Tuesday, February 7, 2012

Cabaran Chef Cilik Vanida


BERGABUNG TENAGA. Dari kiri: Vanida Imran bersama Chef Andri Abdul Hadi (tengah) dan pakar nutrisi dari Danone Dumex (M) Sdn. Bhd. Nor Azah Mohd. Sidi menunjukkan jus buah-buahan yang menggunakan susu Dumex pada majlis pelancaran rancangan Chef Cilik di restoran The Bee, Solari Dutamas, Publica, Petaling Jaya pada minggu lalu.


SELEPAS meninggalkan program Nona, aktres terkenal Vanida Imran kembali ke lapangan pengacaraan. Kali ini, Vanida menjadi pengacara untuk program masakan keluarga Dumex Chef Cilik Komplete Nutri yang akan mula bersiaran pada 13 Februari depan.

Meskipun program Nona dan Chef Cilik merupakan program yang berbeza, namun menurut isteri kepada aktor Rashidi Ishak itu, kedua-dua program itu memberi satu pengalaman baharu kepadanya.

“Saya sangat seronok mengacarakan program Chef Cilik, ia sangat berbeza dengan Nona kerana program ini melibatkan kanak-kanak dan juga ibu bapa mereka.

“Kalau untuk Nona saya kena kawal diri dan nada suara juga dijaga tetapi dalam program ini, adakalanya saya harus menjerit kerana ia sebuah pertandingan masakan,” katanya yang memotong rambut sebaik sahaja menamatkan tugas bersama Nona.

Vanida yang juga duta kepada produk Dumex memberitahu, cabaran utama yang harus ditanganinya dan juga pihak produksi adalah kanak-kanak.

Katanya bukan mudah untuk mengawal kanak-kanak yang berusia enam hingga 11 tahun ketika rakaman program dijalankan selama dua minggu.

“Biasalah kanak-kanak, mereka cepat bosan dan tidak boleh duduk diam. Sebab itu setiap kali rakaman, harus dilakukan dengan cepat jika tidak ada yang mata mula kuyu dan mula mengusik semua benda di sekeliling mereka.

“Ada masanya saya layan dan marah mereka seperti anak sendiri untuk memastikan mereka kekalkan mood untuk memasak,” balasnya.

Uniknya ujar Vanida, daripada 27 pasukan yang berentap, kebanyakan kanak-kanak yang terlibat adalah kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

“Siapa kata kanak-kanak lelaki tidak boleh memasak kerana kebanyakan mereka yang menyertai program ini adalah lelaki, saya sendiri terkejut,” ungkapnya.

Bercerita lanjut mengenai program Chef Cilik, Ketua Kandungan Jenama, Jualan Media Astro, Haris Ismail berkata, peserta program sebanyak 13 episod itu dipilih berdasarkan uji bakat yang dijalankan secara tertutup oleh pihak produksi.

Apabila ditanya, mungkinkah program ini diwujudkan kerana populariti program Junior Masterchef yang turut ditayangkan di Astro, kata Haris, Chef Cilik merupakan program yang berbeza sama sekali.

“Memang kedua-duanya program masakan tetapi, Chef Cilik menggabungkan tenaga, ibu, bapa atau abang bersama seorang kanak-kanak yang akan melalui cabaran menerusi empat segmen.

“Malah, selain sebuah pertandingan masakan, program ini amat menitikberatkan kandungan nutrisi yang terkandung dalam masakan mereka, secara tidak langsung ia dapat mendidik ibu bapa di rumah untuk memasak secara sihat buat anak-anak mereka,” ujar Haris.

Masakan peserta akan dinilai oleh panel hakim yang terdiri daripada Chef Andri, pakar pemakanan Dumex, Nor’azah Mohd. Sidi dan tetamu selebriti seperti Dynas Mokhtar, Ako Mustapha dan Maria Farida.

Pemenang akan membawa pulang wang tunai RM20,000, kedua RM 15,000, manakala tempat ketiga RM10,000. Program Chef Cilik akan bersiaran setiap Isnin, pada pukul 10 malam di Astro Ria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: