Dari dahulu hingga kini, populariti Raja Pop, Jamal Abdillah atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali, 53, sukar ditandingi mana-mana penyanyi.
Namanya sentiasa menjadi sebutan dan ternyata buah tangan terbarunya, Aku Maafkan Kamu, kolaborasi bersama penyanyi rap, Malique, mampu mengubat kerinduan peminat.
Namun di sebalik penerimaan positif itu, timbul pula kesukaran untuk Jamal apabila Malique enggan memberikan kerjasama setiap kali terima undangan persembahan.
Menurut Jamal, bekas kumpulan Too Phat itu, enggan tampil di tempat umum, melainkan urusan penting sahaja.
Akui terkilan dengan pendirian rapper itu, Jamal bagaimanapun terpaksa mencari pengganti Malique bagi mempromosikan lagu barunya itu.
"Tanpa Malique, saya sukar untuk menyampaikan lagu ini kerana ia adalah kolaborasi kami bersama. Saya pun tidak tahu mengapa dia enggan tampil di khalayak umum.
"Ini menjadi masalah bagi saya setiap kali persembahan. Sebab itulah, saya perlu mencari pengganti Malique. Saya berusaha untuk cari rapper, lain tapi kebanyakannya tidak sama dengan teknik rap seperti Malique. Semuanya mempunyai sebutan keras, tidak selembut Malique.
"Oleh sebab itulah, saya terpaksa mendapatkan khidmat pelawak dan pengacara, Zizan Raja Lawak, untuk menggantikan Malique menerusi klip video lagu tersebut," katanya ketika sidang media, majlis makan malam amal Mutiara Kasih anjuran syarikat SNZ Event Management dan A&A World Vacation, di Saloma Bistro.
Program yang bakal diadakan pada 12 Februari, di Johor Bahru Expo, The Zone Regency Hotel, pada jam 8 malam itu adalah salah satu usaha untuk membantu golongan susah terutamanya golongan tua yang dipinggirkan keluarga.
Jayakan majlis amal Mutiara Kasih
Mengulas mengenai majlis itu, Jamal berkata, dia teruja mengadakan persembahan amal dan berharap agar ia mendapat sokongan padu daripada peminatnya.
"Saya jarang mengadakan persembahan di selatan tanah air. Jadi saya harap persembahan kali ini dapat mengeratkan hubungan saya dengan peminat di sana.
"Ini adalah salah satu program dan persembahan saya yang berskala besar. Jadi, semua penonton harapkan yang terbaik daripada saya.
“Saya harap syarikat-syarikat korporat dan peminat di selatan tanah air tidak keberatan menempah meja bagi majlis makan malam nanti. Bukan sahaja dapat berhibur, malah kita sama-sama beramal untuk membantu golongan susah dan tidak berkemampuan," katanya.
Turut menampilkan penyanyi Rahmat Mega dan pengacara majlis Dee, tiket boleh didapati dengan harga RM250, RM450 dan RM550. Hasil penjualan tiket akan disumbangkan kepada Pertubuhan Rumah Orang-Orang Tua Nur Ehsan, Kempas dan Sekolah Tahfiz Anak-Anak Yatim Pandan, Johor.
Bagi yang berminat, hubungi 07-5569276 dan 019-7007187.
Cari 'Jamal Junior'
Dalam pada itu, Jamal turut mengadakan program Sehari Bersama Jamal pada 11 Februari depan di Plaza Angsana, Johor, bagi mencari pelapisnya.
"Saya mahu mencari 'Jamal Junior'. Mereka yang berminat harus menyanyikan lagi saya sahaja dan kalau boleh, mirip seperti saya. Saya tidak mahu adakan pertandingan besar-besaran, cukuplah dengan acara sebegini.
"Setakat ini, saya lihat belum ada lagi yang boleh menggantikan tempat saya. Oleh itu, dengan adanya program sebegini, saya harap mereka yang mempunyai kebolehan tidak melepaskan peluang," katanya berharap agar terus diberikan kesihatan yang baik untuk menghiburkan peminat.
Wednesday, February 8, 2012
Jamal cari pengganti
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: