Thursday, October 27, 2011

Vokal singkir dua lagi peserta


(DARI kiri) Irsa Sahabuddin, Airulazwan Abd. Rahman, Fazdrul Aswad Fauzi, Fakhrul Nizam Fauzi dan Siti Nur Aishah adalah lima daripada tujuh peserta yang mempamerkan bakat mereka dalam Vokal yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


KONSERT Vokal Bukan Sekadar Rupa (Vokal) minggu kedua yang disiarkan pada Ahad lalu menyaksikan penyingkiran dua lagi peserta.

Pada konsert pertama program realiti televisyen itu menyaksikan Epiit atau Muhd. Fakhrullah Mohd. Yusoff, 21, menjadi peserta pertama yang disingkirkan.

Minggu kedua pula menyaksikan Fazdrul Aswad Fauzi, 19, dan Siti Nur Aishah, 21, mengikut jejak langkah Epiit meninggalkan pentas Vokal.

Dengan penyingkiran itu, hanya tinggal tujuh peserta meneruskan cabaran.

Tujuh peserta itu terdiri daripada Fakhrul Nizam Fauzi, 21, Norhasmidar Ahmad, 25, Mafarikha Md. Akhir, 19, Airulazwan Abd. Rahman, 22, IrsaSahabuddin, 24, Mohd. Janizam Jamaluddin, 26, dan Azmarul Azuan Harun, 27.

Penerbit Eksekutif Vokal, Muhamad Sufian Isa berkata, selepas dua minggu Vokal bersiaran, percaturan meletakkan Erra Fazira dan Azmeer Abu Bakar sebagai pengkritik menepati sasaran apabila berjaya mencatatkan kadar tontonan 2.5 juta minggu lalu.

"Dari awal lagi kami yakin terhadap kredibiliti dua pengkritik tetap itu sebagai taruhan utama bagi menarik perhatian penonton," katanya kepada wartawan sejurus tamatnya konsert Vokal minggu kedua di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Selain dua pengkritik tetap, Vokal turut mengundang pengkritik jemputan untuk membuat penilaian ke atas peserta yang mengambil bahagian.

"Setiap minggu pengkritik jemputan yang dijemput adalah berbeza. Minggu pertama, misalnya, kita mengundang Datuk Siti Nurhaliza .

"Minggu lepas, kita undang Hattan. Dengan adanya pengkritik jemputan yang duduk sebaris dengan dua pengkritik tetap Vokal, ia bukan sahaja memberi rencah yang menarik untuk program ini tetapi keputusan penyingkiran peserta dinilai dengan lebih tepat lagi," jelasnya.

Sementara itu, Erra berkata, dia akan menggunakan segala pengalaman yang ada sebagai penyanyi bagi melaksanakan tugasnya itu.

"Saya menerima tawaran ini setelah berbincang dengan penerbit dan mendengar pendapat mereka tentang keupayaan saya. Insya-Allah saya akan laksanakan tugas dengan penuh tanggung jawab," katanya

Menurut Erra lagi, kesemua peserta yang membuat persembahan untuk konsert minggu kedua mempunyai kelebihan masing-masing.

"Saya tidak merasakan penyingkiran ini merupakan jawapan kepada karier mereka yang ingin menjadi penyanyi pada masa hadapan.

"Cuma bukan rezeki mereka dan mungkin juga ini bukan masanya untuk mereka menyerlah," ujarnya.

Bagi Azmeer pula, dia percaya setiap pengkritik mempunyai pandangan masing-masing terhadap peserta dan ia tidak mengganggu pandangan peribadinya.

"Setiap daripada kami akan menilai peserta melalui pengetahuan yang kami miliki.

"Perbezaan komen yang diberikan pengkritik kepada peserta adalah perkara biasa dan itu sebenarnya membantu peserta itu sendiri," jelasnya.

Azmeer menyifatkan penyingkiran peserta dalam sesuatu program realiti merupakan proses biasa yang perlu dilalui oleh peserta.

"Kami hanya menjalankan tugas kami sebagai juri dan dua peserta yang tersingkir masih mempunyai potensi di dalam industri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: