Sunday, February 26, 2012

Jantung tersembul di dada


SETELAH menjalani pembedahan, jantung Ryan dapat 'dimasukkan' semula.


KELAHIRAN seorang budak lelaki di Amerika Syarikat (AS), Ryan Marquiss dianggap sebagai satu keajaiban. Dia lahir dengan jantungnya berada di luar badan tetapi masih hidup.

Jantung kanak-kanak itu terbonjol keluar pada bahagian dadanya. Organ itu hanya dilapisi oleh membran yang sangat nipis.

Seperti kebanyakan kes lain seumpamanya, doktor pernah menjangkakan dia akan meninggal dunia dalam tempoh tiga hari selepas dilahirkan. Jantung Ryan juga tidak berkembang dan cuma sebelah jantungnya yang berfungsi.

Doktor menasihati ibu bapa Ryan supaya menggugurkan kandungan itu tetapi mereka enggan. Namun, kecekalan mereka berbalas apabila Ryan masih bernafas pada usia tiga tahun sekarang.

Keajaiban

Kata ibunya, Leighann Marquiss: "Kami berserah kepada takdir. Kami tahu cuma keajaiban yang akan membolehkan dia terus hidup. Tetapi kami tidak sanggup menggugurkan kandungan itu.

"Doktor memberitahu tiada bayi senasib Ryan yang boleh hidup lama. Jadi apabila dia masih bersama kami pada hari ini ia adalah sesuatu yang menakjubkan."

Doktor mengenal pasti masalah jantung Ryan itu berlaku ketika kandungan ibunya berusia 12 minggu. Dia disahkan mengalami masalah ektopia kordis.

Menurut fakta, kejadian itu akan berlaku ke atas lapan orang bayi dalam sejuta kehamilan. Sebanyak 90 peratus daripada mereka akan lahir dan meninggal dunia dalam tempoh tiga hari.

Lebih mengejutkan apabila Ryan juga menderita sindrom hipoplastik jantung kanan. Hanya bahagian kiri jantungnya yang berkembang dengan sempurna.

Jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, biarpun banyak keganjilan dalam sistem tubuh Ryan, dia bertuah kerana Ryan mampu hidup dalam keadaan jantung yang tidak normal.

"Kami tahu untuk terus hidup dengan sebelah jantung sahaja, dia berdepan dengan halangan yang besar," ujar ibu kepada Natalie, 7, dan Ainsley, 5, itu.

Pada penghujung Februari 2009, pakar perubatan di Pusat Perubatan Kanak-Kanak Nasional Washington (CNMC), AS menggunakan kaedah caesarian untuk mengeluarkan Ryan dari perut ibunya.

Pengarah program jantung fatal CNMC, Dr. Mary Donofrio, menjelaskan bahawa sekiranya Ryan mampu hidup, jantung yang terdedah itu akan mudah dijangkiti dan boleh membuatnya maut.

Malah, walaupun tiada sebarang jangkitan, dia masih berisiko kerana mempunyai masalah kedua iaitu hanya satu ventrikel jantung yang berfungsi.

"Dia memerlukan pembedahan agar jantungnya dapat mengepam darah dengan sempurna.




"Saya beritahu keluarganya bahawa jika dia terus hidup itu bermakna kejadian ini adalah satu keajaiban," kata Donofrio tiga tahun lalu.

Pembedahan

Ketika usianya dua minggu, Ryan menjalani pembedahan central shunt di dalam jantungnya untuk memastikan peredaran darah yang baik.

Seterusnya dia melalui lebih 12 sesi pembedahan dalam tempoh dua tahun. Pembedahan itu adalah untuk mengubahsuai sistem peredaran darah agar sesuai dengan jantungnya.

Tisu pengembang diletakkan di bawah kulitnya agar dapat menghasilkan lebih banyak sel kulit. Tindakan itu dapat melindungi jantung yang menonjol itu. Ryan mungkin memerlukan transplan jantung untuk terus hidup.

Beberapa kes sedemikian turut dilaporkan berlaku di Malaysia. Pada Mac 2009, seorang bayi lelaki dengan keadaan sama lahir di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor.

Koh Jun Hao yang merupakan anak keempat dalam keluarga terpaksa melalui lebih 20 kali pembedahan bagi membolehkan organ tersebut ditutup dengan kulit tiruan. Malangnya, Jun Hao meninggal dunia pada April tahun lalu akibat masalah jantung tersebut.

Pakar Kardiologi Pediatrik, Hospital Perubatan Pantai, Dr. Mohd. Azam Mohd. Nor berkata, keadaan abnormal pada jantung janin boleh dikesan pada minggu keempat kehamilan.

"Secara asasnya, pemeriksaan akan dilakukan bagi mengetahui keadaan organ penting tersebut pada usia kehamilan itu.

"Ekokardiogram digunakan bagi menilai struktur dan fungsi jantung bayi dengan sensor elektronik merekodkan visual pergerakan jantung. Bagi kandungan yang melepasi usia 20 minggu pula, diagnosis penyakit jantung pada janin dilakukan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: