|
MENDENGAR ngaumannya sahaja pasti membuatkan sesiapa pun berasa kecut perut. Itu belum lagi bertentang mata dengan haiwan yang digelar raja rimba dan si belang. Pertama kali berpeluang mendekati haiwan daripada keluarga kucing besar itu, walaupun dihalang tabir besi, sudah cukup membuatkan jantung berdegup kencang.
Difahamkan setiap langkah dan gerak-geri diatur haiwan karnivor itu diiringi dengan kepekaan deria yang sangat tajam. Justeru spesies haiwan itu amat sensitif, malah sentiasa bersedia untuk bertindak agresif jika ada penceroboh di kawasannya.
Tidak lagi menjadi penghuni kepada isi Belantara, harimau dan singa yang berada dalam jagaan di Zoo Taiping dan Safari Malam, Taiping, Perak sudah boleh dianggap 'mesra' dengan manusia. Mendapat belaian dan kasih sayang daripada penjaga zoo di situ, karakter 29 ekor harimau dan singa di zoo pertama di Malaysia itu lebih terkawal dan jinak.
Pandai merajuk
Namun, bergelar raja rimba dan sang belang yang sememangnya berada dalam rantaian teratas kitaran makanan di hutan, naluri pemangsa yang ganas walau bagaimanapun tidak pernah hilang daripada dalam diri haiwan berkenaan.
Kerana itu, walaupun hampir setiap hari bertemu mata, memberi makan dan membelai singa serta harimau di zoo berkenaan, tugas R. Vasudevan dan Mohd. Suhaimi Othman menuntut sikap waspada yang tinggi.
"Haiwan daripada keluarga kucing ini sebenarnya sensitif dan mudah merajuk apabila tidak dibelai dengan penuh kasih sayang, malah ia sangat manja seperti kucing peliharaan jika kena gayanya," ujar penjaga haiwan terbabit, Vasudevan, 38.
Sebagai penjaga kesemua singa dan harimau yang terdapat di Zoo Taiping itu Vasudevan sudah menganggap raja rimba dan sang belang tersebut seperti ahli keluarga sendiri.
Dia akan memastikan semua harimau dan singa jagaannya menerima layanan yang sama kerana haiwan tersebut mudah tersinggung jika tidak dibelai dengan adil.
"Bukan sembarangan orang boleh melakukan kerja macam ini. Kerja-kerja ini perlukan komitmen yang tinggi dan penyayang terhadap haiwan. Hanya mereka yang bersemangat kental dan berani sahaja dapat melakukannya," kata Vasudevan.
Dia yang mempunyai pengalaman selama sembilan tahun di zoo itu mengakui pada awalnya amat sukar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang dikelilingi haiwan pemangsa yang ganas dan agresif tersebut.
"Kira-kira tiga minggu saya tidak tidur lena kerana termimpi-mimpi kucing besar yang ada di zoo ini, tapi lama-kelamaan ia menjadi mudah dan biasa," ujarnya yang mengambil masa tiga bulan untuk menyesuaikan diri dengan pekerjaan berisiko itu.
Dia bersama seorang lagi rakan sekerjanya, Mohd. Suhaimi, 37, diberi tanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan 16 ekor singa dan 13 ekor harimau yang ditempatkan di kandang khas zoo itu.
Pernah cedera dicakar
Selepas sembilan tahun menjadi 'bapa' kepada haiwan itu, kakitangan Majlis Perbandaran Taiping berkenaan mengakui kini semuanya seperti alah bisa tegal biasa. Dia kini layak untuk berasa bangga apabila berjaya memiliki kemahiran untuk menguruskan dan menjinakkan kucing besar yang terkenal dengan sifat liar dan ganas itu.
Walaupun begitu, penjaga kandang harimau dan singa perlu mematuhi cara kerja standard yang ditetapkan pihak zoo bagi memastikan keselamatan kakitangan yang menguruskan haiwan berkenaan.
"Selama sembilan tahun bekerja saya pernah cedera dicakar ketika hendak memberi makan sekumpulan singa di zoo ini. Seekor singa betina telah mencakar saya. Bukan niatnya untuk menyerang tetapi ia berlaku secara tidak sengaja sewaktu singa betina itu membolot makanan dan menyangka saya mahu mengambil makanan dari kawanannya," kata Vasudevan yang lebih mesra dipanggil Vasu.
Rutin hariannya bermula seawal pukul 8 pagi dengan membersihkan sangkar terlebih dahulu sebelum melepaskan haiwan itu dari dalam kandang tidur yang ditempatkan di belakang ruang pameran terbuka zoo berkenaan.
Seterusnya, dia akan menyediakan makanan dan memberi setiap ekor haiwan itu makan pada pukul 11 pagi. Kemudian dia akan memandikan harimau dan singa di bilik kuarantin sebelum memberi makan sekali lagi pada pukul 5.30 petang.
Kucing besar yang dipamerkan kepada pengunjung di ruang pameran terbuka itu akan dipanggil 'masuk tidur' pada pukul 7 petang.
"Bagaimanapun, setiap singa dan harimau di sini mempunyai jadual syif masing-masing untuk dilepaskan dari kandang tidur bagi beraksi di ruang pameran terbuka yang ada.
"Keadaan ini berlaku kerana zoo ini juga mempunyai safari malam yang turut menjadi daya tarikan utama dan terkenal di negara ini," katanya.
Sementara itu, Mohd. Suhaimi berkata, untuk bergelar penjaga haiwan seseorang itu perlu mempunyai sifat sayangkan haiwan dan bersungguh-sungguh memahami karakter haiwan tersebut. Walaupun singa dan harimau sukar untuk diduga tetapi, akuinya, sebagai penjaga mereka mengasihi haiwan itu seperti sebahagian daripada keluarga sendiri.
"Bukan semua kakitangan di zoo mampu melakukan kerja yang boleh dianggap berisiko tinggi ini. Ada dalam kalangan mereka sebelum ini cepat mengaku kalah hanya selepas sebulan ditugaskan menjaga kandang kucing besar ini. Sekarang, hanya saya dan Vasu yang bertahan di kandang ini," kata Mohd. Suhaimi.
Kenal bau orang
Menurut Mohd. Suhaimi, secara praktikalnya harimau dan singa mengenali penjaganya melalui deria bau. Haiwan itu mengetahui bau orang yang menjaga, memberi makan, menyayangi dan menyakitinya.
"Selalunya saya akan sapu peluh saya pada keseluruhan muka dan hidung mereka. Itulah cara supaya mereka biasa dengan bau kita, lama-kelamaan mereka akan kenal dan ini memudahkan kerja saya," katanya.
Tidak kurang dengan pengalaman manis, apa yang membuatkan Mohd. Suhaimi dan Vasu sentiasa tersenyum dalam menjalankan tugas harian mereka apabila melihat keletah haiwan tersebut.
"Apabila mereka mengenali kami, haiwan itu akan patuh dan ada rasa hormat terhadap penjaganya. Hanya dengan sekali jeritan, semua harimau dan singa akan akur masuk ke kandang masing-masing.
"Tetapi ada juga yang nakal. Bila saya panggil, mereka datang untuk masuk ke dalam kandang, namun kemudian lari ke luar semula ke kandang terbuka," kata Mohd. Suhaimi.
Bercakap mengenai soal diet, katanya, setiap singa dan harimau mempunyai sukatan makanan sendiri mengikut berat badan. Sebanyak empat hingga enam kilogram daging segar pelbagai jenis perlu disediakan sehari untul 29 ekor 'anak' kesayangan mereka itu.
"Pemberian daging lembu, ayam atau kambing perlu mengikut jadual tetapi akan berlaku perubahan jika haiwan tersebut sakit," ujarnya
Bagi bekalan daging beku pula, dia perlu menunggu selama enam jam supaya daging itu lembut dan darah dapat mengalir sebelum dicampakkan sebagai habuan kepada harimau dan singa tersebut.
"Darah akan membekalkan vitamin. Selain itu, sebagai tambahan diet haiwan ini juga akan diberi satu sudu vitamin tambahan, protein, telur dan minyak kod," kata Mohd. Suhaimi yang turut menerima kedatangan doktor haiwan setiap tiga bulan sekali untuk membuat pemeriksaan kesihatan terhadap harimau dan singa jagaannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: