Pastinya ramai peminat filem tempatan masih tidak mengenali pelakon seberang ini memandangkan filem Chantek penampilan pertamanya di sini.
Pelakon yang lebih mesra dengan panggilan Nurul ini memulakan perjalanan kariernya pada Disember 2010 dengan kemunculannya dalam iklan komersial dan beberapa sinetron.
Nurul berkata, selain Chantek yang merupakan filem ketiga lakonannya, dia juga pernah membintangi filem Bait Cinta dan Soulquest di Indonesia.
“Saya tidak pernah terfikir dipilih menjadi heroin dalam filem Chantek kerana semasa uji bakat, terlalu ramai saingan yang hebat turut mencuba nasib.
“Syukur, dengan bakat yang ada, saya dipilih Pierre Andre, untuk beraksi dalam filemnya,” katanya yang teruja dapat bekerjasama dengan pengarah muda itu.
Katanya, sebelum ini dia melihat Pierre melalui lakonan menerusi filem Cinta dan Sepi dan tidak sangka kini dipilih berlakon bersama pelakon hebat itu.
Menurutnya, filem ini merupakan satu platform buat dirinya mengembangkan bakat dan namanya dalam bidang lakonan di Malaysia.
“Saya tidak mengalami sebarang masalah dan senang bekerjasama dengan pengarah dan penerbit di sini memandangkan mereka memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada saya untuk melakukan yang terbaik.
“Harapan saya, semoga semua peminat filem di Malaysia dapat menerima lakonan pertama saya menerusi Chantek, sekali gus memberi sokongan terhadap karier saya yang baru saja bertapak di sini,” ujarnya.
Selain Nurul, filem ini turut dibintangi Pierre, Maimon Mutalib dan Abon.
Walaupun pernah membintangi beberapa telefilem dan sinetron, Nurul akui masih banyak perkara perlu dipelajarinya dalam memantapkan lakonannya setaraf pelakon berpengalaman lain.
“Dalam setiap filem dan sinetron, pasti ada cabarannya tersendiri dan melalui filem Chantek, selain cabaran memegang watak sebagai pembantu rumah, saya juga terpaksa menukar intonasi suara menjadi seorang lelaki.
“Bagaimanapun cabarannya saya tidak berputus asa mendalami watak utama yang diberikan dan mengharapkan lakonan ini berjaya memenangi hati peminat di sini,” katanya.
Nurul berkata, dia tidak mengalami masalah menjiwai watak Chantek yang juga merupakan watak tulang belakang filem genre romantik komedi ini.
“Sebelum memulakan penggambaran di Malaysia, saya dibantu teman yang juga seorang pelakon di Indonesia untuk memahami dan mendalami skrip diberikan.
“Ternyata tunjuk ajar daripada teman saya itu, sedikit sebanyak membantu saya menjayakan filem ini dengan baik,” katanya.
Chantek, mengisahkan AD, seorang bintang filem yang hidup menderita setelah buta. Kejadian itu bersangkut-paut dengan tunangnya yang curang.
AD kemudiannya membawa dirinya jauh dari kota dan dijaga oleh Chantek, seorang pembantu rumah dari Indonesia yang terpaksa menyamar sebagai lelaki kerana masih fobia dengan perempuan.
Lama-kelamaan kerana kebaikan AD dan kemesraan mereka berdua, Chantek, terpaksa mendedahkan rahsianya. Walaupun marah, AD sedia memaafkannya kerana kejujuran Chantek memulihkannya. Tetapi apabila Chantek terjumpa skrip yang mengisahkan mengenai dirinya, dia terasa diperbodohkan AD dan terus menghilangkan diri.
Selama sebulan AD tidak tentu arah dan mencari-cari Chantek Dapatkan mereka kembali bersatu?
Memiliki rupa paras lembut tidak menghalang pelakon jelita ini mengidamkan watak aksi lasak dalam lakonannya akan datang.
“Sejak bergelar pelakon, kebanyakan watak yang diberikan kepada saya menerusi filem dan sinetron adalah watak protagonis.
“Saya gemar mencuba perkara baru dan sekiranya diberikan peluang, saya mahu lakonkan watak aksi lasak dan antagonis kerana ianya mampu memberi lebih cabaran dalam lakonan selain pengalaman berharga buat saya dalam menempah nama di industri lakonan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: