Monday, October 3, 2011

Woon-Vivian setaraf elit

 TANGKAS...Woon-Vivian berjaya tewaskan pasangan China, Yixin Bao-Zhong Qianxin 19-21, 21-19, 21-18, semalam.
TANGKAS...Woon-Vivian berjaya tewaskan pasangan China, Yixin Bao-Zhong Qianxin 19-21, 21-19, 21-18, semalam.

SELEPAS hanya lima bulan disatukan semula, beregu kedua wanita negara Woon Khe Wei-Vivian Hoo meraih gelaran pertama di pentas senior apabila menjuarai GP Emas Terbuka Indonesia di Kalimantan semalam.

Kemenangan itu bagaimanapun bukanlah petanda bahawa mereka sudah boleh mendabik dada sebaliknya terus belajar bagaimana untuk menjadi gandingan lebih baik dengan prestasi konsisten untuk menerobos kelompok elit dunia yang kini di kuasai China.


“Walaupun menang di sini banyak lagi yang kami perlu tingkatkan. Kami tidak akan terlalu gembira kerana gandingan yang kami atasi bukanlah yang terkuat,” kata Vivian ketika dihubungi di Kalimantan.

Pada final semalam, Khe Wei-Vivian menewaskan pasangan China, Yixin Bao-Zhong Qianxin 19-21, 21-19, 21-18 dalam masa satu jam 15 minit.


Hasil kemenangan itu Khe Wei-Vivian membawa pulang hadiah wang tunai RM30,241 (AS$9,480).


“Saya dan Khe Wei amat gembira akhirnya kami muncul juara. Inilah impian kami dan di sinilah bermulanya langkah kami untuk masa depan.” Gandingan yang dipisahkan selepas Kejohanan Badminton Asia (ABC) tahun lalu itu hanya disatukan semula selepas Kejohanan ABC Tahun ini April lalu. Malah mereka mempamerkan aksi memberangsangkan ketika kali pertama menyertai GP Emas Terbuka Thailand Julai lalu apabila ke separuh akhir sebelum tunduk kepada gandingan China Cheng Shu-Yixin Bao.

Sebelum muncul juara di Indonesia, gandingan ini pernah ke final Kejohanan ABC 2010 apabila mereka ke final tetapi ditewaskan satu lagi pasangan China, Pan Pan-Tian Qian.


“Saya harap kami mampu konsisten dengan melangkah sekurang-kurangnya ke separuh akhir di setiap kejohanan yang disertai.

“Kemenangan di sini menjadi penyuntik semangat untuk menjadikan kami gandingan yang lebih baik dan saya berharap dengan mendapat jurulatih baru Rexy Mainaky akan melengkapkan kami sebagai beregu yang baik,” kata Vivian.


Sementara jurulatih beregu, Chong Kien Ling yang mengiringi pemain ke Kalimantan, amat gembira dengan prestasi Khe Wei, 22, dan Vivian, 21, yang dianggapnya konsisten di sepanjang kejohanan.


“Saya puas hati dengan permainan mereka. Mereka keluarkan sepenuhnya tenaga dan pengalaman yang ada untuk memenangi perlawanan hari ini malah mereka melakukan perkara sama di sepanjang kejohanan,” kata Kien Ling.


“Gandingan China ini bukanlah yang terkuat tetapi kelebihan milik mereka berbanding pemain negara dengan corak serangan yang mantap dan memiliki kepantasan.


“Namun Khe Wei-Vivian mengikut arahan supaya bersabar dengan mengajak lawan bermain rali untuk mendapatkan mata.” Khe Wei-Vivian seharusnya lebih awal mengesahkan kemenangan tetapi kegopohan mahu menamatkan perlawanan lebih awal di set pertama ketika mendahului 17-12 mengundang padah membolehkan Bao-Qianxin meraih mata dan memenangi set itu dengan kesilapan sendiri.


Sebelum mengatasi pilihan kelapan, Bao-Qianxin, Khe Wei-Vivian menundukkan pilihan keenam juga dari China, Cheng Shu-Pan Pan di suku akhir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: