|
MENGIMBAS kembali beberapa bulan terkebelakang, kisah percintaan bekas juara Akademi Fantasia 7, Hafiz, dan salah seorang finalis Akademi Fantasia 8, Adira menyusup sayup perlahan ke telinga ramai.
Sehingga sampai satu masa isu Hafiz bertumbuk dengan seorang pengkid kecoh disebut-sebut dan kemudiannya pasangan Hafiz dan Adira akhirnya berpisah.
Timbul spekulasi ada individu ketiga dalam hubungan cinta Hafiz-Adira yang didakwa seorang pengkid sekali gus menjadikan punca perpisahan.
Kesal dan terkilan dengan kisah yang dijaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, Adira menegaskan perkara itu merepek dan buang masa.
"Rasanya isu ini nothing! Saya tak tahu orang dengki atau apa tapi setiap individu ada pendapat masing-masing.
"Saya berkawan dengan semua orang dan bagi saya perkara utama adalah kita sendiri tahu batasan dalam berkawan.
"Siapa yang cakap saya tak lurus itu melampau! Saya masih straight! (meminati kaum lelaki). Saya mahu lupakan perkara itu dan fokus kepada perjalanan karier saya yang masih jauh lagi," kata Adira ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Siti Adira Suhaimi, 21, hubungan antara dia, Hafiz dan pengkid yang bernama Zack itu sekarang kembali seperti sediakala.
"Saya tak nak ungkit benda lepas, perkara itu pun sudah selesai. Pasal pergaduhan itu tiada kaitan dengan saya. Mungkin mereka ada perselisihan faham sesama mereka.
"Buat masa sekarang tak ada masalah antara kami bertiga dan perkenalan saya dengan Zack cuma atas dasar kerja.
"Lagipun dia floor manager kepada banyak program yang saya dan Hafiz sertai. Berjumpa pun cuma ketika di set. Adalah tidak adil untuk menghukum saya atas sebab yang tidak munasabah," tegas Adira yang mahu isu itu tidak dibicarakan lagi.
Hafiz
Baru dinobatkan sebagai juara untuk anugerah muzik yang paling berprestij negara, Anugerah Juara Lagu, Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 20, mungkin membuka peluang kedua untuk menyulam cinta kembali bersama Adira.
Biar sebelum ini mereka menoktahkan perjalanan kasih dan sayang demi mengejar karier masing-masing, mungkin setelah kemenangan itu. Adira merasakan ada peluang yang lebih cerah untuk bersama.
"Kalau nak cakap pasal peluang, ada jodoh, adalah. Banyak yang belum dicapai dan sejujurnya kami masih mahu berusaha dengan lebih keras.
"Sebenarnya macam-macam boleh jadi, kalau ditakdirkan jodoh saya dengan orang lain, apa boleh buat?" ujarnya yang kini sudah mengenali keluarga masing-masing.
Sepanjang mengenali Hafiz sebagai seorang kekasih lebih setengah tahun, Adira menyifatkan jejaka itu seorang yang sangat baik, saling bersefahaman dan bukan insan panas baran.
Malah sehingga kini, Adira dan Hafiz masih berkawan cuma sedikit terbatas hanya atas dasar kerja.
"Tak ada apa yang berubah, kami masih rapat dan kami berhubungan atas dasar kerja. Setakat ini semua berjalan dengan lancar," noktah diletakkan mengenai hubungan cintanya.
Penangan Ombak Rindu
Sebagaimana sambutan peminat terhadap keunggulan naskhah filem Ombak Rindu, begitu jua tempias yang terkena kepada pelantun lagu runut bunyi filem itu, Hafiz mahupun Adira sendiri.
|
|
"Ramai peminat saya apabila berjumpa panggil saya Adira Ombak Rindu, sama macam Hafiz. Kadangkala kalau jumpa di luar pun mereka suruh saya nyanyikan lagu itu," cerita gadis berketurunan Dusun itu.
Baginya, kekuatan dan keunikan lagu Ombak Rindu yang membuai-buai seperti mana filemnya merupakan rezeki baginya.
"Alhamdulillah, lagu Ombak Rindu merupakan rezeki bagi saya, apabila lagu itu keluar, ramai yang suka dan sering mendapat respons positif," katanya yang mula merakam lagu itu pada bulan Januari tahun lalu.
Selesa digandingkan dengan Hafiz, Adira mengakui bekas kekasihnya itu seorang penghibur berbakat dan mempunyai teknik nyanyian serta penghayatan yang terbaik.
Malah, Adira tidak menolak jika diberikan peluang untuk berduet sekali lagi.
Sakura single ketiga
Sakura, predikat yang amat sinonim dengan negara matahari terbit iaitu Jepun, begitu juga ciri-ciri utama dalam lagu ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Omar K itu.
Single ketiga Adira selepas Ilusi dan Ku Ada Kamu benar-benar mencirikan gubahan muzik berasaskan petikan peralatan muzik Jepun, koto.
"Lagu balada ini unik dari segi susunan muziknya. Berbeza daripada single pertama dan kedua, Sakura menceritakan sebuah kisah sedih mengenai seorang insan yang mendakwa kekasihnya yang sebenarnya mati itu curang kepadanya," singkap si gadis manis yang sekali sekala melatah apabila diusik itu.
Sakura yang dikeluarkan pada bulan Januari lalu dihidangkan bersama klip videonya yang berpakaian kimono.
Sementara itu, Adira juga kini sedang dalam proses mengumpul material untuk album pertamanya. Konsep album danjumlah lagu termuat masih dalam peringkat perbincangan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: