kumpulan terakhir meninggalkan pulau tersebut pada tahun 1995.

Saki-baki kesan sistem perpaipan untuk bekalan air ke kem pelarian juga masih lagi boleh dilihat dengan jelas di sepanjang jalan dari pintu masuk dan mengelilingi kem tersebut.

Berhantu

Sepanjang perjalanan yang singkat dan memakan masa lebih kurang sejam itu, tidak ada satupun struktur yang boleh dikatakan sebagai tempat kediaman orang hanyut.

Yuli ada memberi gambaran tempat tinggal mereka. Menurutnya, kediaman mereka begitu teruk sehingga menyamakan tempat tersebut seperti sebuah reban ayam.

Apabila diminta untuk menunjukkan kawasan tersebut, dia menolak untuk berbuat begitu. Khabar angin mengatakan bahawa kem pelarian Pulau Galang agak ‘keras’. Waktu itu, jarum jam menunjukkan pukul 6 petang dan matahari sudah mula terbenam.


SEMUA wajah pelarian Vietnam yang menghuni Pulau Galang, Indonesia diabadikan pada dinding khas di Pagoda, Pulau Batam sebagai tanda ingatan.


Ujarnya, kediaman pelarian itu merupakan kawasan paling berhantu dan ia terletak hanya beberapa meter daripada lokasi bot terdampar tadi.

Perkara tersebut turut diakui oleh Pengurus Pemasaran KTM Intercity, Mohd. Noordin Kimi yang telah beberapa kali melawat Pulau Batam.

“Kawasan pelarian itu agak angker (keras) sedikit,” ujar Noordin ketika dalam perjalanan ke kem tersebut.

Tambahnya, pernah terjadi sebuah peristiwa ketika dia membawa sebuah rombongan wartawan melawat tapak bekas kem itu pada waktu senja.

Salah seorang jurugambar tidak dapat merakam gambar walaupun telah beberapa kali mencuba. Tetapi, memang diakui bahawa tempat tersebut agak menyeramkan bagi mereka yang cepat lemah semangat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: