Thursday, February 2, 2012

Hero Arkham City


KESEMUA penjenayah di Gotham di kumpulkan di Arkham City.


SUSULAN daripada kejayaan permainan Batman: Arkham Asylum, Warner Bros. Interactive Studios kini tampil dengan Batman: Arkham City.

Diterbitkan pada Oktober 2011 untuk konsol Playstation 3, Xbox 360 dan juga PC. Permainan itu menggunakan enjin Unreal 3 yang merupakan antara enjin terkenal pada masa kini.

Ia digunakan dalam permainan terkenal seperti siri Gears of War yang juga digunakan oleh pembikin permainan video terkemuka seperti 2k Games, Sega, Square Enixdan Electronic Arts.

Plot

Pengembaraan bermula apabila Bruce Wayne yang juga Batman, membuat sidang akhbar di bandar penjenayah, Arkham City.

Kesemua penjahat di Bandar Gotham telah dikumpulkan di situ berbanding permainan dahulu apabila mereka ditempatkan di penjara Arkham Asylum.

Ketika sidang akhbar sedang dilakukan, penjenayah Arkham City mula memberontak sehingga menyebabkan Bruce menjadi tawanan mereka. Bagaimanapun, mereka tidak menyedari bahawa Bruce merupakan adiwira cukup terkenal di bandar berkenaan.

Dunia terbuka

Arkham City mengikuti permainan lain apabila ia telah mengadaptasi konsep Open World Sand Box sama seperti siri Grand Theft Auto.

Bandar Arkham telah dibahagikan kepada beberapa kawasan. Pada kebiasaan, setiap kawasan akan dijajah oleh satu penjenayah seperti The Joker, Penguin, Two Face dan Mr. Freeze.

Mekanisme permainan

Arkham City merupakan permainan dalam genre Action Role Playing Game, Beat-em Up dan stealth.

Pemain akan mengawal Batman dari sudut orang ketiga. Mereka akan menjelajah ke setiap pelosok Bandar Arkham.

Dari bumbung, kawasan jalanan sehingga di bawah tanah dipenuhi samseng. Di samping menyelesaikan pelbagai misi yang menyumbang kepada plot cerita utama, pemain juga boleh melakukan misi sampingan yang amat banyak dalam permainan.

Antaranya menyelesaikan teka-teki musuh Batman, iaitu The Riddler.

Dalam pada itu, antara pergerakan akrobatik Batman yang menarik perhatian dalam permainan ini adalah Gliding atau menyusur menggunakan sayap Batman ketika menjelajah bandar.

Sekiranya, pemain bijak memanipulasi kelebihan ini, Batman mampu terbang di ruang langit Arkham City dengan lama.

Sistem pertempuran


BATMAN juga akan bertembung dengan The Joker dalam permainan ini.


Pemain tidak akan menggunakan sebarang jenis senjata api dalam permainan ini. Mereka yang mengenali hati budi Batman sudah tentu mengetahui sebabnya. Batman merupakan seorang adiwira yang tidak membunuh musuhnya, sebaliknya hanya akan membelasah mereka sehingga pengsan.

Justeru itu, kaedah utama pertempuran adalah pertempuran jarak dekat. Bagaimanapun, Batman tidak bertumbuk sepanjang masa.

Adiwira ini akan menggunakan kaedah menyelinap atau pun Stealth. Batman akan mengoptimakan suasana gelap dan persekitarannya dalam menewaskan musuh. Di sinilah kesabaran pemain akan diuji.

Gajet

Permainan bertemakan Batman tidak sah tanpa gajet. Dalam Arkham City, pemain boleh menggunakan pelbagai jenis gajet untuk pelbagai kegunaan.

Antara gajet terkenal adalah Grapel Hook yang digunakan untuk melompat dari bumbung ke bumbung. Batarang sama seperti boomerang berbentuk kelawar yang mempunyai beberapa variasi, komputer penggodam kecil dan juga alat yang mampu merosakkan senjata api dari jarak jauh.

Ini hanya beberapa gajet Batman yang mampu digunakan dalam permainan, terdapat banyak lagi yang boleh digunakan.

Cat Woman

Dalam pada itu, terdapat juga kandungan muat turun yang boleh dibeli dalam konsol Playstation 3 iaitu watak tambahan Cat Woman.

Pemain boleh menggunakan Cat Woman untuk menjelajah Arkham City bersama-sama dengan kemahiran uniknya seperti kemahiran bermain cemeti dan pergerakan akrobatik.

Galeri

Pemain boleh melihat galeri dalam permainan apabila semakin mara dalam permainan, lebih banyak maklumat dan informasi tentang dunia Batman boleh dibaca dalam galeri ini.

Secara keseluruhan, Batman: Arkham City merupakan permainan yang memuaskan. Kualiti grafiknya amat tajam dan kemas pasti akan memukau kebanyakan pemain. Persembahan keseluruhan termasuklah lagu latar, lakonan suara dan juga tema memang kena dengan watak komik Batman.

Sedikit kekurangannya adalah ciri Artificial Intelligence musuh kurang pintar di mana adakalanya mereka mudah ditewaskan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: