|
|
BUKAN mudah sebenarnya untuk meminta kebenaran pengacara terkenal ini memberikan laluan untuk S3 merakamkan saat-saat santai bersama isterinya di rumah. Bagi Wan Kamaruddin Wan Ibrahim, dia sebenarnya lebih suka sekiranya hanya hasil kerja sahaja diberikan perhatian dan bukan kisah peribadinya.
Bagaimanapun kepercayaan yang diberikan pihaknya ini tidak disia-siakan kami untuk melihat sendiri sisi sebenar seorang lelaki yang pernah terkenal dengan tag line ‘Apa Kejadah’ dalam satu program kemasyarakatan di ntv7, suatu ketika dahulu.
Menyingkap kembali rahsia percintaannya dengan isteri, Wan Nur Saleza Mazuin Datuk Wan Abd Muttalib, tidak banyak yang mahu didedahkan pengacara Khidmat Syariah di TV Alhijrah ini. Menurut Wan Kamaruddin kelebihan isterinya untuk membuat makanan kegemarannya iaitu makanan tradisional orang Terengganu atau lebih dikenali sebagai roti Paun membuka peluang buat dirinya untuk mengenali isterinya.
“Kami kenal melalui salah seorang ahli keluarga isteri, bagaimanapun hubungan kami mulai rapat apabila saya mengetahui bahawa isteri saya mempunyai kelebihan untuk membuat roti Paun.
“Sebenarnya bukan mudah untuk membuat roti ini memandangkan cara pembuatannya agak rumit, malah saya sendiri tidak pernah menemui roti Paun yang sedap sehinggalah merasai roti Paun buatan isteri saya. Dan sejak dari itu isteri sering menyiapkan hidangan ini untuk saya sehinggalah kami berkahwin,” katanya kepada S3 di kediamannya baru-baru ini.
Melayari alam rumah tangga sejak Julai tahun lalu, ternyata keserasian pasangan ini dizahirkan melalui perkongsian idea yang bernas untuk meneruskan pembuatan roti ini bagi tujuan perniagaan pula. Malah perniagaan roti I-Win Buns n Suchs yang berusia lima bulan ini sudahpun mendapat tempat di hati peminat roti, terutamanya di kawasan Lembah Klang.
"Memandangkan isteri saya tidak bekerja dan hanya duduk di rumah sahaja, dia gemar membuat roti bagi mengisi masa lapangnya.
“Namun setelah memikirkan potensi perniagaan roti Paun ini, saya mula memberi sokongan kepada isteri agar dia mampu meneruskan hobi ini sebagai kerjaya terbarunya,” katanya yang kini turut melabur kira-kira RM10,000 untuk melengkapkan peralatan memasak di rumahnya.
Ditanya mengenai peranannya di dalam membantu isteri untuk mengembangkan perniagaan roti Paun ini, menurut Wan Kamaruddin, kadangkala dia turut terlibat di dalam proses pembuatan roti ini memandangkan mereka kini hanya mempunyai seorang pembantu sahaja.
“Saya hanya akan membantu jika berada di rumah, ataupun ketika isteri saya menerima tempahan yang banyak.
“Antara tugas utama saya ialah menguli tepung ataupun memasukkan roti tersebut ke dalam pembakar,” katanya sambil tersenyum.
Bercerita lanjut mengenai perniagaan milik isterinya, Wan Kamaruddin mengakui dia sebenarnya amat mengagumi kebolehan yang dimiliki isterinya itu kerana bukanlah sesuatu yang mudah untuk generasi kini mengekalkan hidangan tradisi seperti ini.
“Bagi mengekalkan keaslian rasa roti ini, isteri saya memilih untuk tidak menggunakan sebarang mesin.
“Malah bagi menjamin kesegaran serta kualiti yang dijanjikan juga, isteri saya hanya membuat roti ini mengikut jumlah tempahan sahaja,” katanya memberitahu tempahan roti ini selalunya diterima melalui iwinbuns.blogspot.com
Bercerita mengenai kesibukan dirinya, menurut Wan Kamaruddin dia berharap dengan perniagaan yang dijalankan isterinya ini bakal menggantikan masa yang tidak mampu diluangkan buat isterinya.
“Saya jarang berada di rumah. Pada mulanya agak sukar untuk isteri saya menerima jadual hidup seorang wartawan seperti saya.
“Namun lama kelamaan isteri saya kini kian memahami tanggungjawab yang saya galas.
“Malah dengan perniagaan dari rumah ini, dia bukan sahaja akan kerap berada di rumah tetapi juga boleh berkerjaya pada waktu yang sama,” katanya
Bagi menggalakkan isterinya meneruskan perniagaan ini, Wan Kamaruddin juga berkongsi perancangan untuk meluaskan perniagaan dari rumah ini.
“Jika perniagaan milik isteri saya ini mencapai tahap yang memuaskan, kami berdua tidak teragak-agak untuk membuka sebuah kedai pula.
“Bagaimanapun, buat masa ini isteri saya masih lagi selesa untuk meneruskan perniagaan ini dari rumah sahaja,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: