Saturday, February 11, 2012

Bermain salji di Steamboat Springs




JIKA anda merasakan kunjungan ke Steamboat Springs hanya berkisar kepada aktiviti ski semata-mata, fikirkan semula.

Berkunjung ke bandar ski yang terkenal di Amerika Syarikat itu pada musim sejuk membolehkan pengunjung melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti menangkap ikan, menaiki belon udara panas atau sekadar berendam di kolam air panas di lokasi terpencil.

Mahu melakukan aktiviti yang tidak terlalu mencabar? Apa kata mencuba pilates, kelas menjahit atau belajar membuat tembikar.

Kesemua pilihan itu wujud disebabkan Steamboat bukan sahaja terkenal sebagai destinasi percutian tetapi, juga sebuah bandar yang unik.

Malah, bilangan bilik hotel di bandar itu hampir menyamai jumlah penduduknya iaitu seramai 12,000 orang.

Terletak kira-kira 240 kilometer di barat laut Denver, Steamboat Springs mendapat namanya pada tahun 1860-an.

Menurut cerita, sekumpulan penjelajah Perancis ketika itu melihat bahan-bahan mineral di dalam kolam air panas mengeluarkan bunyi seperti stimbot.

Juga dikenali sebagai Ski Town USA, Steamboat dikenali kerana melahirkan ramai atlet Olimpik musim sejuk berbanding bandar-bandar lain di Amerika Utara.

"Bersantai, keaslian dan kegembiraan, tiada resort-resort lain yang yang mampu menandingi kehidupan sebenar yang ditawarkan di Steamboat," tulis SKI Magazine dalam satu keluarannya. Malah, ia turut menyenaraikan bandar itu di tangga kelapan Top North American Resort Guide 2011.

Pelbagai usaha dilakukan untuk mengubah wajah keseluruhan bandar itu termasuk peruntukan sebanyak AS$1 bilion (RM3.04 bilion) sejak lima tahun lalu untuk kerja-kerja pembaikan kawasan pusat luncur salji dan lapangan terbang Steamboat yang terletak kira-kira 40 kilometer dari situ.

Aktiviti di bandar itu terbahagi kepada tiga kawasan utama iaitu di puncak Werner berhampiran Steamboat Ski Area, di daerah Old Town yang terletak kira-kira lima kilometer atau di kawasan pinggir bandar di Routt County.

Bagi melakukan aktiviti yang melibatkan cuaca atau salji, pengunjung disarankan untuk menghubungi pihak yang terlibat untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

Berikut ialah antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di situ:

Keseronokan berski


JANGAN takut untuk mencuba aktiviti memanjat dinding ais.


Secara tradisinya Steamboat terkenal dengan saljinya yang tebal, lembut dan kering. Apabila cuaca baik, mereka yang sanggup membayar pada pakej premium berpeluang menjadi individu pertama mencubanya sebaik sahaja ia dibuka kepada pengunjung.

Bagaimanapun, pada awal Januari tahun ini, jumlah salji agak berkurangan disebabkan cahaya matahari. Hanya 75 peratus laluan yang dibuka untuk aktiviti ski.

Biarpun situasi itu boleh diumpamakan seperti musim bunga, Steamboat Ski School menawarkan jadual lengkap bagi kelas perlumbaan ski termasuk telemark ski, gaya bebas dan menunggang kenderaan ski.

Rasai juga keseronokan melawat bekas lombong yang menjanjikan laluan mencabar di setiap peringkat.

Terdapat variasi hidangan yang boleh dijadikan pilihan tatkala berada di atas gunung itu.

Selepas sehari meluncur, apa kata berlibur seketika di Ski Town Wine & Spirits sambil menikmati minuman di Hotel Steamboat Grand.

Jika tidak, cukup sekadar ke Enzo Pizzeria, tidak jauh dari situ untuk merasai keenakan pai mozzarella yang dikatakan antara yang terbaik di luar Itali.

Jangan lupa untuk merasai variasi pencuci mulut di Chocolate Soup Pastry Cafe. Ia menyediakan makaroni yang lazat menerusi beberapa rangkaian Whole Foods.

Bagi yang ingin menikmati hidangan istimewa, Cafe Diva adalah lokasinya. Resipi daging batang pinang ala Mediterranean yang terkenal di situ memang sentiasa menjadi permintaan.

Sekiranya tab air panas di hotel tidak cukup untuk menghilangkan lenguh-lenguh otot tubuh anda, terdapat dua resort, Sheraton dan Steamboat Grand yang menawarkan perkhidmatan spa kepada orang ramai.

Terdapat aktiviti lain yang turut ditawarkan di Mount Werner iaitu konsert percuma Bud Light Rocks the Boat dan beberapa persembahan lain di Strings Music Pavilion yang mampu memuatkan seramai 550 pengunjung.

Bandar Old Town

Old Town sentiasa penuh sesak dengan kehadiran pengunjung tempatan dan pelancong asing kerana terdapat banyak lokasi tumpuan yang boleh diteroka.

Antaranya termasuk Howelsen Hill, kawasan ski tertua di Colorado yang mula beroperasi sejak tahun 1915.

Hot Spring pula menawarkan beberapa kolam air panas terbuka untuk membolehkan pengunjung berenang, berendam, bermain papan gelongsor air atau sekadar memanjat tembok akuatik yang disediakan.


OTOT-OTOT tubuh mampu disegarkan tatkala berendam di Strawberry Park Hot Springs.


Terdapat juga bilik kardio dan pusat urutan yang terdapat di situ. Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba beberapa aktiviti lain yang ditawarkan seperti pilates, yoga dan spa.

Bagi mereka yang gemar mengait dan menjahit, boleh berkunjung ke Sew Steamboat atau Steamboat Arts and Crafts Gym, lokasi yang sesuai untuk semua peringkat umur yang suka melukis dan mereka cipta.

Terdapat pelbagai pilihan gastronomi yang ditawarkan di Old Town daripada kedai kopi di dalam kedai buku Off the Beaten Path sehingga Winona. Pengunjung juga boleh mencuba sandwic di Backcountry Provisions atau burger yang dilapisi hati angsa di Bistro C.V.

Kawasan pinggir bandar

Terdapat aktiviti lain yang boleh dicuba di Saddleback Ranch, yang terletak kira-kira 24 kilometer di bahagian barat bandar itu. Ladang ternak itu juga menawarkan aktiviti menunggang kuda dan menaiki kereta kuda.

Antara aktiviti-aktiviti luar biasa yang ditawarkan di situ termasuk teknik merentas salji dengan anjing oleh Kris Hoffman iaitu pemilik Grizzle-T Dog Sledding di Bridgestone Winter Driving School.

Orang ramai juga boleh mempelajari teknik memanjat tembok ais yang dikendalikan oleh Rocky Mountain Ventures atau kelas belon udara panas oleh Wild West Balloon Adventures.


JIKA berani, apa salahnya mencuba aktiviti merentas kawasan salji dengan menunggang anjing.


Bagi mereka yang mampu bertahan dalam suhu air sejuk, Steamboat Flyfisher membawa pengunjung menaiki kereta salji ke Yampa.

Ketika perubahan musim iaitu sewaktu salji mula mencair, pengunjung berpeluang melawat ke Strawberry Park Hot Springs yang agak terpencil.

Kemudahan asas seperti bilik persalinan turut tersedia beberapa langkah dari kawasan kolam di situ, namun selepas malam menjelma, bilik persalinan itu bukan lagi pilihan utama, anda boleh menjimatkan masa sekiranya bermandi-manda dengan berpakaian.

Jika ke sana:

Steamboat Ski & Resort: Buat tempahan di Steamboat Springs Colorado di talian 970-879 6111 atau layari www.steamboat.com

Stemboat Springs Chamber of Commerce: Boleh hubungi talian 877-754 2269 atau ww.steamboat-chamber.com

Untuk ke sana:

Steamboat Springs terletak kira-kira 240 di barat laut Denver. Sementara itu, lapangan terbang Steamboat hanya terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar. Terdapat pilihan penerbangan terus ke situ seperti American, Delta, United dan Frontier.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: