SEWAKTU gambar Honda Civic generasi kesembilan mula tersebar tahun lalu, ramai yang kecewa dengan rekabentuknya. Antara kesepakatan komen-komen dalam blog automotif ialah pereka Civic sudah kekeringan idea dengan mengitar semula rekaan Honda City.
Ramai bersetuju bahawa Civic generasi kelapan lebih menarik dengan rekabentuk yang revolusi. Hakikatnya, Civic generasi kesembilan adalah evolusi model kelapan. Para perekanya melakukan penyempurnaan (refinement) dan ternyata proses itu bukan mudah kerana Civic mempunyai peminat tegar di serata dunia.
Walau bagaimanapun, komen-komen yang menolak rekabentuk terbaharu itu bukanlah bermakna segala-galanya sudah berakhir buat Honda. Ini kerana kadang-kala foto tidak memberi keadilan sebenar kepada realiti. Tambahan pula hati manusia sentiasa berubah. Hari ini tidak suka, esok lusa siapa yang tahu.
Ragam sesetengah daripada kita juga begitu. Sebagai contoh Perodua Kenari. Semasa mula-mula diperkenalkan dahulu, ramai yang mencemuhnya seolah-seolah mesin basuh atau akuarium bergerak. Tetapi lama-kelamaan makin ramai pula yang membelinya dan kemudian menjadi antara produk popular keluaran Perodua.
Pada 10 Januari lalu di Detroit, Amerika Syarikat (AS), Honda telah memperkenalkan Accord Coupe Concept yang dikatakan sebagai bayangan Accord generasi baharu. Pengenalan model itu nyata mengejutkan kerana Accord generasi kelapan yang berada di pasaran sekarang ini seperti baru semalam diperkenalkan. Secara tiba-tiba pula Honda memperkenalkan model penggantinya.
Penggunaan atletik
Honda meneruskan gaya rekabentuk evolusi pada model terbaharu itu. Kali ini, seperti Civic baharu rata-rata komen yang diberikan tidaklah begitu memberangsangkan. Kemungkinan besar mood tersebut dipengaruhi oleh rekabentuk model-model kereta Korea yang dilihat begitu segar dan mempunyai wow factor.
Peminat setia rasanya tidak menjadi masalah untuk terus menyokong Honda. Namun pasti lain pula buat mereka yang bersikap neutral kerana pakej yang ditawarkan oleh pengeluar Korea nampaknya lebih bernilai untuk wang.
Apa pun, Accord Coupe Concept yang baru diperkenalkan mempamerkan arah penggayaan atletik yang kini banyak dipegang oleh pengeluar kereta lain. Garisan dinamik pada bampar hadapan diserlahkan melalui gril sarang lebah empat sisi dan lampu utama multi-reflector.
Rim bersaiz 20 inci yang dipasang menjadikan model konsep itu tampak berada di dalam kedudukan yang tegap. Gugusan lampu belakang pula kemas ditanam di dalam badan kereta. Sementara spoiler nipis pada bonet belakang serta perumah paip ekzos diintegrasikan pada bamper seterusnya menyumbang kepada luaran kereta yang maskulin.
Honda mendakwa model sedan itu nanti akan mempunyai luaran yang lebih kompak berbanding model coupe, sekali gus menambahkan lagi imej sportynya.
Ukuran lebih pendek dengan berat dikurangkan pula akan menambah baik pengendalian serta dinamik pemanduan yang bakal dialami pemandu. Walau bagaimanapun, bijaknya Honda adalah apabila saiz ruang kabin Accord Sedan dan Coupe berjaya dikekalkan sama seperti model sebelumnya.
Model Accord 2013 untuk pasaran AS bakal ditawarkan dengan tiga varian enjin. Model Accord Sedan dan Coupe merupakan model pertama di AS yang bakal menggunakan enjin Earth Dreams 2.4 liter, 16 injap DOHC i-VTEC dengan teknologi pancitan terus (DI).
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan manual atau Continuously Transmission (CVT) baharu yang menggunakan sistem kawalan kooperatif untuk pecutan lebih baik dan penukaran gear yang responsif. Accord terbaharu juga bakal dimuatkan dengan enjin bersaiz mega iaitu 3.5 liter SOHC, i-VTEC V6 yang telah diubahsuai semula dengan lebih kuasa kuda dan tork berbanding model sekarang.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan automatik. Varian Accord sedan 2013 buat pertama kalinya bakal menggunakan dua motor plug-in hybrid system bagi meraih penggunaan minyak yang ekonomikal.
Honda Accord ialah produk terlaris Honda di seluruh dunia dan sehingga kini menjadi antara model yang mencatat jualan tinggi di AS. Accord dilancarkan pada tahun 1976 dengan perubahan rekabentuk major pada tahun 1982, 1986, 1990, 1994, 1998, 2003 dan 2008.
Jualan terkumpul di AS sejak pengenalannya sudah melebihi 11 juta unit. Dalam tempoh tersebut, persaingan memang ada tetapi tidaklah sesengit sekarang.
Hyundai dan Kia sudah mula bangun dan berlari. Adakah Honda perlu merubah strategi bisnesnya? Sambutan terhadap dua model punca pendapatan (bread and butter) iaitu Civic dan Accord baharu merupakan isyarat penting daripada Honda, berubah atau kekal dengan prinsipnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: