Bermula hanya sebagai istiadat yang diwarisi dari zaman berzaman, majlis perkahwinan seolah-olah mengalami anjakan sehingga berkembang menjadi satu perniagaan dan industri yang menguntungkan.
Ledakan itu menyaksikan pelbagai tawaran, inovasi dan kreativiti yang diilhamkan oleh perunding perkahwinan untuk bakal pengantin.
Sebagai usaha memenangi persaingan dalam industri yang penuh persaingan itu pelbagai strategi dilakukan termasuk penganjuran pameran atau ekspo perkahwinan.
Usaha sama diperkenalkan oleh Dios Astana Bridal yang akan menganjurkan ekspo perkahwinan berskala besar dengan mengumpulkan pengusaha butik pengantin dari pelbagai peringkat di bawah satu bumbung bermula 23 hingga 25 Mac ini.
Suasana yang cukup selesa itu bakal memberikan pasangan bakal pengantin dan ibu bapa mereka membuat pilihan dan keputusan dalam keadaan tenang.
Ekspo besar-besaran itu bakal diadakan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama tiga hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Menariknya, ekspo yang dianjurkan itu adalah bersempena pertandingan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia Musim Ke-3 .
Selain pameran dan jualan, pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang ekspo termasuk persembahan artis dan kebudayaan, pertunjukkan fesyen, ceramah serta pelbagai demonstrasi yang bermanfaat khususnya sebagai panduan untuk bakal pengantin.
Pengurus besar Dios Astana Bridal, Zaidi Osman berkata, ekspo tersebut bertujuan membuka peluang dan ruang kepada pengusaha butik pengantin, tidak kira sama ada dari peringkat kenduri mahupun cenderahati bersatu dalam satu ruang pameran.
Tambahan lagi, pameran itu dijangka dapat menarik pengunjung dari seluruh pelosok tanah air memandangkan ia diadakan dalam cuti sekolah.
"Selain keperluan sehenti pengantin, antara produk dan khidmat yang ada di ruang pameran termasuk barangan penjagaan kecantikan dan kesihatan, barangan membuat kek dan kulinari, dekorasi, fesyen, agensi pelancongan dan pelbagai lagi.
"Kami menawarkan kira-kira 200 ruang pameran yang meliputi meja, kerusi, bakul sampah, karpet dan sebagainya.
"Ruang pameran atau gerai ini ditawarkan pada harga pakej RM4,500 seunit. Potongan harga akan diberikan bagi yang menyewa lebih daripada seunit.
"Bagi yang memberikan pengesahan awal juga akan diberi potongan harga sebanyak lima peratus ," ujar Zaidi.
Selain ruang pameran, ekspo itu juga menyediakan pentas khas untuk pertunjukan fesyen.
Menurut Zaidi, ini satu peluang keemasan yang tidak seharusnya dilepaskan oleh pengusaha butik pakaian kerana slot ini pasti ditonton oleh ramai pengunjung.
"Pakej untuk pertunjukkan fesyen ini dijual pada harga RM2,000 untuk satu slot. Slot pertunjukkan fesyen ini adalah terhad di mana hanya 20 slot sahaja ditawarkan.
"Seramai enam peragawati profesional dan tiga peragawan disediakan untuk slot ini selain solekan dan dandanan.
"Lebih menarik pengusaha butik diberikan satu salinan rakaman berbentuk cakera padat untuk pertunjukan fesyen mereka," tambahnya.
Zaidi berkata, pada hari pertama ekspo mereka akan mengadakan persembahan pembukaan pada pukul 12 tengah hari, disusuli ceramah dan demonstrasi sebelum perasmian pembukaan.
"Ia diikuti dengan pertunjukan fesyen dan persembahan artis. Hari kedua pula dimeriahkan dengan penerangan tip dan panduan untuk bakal pengantin, pertunjukkan fesyen dan persembahan hiburan.
"Hari ketiga juga agenda yang sama cuma sebelum berakhirnya ekspo, diadakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik untuk para pengunjung.
"Antara persembahan yang terlibat adalah seperti tarian tradisional, pencak silat, alat muzik seperti angklung dan gamelan.
"Jika ada bakal pengantin yang mahukan perkhidmatan tambahan seperti yang dinyatakan boleh terus berunding dengan wakil persembahan masing-masing.
"Ini pendekatan yang sangat baik bagi memastikan bakal pengantin melihat sendiri dan memilih jenis persembahan dan hiburan apa yang mereka mahu demi menambah kemeriahan majlis perkahwinan mereka," ujar Zaidi lagi.
Bagi yang berminat menyertai ekspo ini boleh menghubungi Nadia atau Isanas Putra di talian 013-4441432 atau 03-80633020 atau 012-6842417.
Maklumat juga boleh didapati dengan melayari laman web www.diosastana.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: