|
|
SETIAP hari Julia Ali, 27, terpaksa memenuhi banyak tempahan kek dan mufin dari kedai miliknya, Sarah Jane Cup Cake di Seberang Takir, Kuala Terengganu.
Namun begitu, dia masih mampu meluangkan waktu untuk menjalankan aktiviti kecergasan dan riadah yang meriangkan.
Selain mengamalkan senaman ringan di rumah serta memastikan pengambilan pemakanan seimbang untuk menjaga berat badan, Julia sering kali menghabiskan masa melakukan aktiviti berbasikal.
Dia melakukannya bersendirian atau bersama rakan-rakan dari Kelab Terengganu Fixed Gear atau Gohek pada hujung minggu.
Kelab itu disertai 34 pengayuh basikal fixie termasuk dua wanita.
"Apabila menunggang basikal, terasa lapang dada kerana aktiviti ini dapat menghilangkan tekanan kerja, selain ia juga baik untuk kesihatan. Selepas berbasikal, setiap pergerakan terasa ringan dan diri pula terasa cergas," katanya.
Julia memiliki dua buah basikal dengan satu daripada berharga RM1,400 beserta topi keledar khas yang bernilai RM120.
Julia yang ditemui S2 semasa pelancaran Bulan Berbasikal Terengganu di Batu Buruk baru-baru ini memberitahu, dia menghabiskan masa selama lebih dua jam sehari menunggang basikal di sekitar Seberang Takir, Teluk Ketapang dan Gong Badak.
"Di kawasan tepian pantai di Teluk Ketapang dan Tok Jembal, suasana kawasan ini memberikan ketenangan serta sesuai untuk menjalani kegiatan riadah," ujarnya.
Katanya, pengalaman menyeronokkan sepanjang dua tahun adalah bersama Kelab Gohek berkayuh sejauh lebih 100 kilometer pergi dan balik ke Pantai Penarik, Setiu.
"Saya pernah dua kali terjatuh hingga luka pada bahagian siku dan lutut. Kata orang, kalau tidak mahu ada parut pada lutut dan siku, jangan kayuh basikal," katanya sambil ketawa kecil.
Walaupun berbasikal pada waktu malam mempunyai risiko tersendiri, namun dia beranggapan ia waktu yang paling sesuai untuk berkayuh.
Dalam aspek keselamatan, selain menyediakan topi yang sesuai, Julia juga membelanjakan RM80 untuk memasang dua biji lampu pada basikalnya, seluar (RM60), sarung tangan (RM50), sarung lengan (RM30), botol minuman (RM25) dan kasut (RM150).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: