Saturday, February 4, 2012

Rekaan eksklusif siswazah UiTM


PARA pelajar UiTM bijak menggunakan kombinasi jahitan dan teknik membuat baju serta perhiasan bagi mencetuskan idea rekaan yang unik.


SERAMAI 36 pelajar telah mengambil bahagian dalam Pertunjukan Fesyen Siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2012 baru-baru ini. Mereka yang terdiri daripada 28 pelajar perempuan dan lapan pelajar lelaki ini merupakan pelajar program Ijazah Seni Lukis dan Seni Reka (Kepujian) Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni dan Seni Reka UiTM Shah Alam.

Sebanyak 144 helai rekaan fesyen baju yang eksklusif telah dipersembahkan kepada para hadirin yang terdiri daripada pensyarah, ibu bapa pelajar, media, tetamu jemputan dan rakan-rakan sekuliah.

Setiap seorang pelajar menghasilkan sebanyak empat helai rekaan yang lahir daripada ilham dan inspirasi mereka. Tahun ini, rekaan yang dipilih adalah berdasarkan daripada harapan dan visi mereka dalam dunia fesyen yang kemudian dizahirkan melalui visual.

Pertunjukan fesyen tersebut dibahagikan kepada dua bahagian di mana setiap bahagian disertai oleh 18 orang pelajar.

Tekstur, perhiasan, draping dan pleating, ilusi dan drama bergerak seiring bagi meningkatkan dunia fesyen sebagai satu hasil seni yang boleh dibanggakan.

Mereka menggunakan kombinasi jahitan dan teknik membuat baju serta perhiasan bagi mencetuskan satu idea rekaan yang unik.

Program Seni Reka Fesyen menawarkan latihan berasaskan kreativiti dan reka bentuk dengan proses teknik dan pengeluaran yang disokong oleh pengetahuan teoritis untuk menggalakkan kreativiti dan inovasi.

Pelajar dilatih lebih kreatif, terampil dan berpengetahuan serta bersedia mempelajari reka bentuk fesyen, keusahawanan, kostum dan industri pakaian.

Pelajar program ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka (Kepujian) Seni Reka Fesyen ini setelah tamat pengajian boleh menceburkan diri dalam bidang-bidang profesional seperti perancang busana, pembantu dalam industri mode dan pakaian, profesional dalam bidang pemasaran dan peribadi, penulis fesyen, guru, tutor, pembantu pereka kostum dalam bidang hiburan dan filem.

Sementara itu, daripada 38 pelajar yang mengambil bahagian, tiga orang telah dipilih bagi memenangi tiga anugerah utama yang terdiri daripada anugerah emas, perak dan gangsa.

Anugerah Emas menjadi milik pelajar bernama Nurul Akma Abdul Latif yang menghasilkan rekaan bertemakan Voyages Robe.

Menurut Nurul Akma, walaupun robe bermakna jubah, namun rekaannya tidak dimasukkan dengan elemen jubah sebaliknya ditukar kepada jaket. Sementara voyages diinspirasikan daripada kapal layar atau lebih tepat Lancang Kuning.

‘‘Sasaran saya adalah untuk wanita yang berkerjaya tinggi. Selain boleh dipakai untuk bekerja, koleksi ini juga boleh digayakan ke majlis tertentu,’’ kata Nurul Akma yang bercita-cita untuk mempunyai label pakaian sendiri.

Mohd. Yazid Mohd. Jamil pula yang terpilih untuk memenangi Anugerah Perak menjadikan bunga lawang sebagai sumber inspirasinya.

Katanya, koleksi untuk rekaan tahun akhirnya ini adalah pakaian yang sedia untuk dipakai daripada kasual hingga pakaian malam dan boleh dikomersialkan.

‘‘Saya tidak ambil sepenuhnya daripada bentuk bunga lawang tetapi menterjemahkan bentuk tersebut pada skirt, lengan baju dan seluar,’’ ujar Yazid, 26 tahun.

Anugerah Gangsa pula telah dimenangi oleh Mohd. Faisal Roslan, 23, yang memilih tema Spirit of Warrior yang mempunyai makna semangat kepahlawanan yang diinspirasikan daripada pahlawan lagenda Melayu, Hang Tuah.

Menurutnya, koleksi tersebut lebih pada suai padan yang boleh dipelbagai gaya mengikut kesesuaian dan gaya individu. Ia turut boleh disesuaikan ke majlis sama ada formal atau tidak formal.

Mohd. Faisal yang mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan koleksi tersebut memilih fabrik jenis suiting dan merino wool serta perincian kulit.

Anugerah telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, Prof Dr. Azni Zain Ahmed.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: