Monday, February 13, 2012

Kasual lelaki Yuzairie


PERKEMBANGAN fesyen lelaki di Malaysia membuatkan Yuzairie (dua dari kiri) bercadang membuka sebuah butik kasual lelaki pada masa akan datang.


BERGELAR pelajar tahun akhir dalam bidang ijazah sarjana muda fesyen membuatkan Muhammad Yuzairie Mohd. Yusoff, 24, sedikit gementar dengan perancangan masa depannya.

Dalam beberapa bulan sahaja lagi, beliau akan menjalani upacara konvokesyen, menandakan langkahnya sebagai pelajar di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor tamat secara rasmi.

Persiapan untuk menyertai industri fesyen tempatan sedang dirangka sebaiknya agar segala yang dihajatkan menjadi kenyataan. Jika tersilap langkah, pasti mengundang padah. Jadi, beliau telah mencongak tempoh masa yang diperlukan bagi memperkenalkan jenama Yuzairie Yusoff dalam arena fesyen Malaysia.

“Saya akan kembali berkhidmat di sebuah butik di Seremban, Negeri Sembilan iaitu tempat yang sama ketika saya menjalani latihan industri tidak lama dahulu.

“Di butik itu, saya akan bekerja sebagai salah seorang pereka dan diharapkan, ia dapat memberi pengalaman kepada saya sebelum saya betul-betul bersedia menubuhkan label sendiri,” begitu terperinci perancangan yang dilakukan anak kelahiran Selama, Perak itu.

Meletakkan tempoh di antara empat hingga lima tahun bagi menaikkan nama beliau, Yuzairie juga bercadang untuk bekerja dengan beberapa jenama lain terlebih dahulu sebelum mampu membawa jenama sendiri.

Selepas cukup pengetahuan dan mengenali selok-belok industri, beliau berharap butik pertama yang menjadi idaman setiap pereka berjaya dijelmakan.

“Jika dilihat dalam lapangan industri fesyen kita, Malaysia kurang memberi perhatian kepada persalinan lelaki.

“Kalau ada pun, kebanyakannya merupakan jenama antarabangsa dan ia agak merugikan industri kita,” jelasnya yang begitu mengagumi kredibiliti Bon Zainal selaku pereka pakaian formal lelaki tempatan.

Butik lelaki

Walaupun pasaran untuk pakaian lelaki dilihat agak perlahan bagi pereka-pereka tempatan, Yuzairie masih beranggapan jika sebuah butik lelaki dengan konsep pakaian kasual diketengahkan, ia mampu mendapat perhatian golongan Adam yang semakin bijak bergaya.

“Memandangkan Malaysia hanya mempunyai satu musim sahaja sepanjang tahun, jadi tidak semua rekaan antarabangsa yang direka secara bermusim sesuai digayakan.

“Dengan membawa rekaan kasual dan santai, ia menepati situasi negara kita dan sesuai disarungkan pada bila-bila masa sahaja,” tambah bekas finalis program realiti Gaya Pesona itu lagi.

Melihat industri fesyen tempatan sebagai medan bagi pereka mengejar nama, Yuzairie pula lebih fokus kepada penjanaan pendapatan kerana hanya dengan cara itu seseorang pereka dapat bertahan lama dan perlahan-lahan mencipta nama.

“Jika saya terlalu sibuk mencipta nama sehingga tidak menjana pendapatan lumayan, saya bimbang saya tidak dapat merealisasikan hasrat dan impian saya dalam industri ini,” jujur pegangan yang disematkan dalam diri peminat rekaan Roberto Cavalli itu.

Kreativiti dan kehalusan kerja Yuzairie terserlah menerusi koleksi yang dihasilkan untuk pementasan akhir pelajar-pelajar tahun akhir fesyen UiTM Shah Alam.

Menjadikan wira Melayu, Leftenan Adnan sebagai garis panduan, Yuzairie mengangkat rona perang sebagai warna asas. Lebih mengagumkan apabila melihat kemahiran beliau menggabungkan fabrik polivinil klorida (PVC) dengan kapas dril.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: