Sunday, February 26, 2012

Joging dengan kasut RM1,600


SAIFUL mengaku ketagih barangan berjenama tetapi tidak menyesal berbelanja mahal.


SAIFUL NIZAM sudah lali dengan suara orang di sekeliling yang menegurnya kerana gemar membeli barangan berjenama mewah.

Kebanyakan mereka tidak menyokong minat jejaka berusia 28 tahun itu kerana dia berbelanja pada nilai tidak masuk akal semata-mata untuk mendapatkan sepasang kasut atau pakaian.

“Biarlah apa orang nak kata. Yang penting ia memberikan kepuasan kepada saya. Saya beli dengan duit sendiri,” ujarnya kepada Jurnal.

Sebelum ini jejaka dengan nama penuh Saiful Nizam Mukhelas itu lebih gemar meredakan tekanannya dengan menikmati makanan kecuali buah durian dan petai.

Namun, sejak setahun lalu minatnya berubah. Setelah memperoleh pekerjaan baharu dan memikirkan kesan makanan tidak sihat ke atas kesihatannya, Saiful kembali membeli-belah.

Jenama

“Sekian lama saya memang gemar membeli-belah. Tetapi dalam masa yang sama saya juga suka makan. Suatu ketika dahulu saya akan menghabiskan duit hanya untuk makan.

“Sekarang saya beralih semula kepada hobi membeli barangan berjenama,” ujarnya yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam dan penulis bebas.

Tidak hairanlah jika Saiful menjadikan aktiviti itu sebagai kegemarannya kerana anak sulung daripada tiga beradik itu meminati bidang fesyen sejak di bangku sekolah lagi.

Biarpun tidak berpeluang meneruskan pengajian dalam bidang fesyen, ketika menuntut dalam bidang pengurusan pejabat di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis, dia mempunyai lebih ramai rakan yang mengambil jurusan rekaan fesyen.

Dalam tempoh enam bulan lepas, Saiful menghabiskan kira-kira RM10,000 untuk membeli pelbagai rekaan fesyen daripada jenama mahal termasuklah kasut, kemeja, seluar jean, cermin mata dan beg.

Saiful meminati jenama antarabangsa seperti Gucci, Dolce & Gabbana (D&G), Mulberry dan Alexander McQueen.

Sehingga kini antara koleksi paling mahal yang dibelinya ialah sehelai kemeja lengan panjang daripada jenama John Galiano. Kemeja coklat tersebut mempunyai corak seakan-akan surat khabar.

“Saya mencari kemeja ini semata-mata untuk mendapatkan koleksi dengan corak yang hampir sama dengan baju pelakon kegemaran saya dalam rancangan televisyen Sex and the City, Sarah Jessica Parker.

“Saya membelinya pada harga RM700 di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur tahun lalu. Ketika memakainya untuk bekerja atau menghadiri majlis saya akan berasa lebih yakin,” katanya yang pernah ditegur oleh saudara-maranya ketika pulang berhari raya di Terengganu kerana memakai baju raya seperti surat khabar.

Selain itu, antara koleksi kesayangan Saiful yang lain ialah sepasang kasut jenama Alexander McQueen yang dibeli menerusi laman web www.mrporter.com yang berpejabat di Britain. Kasut tersebut berharga 300 pound sterling (RM1,426).

Jelas Saiful, rekaan kasut kulit berwarna coklat tersebut merupakan koleksi terhad yang tidak dijual di negara ini. Dia memakainya sekali sahaja iaitu ketika menghadiri majlis fesyen di Singapura baru-baru ini kerana sayangkan kasut itu.

Barangan mewah lain yang menjadi koleksi kesayangannya termasuklah sepasang kasut kasual berwarna hijau daripada jenama Gucci bernilai RM1,600. Kasut itu sering digunakan Saiful untuk berjoging.

“Saya selesa mengenakan cermin mata jenama YSL (Yves Saint Lauren) yang berharga RM1,020, seluar jean Mulberry yang bernilai RM1,200 dan sehelai kemeja Mulberry yang baru dibeli pada harga RM1,335,” katanya yang gemar membeli-belah di Suria KLCC dan Pavilion Kuala Lumpur.

Saiful kini mengumpul wang untuk memiliki sebuah beg daripada jenama Birkin yang bernilai sekurang-kurangnya RM40,000.

Menyesal

Tidakkah Saiful berasa menyesal kerana berbelanja begitu besar semata-mata untuk membeli sehelai kemeja atau kasut?

“Mula-mula saya terasa juga sebab semua barang itu terlalu mahal tetapi saya puas. Lagipun saya bekerja bertungkus-lumus yang kadang-kadang sehingga 12 jam sehari. Itu cara saya memanjakan diri.

“Apa yang penting adalah pengurusan kewangan,” jawab Saiful yang mempunyai hanya sekeping kad kredit.

Tambah Saiful, dia gemar mempraktikkan gaya hidup penghuni bandar raya seperti Singapura dan New York yang lebih suka menggunakan pengangkutan awam biarpun mereka memakai pakaian mahal.

Saiful juga berasa rimas untuk mengenakan jam tangan. Dia juga tidak gemar gajet elektronik kerana baginya barangan itu sering dipertingkatkan teknologinya sepanjang masa berbanding fesyen yang bersifat lebih universal dan berseni.

Sekalipun dia selesa mengenakan pakaian daripada jenama Top Man untuk bersantai dan berehat di rumah, Saiful tetap membeli pakaian yang tidak berjenama mahal selagi rekaannya kena dengan cita rasanya.

“Baju T yang berharga RM25 pun saya ada. Apa yang penting rekaannya haruslah elok. Lebih baik sekiranya menggayakan dengan cara mix and match dengan jenama mahal kerana ia boleh menyeimbangkan gaya.

“Kalau dari hujung rambut sampai hujung kaki semuanya barang mahal, tidak kena juga. Silap-silap orang akan tuduh kita memakai jenama tiruan,” kata jejaka berbintang Gemini itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: