Monday, October 3, 2011

Warna-warni Pesta Nukenan Bario


MAKANAN tradisional masyarakat Kelabit berasaskan tumbuhan dan haiwan hutan.


BERPELUANG menjejakkan kaki ke perkampungan Bario yang terletak di daerah Utara Timur Sarawak merupakan pengalaman yang sangat unik.

Manakan tidak, kawasannya yang dikelilingi pergunungan dan berbukit-bukau dengan catatan suhu serendah 12 darjah Celsius memberi persekitaran cukup dingin dan nyaman.

Sambil menikmati kemanisan nanas Bario, pengunjung pasti akan terpesona melayan keindahan alam semulajadinya.

Bario mempunyai sebanyak 14 buah kampung dengan jumlah penduduk lebih kurang 2,000 orang yang majoritinya terdiri daripada suku etnik Kelabit.

Kunjungan rombongan media ke sana menerusi program Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bertujuan membuat liputan beberapa projek komuniti di bawah kendalian organisasi itu.

Ia juga adalah bersempena sambutan festival makanan dan kebudayaan masyarakat Kelabit Bario dikenali sebagai Pesta Nukenen 2011.

Nukenen membawa maksud makanan dalam bahasa Kelabit dan pesta berkenaan merupakan perayaan tahunan yang mula dianjurkan sejak tahun 2005.

Bermula 21 hingga 23 Julai lalu, pesta yang cukup meriah dengan pelbagai jenis makanan eksotik itu telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga anak jati Bario, Datuk Seri Idris Jala.

Menurut beliau, penganjuran acara yang masuk tahun ke enam itu menyasarkan matlamat mempromosi makanan masyarakat Kelabit kepada orang luar.

''Menerusi festival ini, kita mahu pengunjung serta pelancong mengenali dan menghargai makanan tradisional di sini.

''Kesemua makanan yang dipamer ini disediakan daripada hasil hutan seperti tumbuh-tumbuhan dan juga haiwan.

''Sememangnya masyarakat Kelabit di Bario ini berpegang kepada adat menghargai tetamu melalui makanan.

''Mereka biasanya akan menyambut tetamu dengan hidangan makanan kerana ia dianggap sebagai perkongsian kehidupan dan juga kasih sayang,'' katanya ketika ditemui selepas merasmikan pesta berkenaan di Bario baru-baru ini.

Melihat kepada produk makanan yang dijual di lebih 20 gerai di tapak pesta itu, ia sememangnya unik dan jarang ditemui.

Kebanyakannya dihasilkan daripada pelbagai spesies sayur-sayuran dan buah-buahan hutan selain disajikan di dalam daun dan juga buluh.

Tidak cukup dengan itu, haiwan seperti ikan, daging rusa, kijang dan musang turut disediakan dalam aneka resipi.

Menurut salah seorang penduduk kampung, Debora Alau Ayu, 31, festival itu dilihat mampu membantu masyarakat setempat meningkatkan pendapatan di samping memperkenalkan makanan tradisi orang Kelabit.

''Gerai saya menjual ikan pekasam dan aneka sayur-sayuran seperti daun ubi, asparagus, umbut nenas dan umbut rebung.

''Ia disediakan secara gorengan dan direbus bersama garam. Rasanya sangat sedap dan pasti membuka selera,'' jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Rebita Lupong, 44, memberitahu, gerainya menjual nasi pulut, sayur kulat batang, bubur daun timun, bubur ikan dan tomato goreng.

''Di samping itu, saya turut menyediakan hidangan Laba Bada atau daging musang rebus yang biasanya di makan bersama nasi.

''Untuk pencuci mulut, para pengunjung disediakan giru dan gurau senaan yang diperbuat daripada ubi,'' katanya.

Bagi Diana Falong, 47, pula, dia telah tiga kali menyertai Pesta Nukenan dan sangat teruja untuk mempamerkan masakannya kepada para pelancong.

''Saya menyediakan masakan nasi bersama lauk siput tekuyong dan sayur-sayuran seperti tengayen, lanau dan juga busah kludoh atau bunga kantan.

''Ikan gesar iaitu daging ikan yang dilecek juga mempunyai rasa yang sangat sedap dan mendapat permintaan tinggi,'' katanya.

Sesuatu yang unik mengenai Pesta Nukenan, para pengunjung boleh mencuba sendiri masakan-masakan yang dihidangkan sebelum membelinya dengan harga yang sangat murah.

Selain pengunjung tempatan, pesta tersebut turut dihadiri para pelancong dari luar negara seperti England, Denmark dan Australia.

Bukan sekadar makanan, pesta berkenaan turut menjual pelbagai produk keluaran Bario seperti beras Bario, garam Bario dan produk kraftangan.

Produk kraf yang dijual pula adalah merangkumi topi, gelang tangan, gelang kaki, rantai leher, bakul anyaman dan juga sumpit.

Semua kelebihan yang terdapat di sana menyempurnakan lagi Bario sebagai destinasi pelancongan dan istirehat unik.

Apa yang diharapkan, menerusi penganjuran program festival seperti itu, ia dapat memberitahu dunia bahawa Bario bukan sekadar kawasan tanah tinggi biasa sekali gus menarik lebih ramai pelawat berkunjung ke sana.

1 comment:

  1. Hi,

    We share a link to your post in our event page http://sarawaktourism.com/index.php/en/event-detail?evid=92.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: