SIAPA yang tidak pernah bermain dam ular? Sebelum adanya gajet permainan elektronik, papan dam ini memberikan keseronokan kepada pemainnya, bukan sahaja kanak-kanak malah buat si dewasa.
Setiap lontaran dadu, petak dam, tangga atau ular menentukan siapa yang paling cepat ‘naik’ atau ‘turun’. Tidak hairanlah pada zaman kanak-kanak dahulu, ada kawan-kawan sepermainan yang bermasam muka semata-mata asyik tewas bermain dam ular.
Namun, bagaimana pula jika papan damnya bukan lagi sekeping kertas, tetapi petak-petak kayu yang bersaiz besar manakala ‘buahnya’ pula adalah pemain itu sendiri. Tentunya seronok bukan?
Dam tangga dan ular bersaiz besar menjadi tarikan baharu kepada pengunjung ke Taman Herba Tropika di Teluk Bahang, Pulau Pinang.
Dibina daripada kayu, ia mengambil masa empat bulan disiapkan oleh kakitangan taman tersebut tanpa memotong walau sebatang pokok, sebaliknya membiarkan tumbuh-tumbuhan di situ terus hidup dalam landskap semula jadinya.
Hasilnya, kelihatanlah sebuah taman permainan warna-warni yang seolah-olah tersorok di dalam rimba nan menghijau.
“Memang sengaja kami bina dam ini di tengah-tengah rimba taman herba, bukankah ia sesuatu yang menarik?” ujar Pengarah Urusan taman tersebut, Katharine Chua.
Ujar wanita pencinta tumbuhan tropika itu, permainan tersebut dijangka bakal menggamit nostalgia dalam kalangan orang dewasa sekiranya mereka merupakan penggemar dam ular ketika zaman kanak-kanak.
“Dam berbentuk tiga dimensi itu mempunyai 52 petak, enam tangga menaik serta empat gegelung lungsur menurun yang boleh dimain secara berkumpulan atau individu.
“Berukuran kira-kira 7.4 meter persegi yang terletak di lereng bukit ini, ia merupakan permainan luar yang menyihatkan kerana pemainnya perlu bergerak ke setiap petak.
“Beberapa petugas di tempatkan bagi mengawasi keselamatan pemain, manakala seorang lagi petugas berada di atas para sebagai pemantau permainan.
“Jika dam biasa menggunakan dadu, sebaliknya dam gergasi ini menggunakan pemutar mata yang tertera angka 1 hingga 6. Petugas di atas para akan memutarkan mata ini dan pada masa yang sama memberi arahan kepada pemain,” ujar Katharine.
Sama seperti dam ular, pemain yang bernasib baik yang menapak ke petak ‘menaik’ boleh melangkah pantas melangkaui beberapa anak tangga.
Malang pula jika terkena petak ‘menurun’, pemain perlu menggelongsor turun melalui gegelung lungsur ke petak tertentu.
Bagaimanapun jelas Katharine, permainan dam itu khusus untuk pemain berusia empat hingga 14 tahun, sesuai dengan temanya iaitu menimbulkan keseronokan kepada kanak-kanak.
“Sejak diperkenalkan pada bulan Januari lalu, sambutan pengunjung ke sini cukup menggalakkan terutamanya daripada kanak-kanak yang datang bersama keluarga.
“Kita juga menyediakan pakej lawatan ke taman herba serta permainan kepada kanak-kanak sekolah yang datang berkumpulan atau ingin menganjurkan parti hari jadi di sini. Hubungi sahaja taman herba di talian 04-8811 797,” jelasnya.
Waktu permainan adalah dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang setiap hari dan tiada bayaran dikenakan.
Sebaliknya pengunjung perlu membayar untuk masuk ke taman herba iaitu RM14 bagi dewasa, RM10 kanak-kanak atau RM45 untuk pakej keluarga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: