Monday, February 13, 2012

Kasual mewah Uniqlo


WARNA terang kembali mendominasi koleksi terbaharu Uniqlo bagi menghidupkan gaya ceria dan funky.


JENAMA pakaian kasual terulung Jepun, Uniqlo mengumumkan koleksi terbaharu mereka untuk musim bunga/panas 2012 dengan penekanan diberikan kepada rekaan bertemakan rona-rona terang.

Rangkaian kali ini difokuskan kepada kod warna demi menghidupkan kembali imej Uniqlo sebagai jenama yang menawarkan gaya kreatif, cerah dan funky.

Deretan pelbagai warna bermusim dengan 36 pilihan warna pasti menarik perhatian pembeli, apatah lagi, setiap rekaan jenama itu menggunakan potongan yang kemas.

Parka (jaket bulu rata) untuk lelaki dan wanita menjadi signatur Uniqlo, ditampilkan dalam variasi warna bermusim yang menambah pilihan dan koleksi peribadi di dalam almari pencinta gaya kasual.

Penggunaan material yang pelbagai sehingga kepada teknik potongan langsing siluet, melengkapkan ciri keselesaan yang dititikberatkan pada setiap rekaan Uniqlo sekali gus menjadikannya sesuai sebagai pakaian harian.

Biarpun menampilkan gaya sofistikated ringkas, namun ia tetap mencerminkan imej segar dan bersih lebih-lebih lagi buat lelaki.

Musim kali ini juga menyaksikan koleksi Uniqlo di bawah rekaan UT menambah variasi mereka khusus buat warga Malaysia yang fanatik anime. Ia meliputi inspirasi anime-anime ternama Jepun seperti Attack of Titans, Space Brothers, Toriko dan banyak lagi.

Rekaan-rekaan UT untuk musim baharu itu juga mempersembahkan lebih banyak rekaan bercetak untuk wanita dengan menampilkan hasil kerja Laura Ashley yang menyediakan baju T edisi terhad yang direka berdasarkan kebudayaan Inggeris.


BAJU T berkolar rona biru menjadi penegasan kepada penampilan jejaka ini.


Tidak ketinggalan, rekaan Orla Kiely dengan signatur klasik, berani dan rona bercetak yang mewujudkan elemen nostalgik pada diri.

Buat pencinta fesyen, ia merupakan satu kemestian buat mereka memiliki koleksi Lulu Guinness yang sinonim dengan stail feminin glamor dalam palet hitam, putih dan merah lipstik.

Kunjungi butik-butik Uniqlo di Fahrenheit88 dan Suria KLCC, Kuala Lumpur serta 1Utama, Petaling Jaya, Selangor bagi menyuntik gaya kasual mewah pada diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: