Tuesday, February 14, 2012

Pengarah India hasilkan filem Cina

pix_gal0
SELEPAS menghasilkan beberapa judul Melayu dan Tamil seperti Pensil, Sumpahan Puaka dan Garuuda, kini pembikin filem daripada Genius Parade Sdn Bhd, M Subash, (gambar) tampil berbeza dengan mengarahkan filem Cina berunsurkan seram, sekali gus meletakkan dirinya sebagai sutradara bukan Cina tempatan pertama mengarahkan filem Cina tanah air.

Pada mulanya, akui Subash, ramai yang kurang yakin dengan kebolehannya.Namun selepas mengetahui dirinya boleh bertutur dalam bahasa Cina dengan baik, kesangsian mula terhakis dan seluruh kru dan pelakon komited memberikan kerjasama, membolehkan penggambaran memakan masa seminggu saja.
Subash pernah belajar di Sekolah Kebangsaan Yuk Chi di Batang Berjuntai. Dari situlah dia mampu untuk memahami bahasa berkenaan dan bertutur dengan fasih.

Subash serta penerbitnya, M Suurya, yang ditemui di Balai Berita baru-baru ini nyata teruja dengan karya terbaru mereka, You Believe In Ghost? itu. Mereka mengharapkan sambutan memberangsangkan dan pungutan yang tinggi, supaya ia boleh dijadikan penggerak kepada filem seterusnya.

Melihat kepada sambutan diterima untuk filem Ah Beng dan Nasi Lemak 2.0, Subash percaya, filem ini juga boleh menarik penonton.

Menurutnya, genre seram dipilih disebabkan sifat sejagatnya. Sebagai contoh, filem Nang Nak dari Thailand yang masih mampu mendapat sambutan hangat penonton walaupun menggunakan bahasa Siam.
“Ini kerana filem seram boleh ditonton oleh pelbagai bangsa walaupun bahasa berlainan digunakan.

Tambah lagi, jalan cerita yang saya terapkan tidak memerlukan penonton berfikir kerana ia senang difahami serta menggunakan dialog yang mudah.

“Tidak dinafikan mengarah filem berbahasa Cina ini ada cabarannya. Pada mulanya ada yang kurang percaya pada kebolehan saya, tapi selepas dua atau tiga babak pertama, kami semua mula rasa seronok untuk bekerjasama,” kata Subash yang juga penulis filem itu.

You Believe in Ghost? agak menarik apabila ia boleh dilihat sebagai projek harmoni berbilang kaum, yang mana pengarah dan penerbitnya berbangsa India, barisan kru terdiri daripada orang Melayu, dan pelakon pula dibarisi bakat berbangsa Cina.

Filem yang bakal ditayangkan pada Mei ini antara lain memaparkan empat kisah yang bercerita mengenai kasih sayang, fobia, komedi dan kepercayaan karut.

Kisah yang dipaparkan adalah hasil daripada kajian yang dilakukan selama empat bulan oleh Subash sendiri. dia dapat merumuskan 85 peratus rakyat di dunia percaya wujudnya hantu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: