Saturday, February 18, 2012

Jangan simpan peluh


Berjoging merupakan salah satu aktiviti kegemaran Faiz.


SENTIASA mahu diri dalam keadaan sihat, Adzriefaiz Adzlan, 27, atau lebih mesra disapa Faiz akan memastikan setiap aktiviti hariannya sentiasa terisi dengan aktiviti yang berfaedah.

Kesempatan S3 berjumpa dengan anak kelahiran Kampung Bagan Jermal, Pulau Pinang ini, ternyata membuktikan bahawa Faiz merupakan seorang yang sangat mementingkan kesihatan.

“Kalau ada masa terluang, saya akan berjoging. Apa yang penting, dapat mengeluarkan peluh. Kalau kita ‘simpan’ peluh ini... bahaya, sebab dalam peluh itu sendiri mengandungi toksin.

“Kalau toksin banyak terkumpul dalam badan, maka badan akan jadi tidak sihat,” jelasnya sambil memanaskan badan ketika ditemui di Tasik Shah Alam, Selangor, baru baru ini.

Selain itu, menurut pengacara rancangan Makan Angin yang disiarkan di TV9 ini, dengan berjoging juga sebenarnya turut membantu mengekalkan stamina.

“Stamina ini sangat penting sebenarnya. Kalau sampai nak naik tangga pun dah termengah-mengah, memang kita kena lakukan sesuatu.

“Kecergasan ini untuk kesihatan diri juga. Cubalah berjoging dahulu dan rasai perbezaannya selepas itu. Insya-Allah kita akan rasa lebih segar dan bertenaga untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain. Bila badan sihat, otak pun cergas,” tambahnya lagi sambil mula berlari-lari kecil.

Bagi anak sulung daripada tiga beradik ini, joging sebenarnya merupakan salah satu aktiviti yang sangat menyihatkan dan boleh membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit yang berbahaya.

“Tidak salah kiranya kita lakukan aktiviti sebegini atas dasar untuk menghindarkan diri daripada penyakit. Cuba bayangkan berapa banyak penyakit yang akan ‘hinggap’ pada kita sekiranya kita tidak aktif.

“Sekurang-kurangnya dengan adanya aktiviti sebegini, ia dapat membantu tubuh badan untuk sentiasa kekal aktif dan dapat jugalah menghalang penyakit tersebut mendekati kita,” katanya lagi.

Rezeki lepas kahwin

Setelah melangsungkan perkahwinan bersama Suliza Ismail, 25, tanggal 9 Disember tahun lalu, ternyata rezeki Faiz semakin murah.

Mengakui tidak mempercayai kata-kata yang diluahkan oleh orang yang lebih berpengalaman daripadanya, kini dia bersetuju mengenai rezeki selepas kahwin.

“Pada mulanya, saya memang tak percaya tapi apabila satu demi satu peluang datang, saya percaya ini adalah pemberian daripada-Nya.

“Betul cakap orang-orang tua, rezeki lepas kahwin itu memang ada,” katanya sambil tersenyum lebar.

Memulakan langkah kanan dalam bidang penyiaran melalui rancangan Makan Angin, siapa sangka, kini dia sibuk bersiap sedia untuk menyiapkan beberapa lagi lokasi rancangan tersebut untuk musim ketiga.

“Memang saya tidak sangka betul rancangan tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Untuk musim ketiga ini, kami sudah pergi ke Cameron Highlands dan beberapa lagi lokasi sebelum meneruskan penggambaran di luar negara.

“Insya-Allah, jika tiada perkara yang menghalang, Makan Angin mungkin akan terus disambung untuk musim keempat dan lokasinya sudah pastinya di luar negara,” jelasnya lagi.

Malah, rezeki penyampai ini juga berlanjutan apabila dia turut menjadi pengacara Muzik-Muzik yang ditayangkan di TV3 bagi menggantikan tempat Faisal Ismail.

“Terasa berat sebenarnya bagi saya untuk menggantikan tempat Abang Faisal, sebab dia sememangnya mempunyai aura dia tersendiri.

“Tapi syukurlah dia tidak pernah berhenti memberi tunjuk ajar dan pertolongan kepada saya.

“Apa yang pasti, saya akan usahakan yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan,” jelasnya sebelum menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: