Monday, February 13, 2012

Gemerlapan bintang saloni di London



HAKIKATNYA bukan mudah buat seseorang pereka fesyen dari negara luar mencipta nama apatah lagi, mempromosi koleksi fesyen di London. Ini disebabkan London yang dikenali sebagai kota fesyen itu sudah padat dengan kumpulan pereka anak tempatan yang berlumba-lumba mencipta nama di sana.

Situasi ini diakui sendiri oleh Saloni Lodha, pereka wanita dari Mumbai, India yang sedang mencipta nama di London. Jika pereka asing mengambil masa lima tahun ke atas untuk memperkenalkan nama tetapi Sanoli, 30, pula sebaliknya. Dalam masa tiga tahun namanya melonjak sehingga mendapat perhatian para selebriti dan pencinta fesyen di sana.

Menyorot ceritera penglibatannya dalam bidang fesyen, segala-galanya bermula selepas Saloni berpindah ke Hong Kong kerana mengikut suaminya, pada tahun 2002.

Menjalani kehidupan harian di lubuk fesyen terbesar di Asia Tenggara itu membuatkan Saloni terfikir tentang bisnes fesyen. Saloni, mendapati di wilayah seluas 1,104 kilometer persegi berkenaan orang ramai berpeluang bergaya memandangkan variasi item fesyen dijual secara besar-besaran pada harga berpatutan.

“Segala-galanya boleh dibeli di sini sama ada produk berjenama ataupun lokal. Kain-kain ela juga terdapat dalam bermacam-macam corak dan warna. Jadi, saya fikir adalah lebih baik membuka sebuah butik pakaian hasil rekaan saya sendiri.

“Bersyukur kerana mendapat sokongan daripada kumpulan artis Hong Kong yang sudi menggayakan pakaian saya. Malah, saya turut dibantu kelompok artisan yang memiliki kemahiran tinggi dalam aspek seni, rekaan dan buatan tangan yang halus,” jelas Saloni yang menghasilkan pakaian konsep pop kontemporari menggunakan fabrik broked India, sutera dan kain kapas.

Dari HK ke London


EMMA WATSON antara selebriti yang memilih untuk menggayakan koleksi awal Saloni Lodha.


Hari demi hari, rasa cinta graduan rekaan grafik terhadap dunia fesyen semakin menebal. Enggan membiarkan minat itu terhad di satu negara saja maka dua tahun kemudian Saloni terbang pula ke London bagi mengembangkan daya kreativiti fesyennya. Umum mengetahui London merupakan sebuah kota fesyen yang sentiasa mempamerkan seleksi fesyen yang segar, moden dan ideal.

Setibanya di London pada musim panas, Saloni mengisi hari-harinya dengan menghadiri kursus rekaan fesyen dan jahitan di sekolah fesyen terkemuka di St. Martins, London. Mengambil semangat dan kreativiti yang terdapat di segenap sudut di kota berkenaan, maka Saloni bertekad menetap dan membuka sebuah butik fesyen di sana.

Akhirnya, berbekalkan semangat yang kental dengan mempertaruhkan jenama Saloni Lodha, Saloni mempamerkan kehebatan sepuluh pasang baju rekaannya di Minggu Fesyen London tahun 2007. Ternyata rezeki berpihak kepada Saloni apabila koleksinya terpilih untuk dijual di gedung Harvey Nichols.

Paling mengujakan apabila pelakon remaja filem Harry Potter, Emma Watson telah memilih gaun rona merah jenama Saloni Lodha ketika hadir ke studio CBS untuk bersiaran langsung program The Early Show.

Penampilan Watson pada hari itu tampak feminin dan anggun, apatah lagi gaun yang memiliki manik di pergelangan tangan berkenaan dipadankan bersama beg tangan koleksi Agyness Deyn’s jenama Chanel selain rantai leher dan but separa buku lali.

“Gaun yang diperbuat daripada sutera dan sifon itu dihasilkan buat wanita yang gemarkan gaya ringkas tetapi ingin kelihatan feminin,” tutur Saloni yang gembira kerana koleksi fesyennya diminati para selebriti Hollywood.

Keunikan fabrik India

Tambah Salomi, dia tidak pernah malu atau pun lupa dengan asal-usulnya meskipun kini berpangkalan di London. Bergelar warganegara India merupakan pengalaman manis dalam kamus hidupnya. Jelas, Saloni dibesarkan di Bandar Nasik, cukup menyeronokkan kerana setiap hari dia berpeluang melihat golongan wanita tidak lekang daripada memakai sari.


APABILA kecantikan dan kepintaran idea bersatu, lahirlah label Saloni Lodha yang mencetuskan fenomena di London.


“Sejak kecil saya sudah terbiasa dengan sari. Bagi saya ia sejenis kain yang unik dari segi rekaan, tekstur, cara pembuatan, corak dan warna. Sebab itu, hari ini saya cuba menerapkan elemen seni India dalam setiap rekaan khususnya permainan warna dan corak serta pemilihan fabrik.

“Inisiatif ini dilakukan bagi memperkenalkan kepada dunia bahawa India merupakan salah sebuah negara yang mempunyai seni kraftangan yang baik dan menarik. Atas faktor itu juga kerja-kerja jahitan, sulaman dan pembuatan fabrik saya lakukan di India. Butik di London hanya untuk pameran dan penjualan,” kata Saloni yang kini turut merancang untuk menjual aksesori dan beg tangan.

Dalam pada itu, Saloni juga giat mempromosikan jenamanya dalam kalangan wanita tempatan. Umum mengetahui, India antara negara yang kaya dengan fabrik buatan tangan yang halus, berseni dan teliti.

Justeru, untuk menarik minat wanita India membeli himpunan pakaian siap pakai konsep urban, vintaj dan moden antara cabaran yang ingin diatasi Saloni.

“Tidak dinafikan sebelum ini jualan koleksi fesyen saya di India kurang memuaskan. Namun, segala-galanya berubah selepas dibantu oleh pihak Le Mill iaitu salah sebuah butik di Mumbai. Kami melakukan promosi fesyen Saloni Lodha musim bunga/panas 2011, secara besar-besaran.

“Sambutan daripada pembeli amat mengalakkan sehingga saya terpaksa menambah stok pakaian baharu,” jelas Saloni yang baru saja melancarkan koleksi fesyen 2012 bertemakan Jepun.

Menyentuh mengenai selebriti wanita India yang dikagumi, Saloni yang sentiasa menguntumkan senyuman manis menyatakan: “Saya meminati pelakon Frieda Pinto, Deepika Padukone dan Sonam Kapoor. Jika diberi peluang saya ingin melihat artis bertiga ini menyarungkan persalinan koleksi Saloni Lodha (ketawa).


PERAGAWATI yang menggayakan busana Saloni Lodha bergambar dengan Saloni (lima dari kiri) semasa satu pertunjukan di London.


“Meskipun sebahagian besar kehidupan saya dihabiskan di London tetapi, saya sukar meninggalkan tabiat menonton filem-filem Hindustan. Malah, koleksi filem Bollywood saya lebih banyak berbanding rakan-rakan yang menetap di India.

Dalam tempoh terdekat ini, Saloni bakal melancarkan butik fesyennya secara dalam talian.

“Saya sama sekali tidak menjangka rezeki dan tuah yang dikecapi pada hari ini.

“Perjalanan karier saya dalam industri fesyen masih panjang untuk ditempuhi. Lagipun banyak lagi perkara dan ilmu fesyen yang perlu saya gali,” tutur Saloni menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: