KETIKA model ini mula menjenguk pasaran pada tahun 2009, ramai yang skeptikal adakah ia boleh mendapat sambutan daripada orang ramai. Jangkaan itu bagaimanapun meleset apabila jentera itu pantas menjadi antara model paling laris yang ditawarkan oleh anak syarikat Kumpulan Naza, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim).
Tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa Peugeot 308, tidak kiralah sama ada varian VTi atau Turbo sememangnya menjadi model penting dalam menghangatkan kembali jenama Peugeot di pasaran tempatan.
Mahu memberikan lebih nilai kepada peminatnya, Nasim menawarkan varian yang telah menerima banyak penambahbaikan pada tahun lalu. Kali ini, pakej yang ditawarkan oleh Peugeot 3008 Turbo terasa lebih berbaloi, walaupun anda terpaksa menambah RM5,000 lagi berbanding model sebelumnya.
Ditawarkan pada harga RM118,888 seunit (harga di atas jalan termasuk insurans), Peugeot memiliki hampir semua yang ada pada sebuah hot hatch Eropah. Kalau dilihat kepada model-model lain yang ditawarkan dalam segmen sama, model yang dipasang tempatan (CKD) itu adalah yang paling murah boleh anda perolehi di pasaran tempatan buat masa sekarang.
Biarpun masih mengekalkan sebahagian besar penampilan luarannya, jentera itu sebenarnya diberi perubahan besar dari aspek mekanikal. Selain penambahan peralatan bagi menjadikannya lebih berbaloi untuk dimiliki.
Dilihat pada luarannya, hot hatch segmen C itu dipasang dengan bampar hadapan baharu. Nampak lagi garang dan lebar. Ditambah pula dengan sepasang lampu utamanya yang besar. Lampu itu bukan sahaja dikawal secara automatik, maksudnya ia akan menyala sendiri sekiranya anda memasuki terowong atau hari semakin gelap.
Trend penting
Malah lampu tersebut mempunyai ciri “Follow me Home” yang akan terus menyala selama beberapa saat selepas enjin dimatikan untuk memudahkan anda membuka pintu atau masuk ke dalam rumah.
Bahagian hadapan juga dipasang dengan sepasang lampu DRL (Day Running Lights), salah satu trend penting yang dimulakan di Eropah. Mahu memastikan pengguna jalan raya lain dapat melihat kehadiran Peugeot 308 Turbo dengan jelas, lampu kabus dipasang pada bahagian hadapan dan belakangnya.
Penampilan jentera itu diserlahkan lagi menerusi penggunaan rim aloi bersaiz 17 inci, diffuser belakang sporty, spoiler bersama lampu brek ketiga dan lampu belakang yang diintegrasikan kemas dengan bampar belakang.
Ruang kabin menjemput anda masuk dengan rekaan papan pemuka yang ringkas berwarna hitam dan perak. Sementara penapis debunga (pollen filter) dan karbon aktif yang ada memastikan udara dalam kabin sentiasa segar dan tidak ‘melemaskan’.
Duduk di tempat duduk pemandu, cermin utama yang luas membolehkan pemandu melihat apa yang berlaku di atas jalan raya dengan jelas.
Cuma, saya kurang gemar dengan posisi kedudukan yang membuatkan pemandu terasa terlalu terperosok ke dalam kabin. Lagi satu, sterengnya juga kosong tanpa sebarang butang kawalan audio. Jadi terpaksalah anda memanjangkan tangan untuk menukar siaran radio atau mengawal suara penyanyi kegemaran anda yang berkumandang dari empat pembesar suara itu secara manual.
Namun, semua kelemahan itu saya maafkan apabila kaki mula menekan pedal minyaknya. Hamburan kuasa daripada unit enjin turbo bertekanan tinggi itu dapat dirasa dengan jelas dan pantas.
Kuasa tersebut diagihkan menerusi kotak transmisi automatik enam kelajuan. Inilah pembaharuan mekanikal yang dimaksudkan. Model sama sebelum ini menggunakan kotak gear automatik empat kelajuan.
Perbezaan yang dapat dirasa dengan ketara semestinya dari segi kelancaran dan penjimatan minyak. Bukan itu sahaja, anda juga pasti lebih seronok untuk menukar gear secara manual dengan cara menolak tuil gear ke atas dan ke bawah.
Sebagai sebuah hot hatch, Peugeot 308 Turbo cuba untuk memberikan tahap pengendalian sebaiknya. Walaupun tidaklah sejitu jika dibandingkan dengan hot hatch lain misalnya Volkswagen Golf, jentera itu masih mampu menawarkan pemanduan yang meyakinkan.
Selagi tidak memandu seperti pemandu rali profesional (semua orang tahu anda bukan pemandu rali profesional), jentera itu pasti boleh membuat anda tersenyum setiap kali memandunya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: