|
|
TERLETAK bersebelahan pusat beli-belah Megamall Pinang, Hotel Ixora yang mula beroperasi pada November tahun lalu menjanjikan kelainan kepada pengunjung yang mencari lokasi penginapan yang senang dikunjungi dan memiliki pelbagai kemudahan di satu tempat.
Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam hotel berkonsepkan hotel kelas bisnes yang dimiliki ahli perniagaan tempatan, Datuk Ng Swee Chin yang sebelum ini terlibat dalam bidang perniagaan pakaian, pengunjung pasti terpesona dengan penampilan ringkas yang ditunjukkan.
Namun di sebalik itu, Hotel Ixora memiliki kelebihan tersendiri dengan menawarkan suasana bilik luas dan selesa serta beberapa bilik yang dihias dengan penuh kemewahan.
Hotel Ixora memiliki 326 bilik pelbagai kategori termasuk Budget King, Superior, Superior Suite, Deluxe, Executive King, pangsapuri dua bilik dan empat bilik serta suite VIP yang mampu memenuhi keperluan setiap pengunjung.
Bagi yang datang sendirian, bilik Superior atau Deluxe mungkin sudah memadai. Namun Hotel Ixora tidak melupakan pengunjung berkeluarga yang boleh memilih dua bilik atau empat bilik dengan keluasan lebih selesa.
Setiap bilik penginapan dilengkapi dengan perkhidmatan WiFi percuma, internet kabel percuma, peti simpanan deposit, televisyen satelit dengan skrin rata serta peti ais mini yang pastinya menjanjikan kepuasan buat pengunjung.
Pengurus Besarnya, Winston Toh berkata, selain itu, Hotel Ixora juga memiliki lima buah bilik mesyuarat yang boleh memuatkan antara 80 hingga 100 orang mengikut susunan sama ada berbentuk U, teater, kelas, meja bulat atau parti koktel.
Lebih istimewa, dewan utama di hotel ini yang boleh digunakan untuk majlis seperti makan malam atau majlis perkahwinan dengan kapasiti sehingga 1,000 tetamu adalah dewan utama hotel terbesar di Seberang Perai.
Bagi pengunjung yang ingin menjamu selera, terdapat Street Cafe di tingkat bawah hotel ini yang boleh mengisi kira-kira 190 orang pada satu-satu masa dengan pelbagai pilihan hidangan sama ada bufet antarabangsa, cita rasa Asia atau masakan Cina.
Lokasinya yang sekadar lima minit dari Jambatan Pulau Pinang dan berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan membuatkan Hotel Ixora menjadi pilihan pelancong asing dan tempatan serta mereka yang ada urusan kerja di Pulau Pinang kerana mereka tidak perlu bersesak-sesak mencari hotel di bahagian pulau.
Hotel ini juga pastinya menjadi pilihan utama kerana bersebelahan dengan pusat beli-belah yang turut memiliki kemudahan tempat bermain boling yang merupakan antara aktiviti kegemaran pengunjung.
Malah hotel ini juga menyediakan pakej penginapan pada harga berpatutan untuk pengunjung yang menggemari sukan itu, selain melawat beberapa lokasi lain di sekitar Seberang Perai seperti Taman Burung Pulau Pinang dan Homestay Pulau Aman.
Begitu juga bagi mereka yang senang menikmati hidangan di luar, terdapat banyak restoran dan gerai-gerai yang menawarkan makanan laut seperti ikan bakar atau makanan barat di sekitar hotel ini.
Tidak lupa juga kepada pasangan yang datang berbulan madu, Hotel Ixora menyediakan pakej yang menarik untuk mereka termasuk bilik yang dihias indah menepati cita rasa pasangan pengantin baru.
Pada musim cuti sekolah dan cuti umum, pengunjung disarankan membuat tempahan awal bagi mendapatkan bilik di hotel ini kerana sering penuh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: