Saturday, October 8, 2011

Vina bukan diva


VINA PANDUWINATA lebih selesa menjadi idola kepada peminatnya berbanding dipanggil diva.


KEPADA sesiapa yang pernah mendengar lagu berjudul Dia yang dinyanyikan ratu jazz negara, Sheila Majid, pasti ada yang menyangka bahawa lagu itu adalah nyanyian asal penyanyi tersebut.

Bagaimanapun, sangkaan itu pastinya silap sama sekali kerana lagu yang cukup popular di Indonesia dan Malaysia itu sebenarnya telah mula dinyanyikan oleh penyanyi Vina Panduwinata.

Jika di Indonesia, sememangnya tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Vina sebenarnya adalah satu nama yang cukup besar dalam industri muzik di sana setelah berkecimpung sebagai anak seni selama 33 tahun.

Selain lagu Dia yang sering kali menjadi siulan ramai, penyanyi tersebut turut popular dengan lagu berjudul Burung Camar sehingga mendapat gelaran daripada peminat sebagai ‘Si Burung Camar’.

Setelah melahirkan 15 buah album sepanjang kariernya serta pelbagai rentetan kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa telah meletakkan dirinya sebagai seorang diva di kalangan peminat setianya.

Berkesempatan menemuinya pada majlis pelancaran laman Facebook dan Twitter saluran Indopek (141 & 142) di ibu negara baru-baru ini, penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Mama Vina memberi pandangan tersendiri terhadap gelaran diva yang telah diberikan peminat kepadanya.

“Sejujurnya saya berasa kurang gemar apabila digelar diva. Bagi saya gelaran itu terlalu tinggi dan sesuai untuk diberikan kepada individu yang telah banyak menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Sebenarnya gelaran yang lebih sesuai diberikan adalah idola untuk penyanyi-penyanyi seperti saya ini. Bagaimanapun, saya tetap berterima kasih kepada mereka yang memberi gelaran setinggi ini serta sokongan yang telah diberikan,” ujarnya.

Mengenai kerjaya awalnya sebagai seorang penyanyi jazz, Vina merupakan seorang anak diplomat yang menyebabkannya kerap berpindah ke beberapa buah negara seperti India dan Jerman.

Kemudian pada tahun 1978, penyanyi berkenaan memulakan karier profesionalnya setelah merakamkan dua buah single yang bertajuk Java & Single's Bar dan Sorry Sorry & Touch Me dengan syarikat rakaman RCA Germany.

Setahun selepas itu, dia kembali ke Indonesia dan bertemu dengan Mogi Darusman yang tertarik dengan suara yang dimiliki oleh Vina. Tidak lama kemudian Mogi memperkenalkannya kepada beberapa buah syarikat rakaman dan menarik minat Jackson Record sehingga lahirlah album sulungnya iaitu Citra Biru.

Selain telah merakamkan banyak lagu yang cukup popular sekitar tahun 80-an seperti Bisikan Malam, Di Dadaku Ada Kamu dan Tuhan Ternyata Ada, penyanyi itu juga pernah berduet dengan seorang lagi penyanyi terkemuka Indonesia iaitu Harvey Malaiholo.

Sementara itu, ditanya mengenai petua dirinya masih lagi mampu bertahan sehingga ke hari ini dan masih terus menjadi pujaan ramai di negara kelahirannya, Vina menjelaskan sebagai seorang penyanyi apa yang paling utama adalah disiplin.

“Pada mulanya saya menganggap nyanyian sebagai satu hobi sahaja. Namun, setelah menjadikannya sebagai satu kerjaya profesional, maka saya lebih fokus dan bersungguh-sungguh terhadap bidang ini.

“Dalam apa sahaja pekerjaan, jika mahu mengecap kejayaan sudah tentu disiplin menjadi keutamaan inilah yang harus ditekankan kepada penyanyi-penyanyi baharu sekarang sekiranya mahu bertahan dalam tempoh yang lama,” jelasnya.

Biarpun dirinya kini sudah berjaya sebagai seorang penyanyi, Vina mengakui anak tunggalnya iaitu Joedo Harvianto Kartiko tidak berminat untuk memilih bidang nyanyian sebagai kerjaya.

Air suam

Di sebalik kejelitaan wajah yang dimilikinya itu, pasti ramai yang tidak menyangka bahawa pemilik nama Vina Dewi Sastaviyana Panduwinata sudah menjangkau usia 52 tahun.

Menurut Vina, salah satu rahsia dia dapat mengekalkan kejelitaannya itu adalah dengan mengamalkan meminum air suam yang sudah dilakukan sejak lima tahun yang lalu.

“Dahulu saya tidak sedar tentang kebaikan meminum air suam yang sebenarnya baik untuk kesihatan. Kini baru saya tahu bahawa air suam itu sebenarnya sangat baik untuk kesihatan dan penjagaan suara.

“Menariknya, sebelum ini berat badan saya pernah mencecah sehingga 75 kilogram dan dengan mengamalkan meminum air suam sebanyak dua liter sehari, akhirnya berat badan saya dapat diturunkan tanpa melakukan senaman,” jelasnya.

Mengenai pandangannya terhadap tindakan beberapa artis di negaranya itu yang menggunakan botox untuk kelihatan kekal cantik, Vina menjelaskan ia terpulang kepada seseorang individu itu.

“Setiap orang memiliki cara masing-masing untuk mahu terus cantik termasuk menggunakan botox, tetapi saya tidak akan sekali-kali melakukannya dan percaya dengan apa yang saya lakukan sekarang ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: