Saturday, February 18, 2012

Kamal Faridz duta minuman isotonik


KAMAL Faridz mahu meneruskan kerjaya lakonan serta menjadi usahawan pada waktu yang sama.


KEMUNCULAN ramai bakat baru dalam bidang lakonan membuka ruang untuk industri seni kita terus berkembang. Antara syarikat perfileman yang terus berusaha mencungkil bakat baru adalah syarikat produksi Metrowealth Pictures (MIG).

Kini seorang lagi bakat baru di bawah pengurusan MIG bersiap sedia untuk menempa nama dalam industri ini.

Berasal dari Shah Alam, Selangor, Kamal Faridz Mohd. Noor, 26, pernah dikenali sebagai seorang penyanyi rap. Menurut Kamal, minatnya yang mendalam di dalam bidang nyanyian wujud sejak zaman sekolah lagi.

Bagaimanapun, kini selepas lima tahun meninggalkan bidang nyanyian, dia mula mengubah laluan untuk bergelar seorang pelakon.

“Saya pernah mempunyai sebuah kumpulan rap yang dipanggil 40-G, bagaimanapun saya tidak lagi aktif sejak lima tahun lalu kerana menyambung pengajian.

“Namun apabila diberi peluang pihak MIG untuk berada di bawah pengurusan mereka, saya mula melihat ini sebagai satu lagi peluang terbaik untuk saya mengembangkan karier sebagai pelakon pula,” katanya dalam pertemuan di Petaling Jaya Selangor baru-baru ini.

Merupakan anak sulung daripada lima adik beradik, menurut Kamal, penglibatannya dalam dunia lakonan adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkakan.

“Pada mulanya saya hanya menemani rakan untuk mengikuti uji bakat, lama kelamaan saya mula tertarik untuk mencuba.

“Saya gunakan peluang ini sebagai proses pembelajaran bagi menjadi seorang pelakon yang berkaliber suatu hari nanti,” katanya.

Ternyata kelebihan bintang muda ini bukanlah setakat berlakon sahaja. Jejaka ini sebenarnya mempunyai perniagaan menghasilkan minuman isotonik yang sudah pun beroperasi sejak tiga bulan lalu.

“Saya sebenarnya berminat untuk terlibat dalam bidang perniagaan. Sebelum saya berjinak di dalam bidang lakonanm saya sudah pun mempunyai sebuah perniagaan membela ikan keli.

“Walaupun air isotonik buatan syarikat saya ini masih baru di pasaran, namun ia sudah menunjukkan kemampuan untuk bersaing dengan jenama lain,” katanya yang juga duta kekal minuman tersebut.

Bukan mudah untuk Kamal membahagikan masa bagi memastikan kelancaran perniagaan serta kariernya yang baru bertatih ini.

Namun bagi Kamal dia menerima semuanya ini sebagai cabaran baru buat dirinya.

“Perkara pertama yang saya lakukan adalah untuk memastikan jadual saya tidak terganggu.

“Bagaimanapun, saya cukup bertuah untuk mempunyai rakan kongsi yang sentiasa membantu saya meneruskan perniagaan ini,” jelasnya.

Ditanya mengenai langkah untuk memastikan namanya kekal di persada dunia hiburan, Kamal berkata, dia tidak mahu terlalu melihat jauh, namun antara perkara utama yang akan dilakukan adalah untuk terus memperbaiki mutu lakonannya.

“Saya mahu peminat mengingati saya melalui lakonan saya dan bukan kontroversi sahaja.

“Kini apa yang penting, saya tidak melepaskan peluang yang ada untuk memantapkan tahap lakonan saya pada masa hadapan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: