Saturday, October 8, 2011

Jackman, jurulatih robot petinju



AKTOR hebat Hugh Jackman adalah antara pelakon ternama Hollywood yang berada di kelas yang tersendiri. Sudah bergelar sebagai pelakon selama 17 tahun, pelbagai genre filem yang dilakonkannya termasuk filem aksi, cinta dan seram.

Nama pelakon yang berasal dari Sydney, Australia itu mula melonjak naik dan dikenali di seluruh dunia setelah membintangi filem X-Men dan memegang watak utama sebagai Wolverine. Selepas itu terus beraksi dalam sekuel filem berkenaan seperti X2, X-Men: The Last Stand dan X-Men Origins: Wolverine.

Bagaimanapun, selain filem-filem tersebut, Hugh juga sebenarnya banyak membintangi filem-filem yang turut mendapat sambutan hangat. Antaranya filem Kate & Leopold, Van Helsing, The Prestige dan Australia.

Setelah dua tahun tidak muncul dengan filem yang bergenre aksi, kali ini pelakon tersebut akan muncul dalam sebuah filem terbaru berjudul Real Steel yang akan ditayangkan di Malaysia pada 13 Oktober ini.

Real Steel yang diarahkan oleh Shawn Levy mengisahkan mengenai harapan seorang lelaki, Charlie Kenton (Hugh Jackman) untuk bergelar juara dunia dalam sukan tinju musnah apabila sukan tersebut telah diambil alih oleh robot.

Kemudian dia telah menukar kerjayanya sebagai seorang promoter tinju yang membabitkan pertandingan di antara robot, tetapi berhadapan dengan pelbagai kesukaran. Selepas itu dia telah bergabung dengan anak lelakinya untuk menghasilkan sebuah robot bernama Atom dan melatihnya untuk bergelar juara.


KATA Jackman, selain banyak aksi tinju dengan robot, filem Real Steel menjadi lebih menarik kerana ia mempunyai jalan cerita yang cukup menyentuh emosi.


Menariknya tentang filem ini, pelakon yang berstatus kelas A di Hollywood itu bergandingan dengan seorang pelakon kanak-kanak iaitu Dakota Goyo yang pernah berlakon dalam filem Thor sebelum ini.

Boleh ceritakan serba sedikit watak anda dalam filem Real Steel?

JACKMAN: Pertama sekali ketika saya membaca skrip filem ini, saya dapati watak Charlie adalah seorang lelaki yang mengalami kegagalan dalam hidup. Namun setelah membaca lebih daripada separuh, apa yang saya dapati ia juga turut menekankan tentang nilai dalam sesebuah perhubungan di antara ayah dan anak. Setelah gagal untuk bergelar seorang juara tinju, hidupnya seakan-akan telah musnah. Malah, Charlie merasakan bersalah terhadap anaknya kerana tidak dapat memberikan kehidupan yang sempurna, sehinggakan terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan.

Apa yang membuatkan anda tertarik untuk membintangi filem ini?

Saya cukup tertarik dengan paparan emosi terhadap hubungan di antara ayah dan anak dan ia telah mengingatkan saya tentang filem Rocky. Kepada penonton yang menyangka filem ini adalah sekadar mengenai kisah robot yang dijadikan alat untuk bertinju, pasti mereka akan terkejut apabila menontonnya. Saya akui ia adalah sebuah filem yang penuh dengan aksi-aksi menarik terutamanya perlawanan yang membabitkan robot, tetapi jalan ceritanya juga begitu menarik sehinggakan saya menerima tawaran untuk berlakon dalam filem ini.

Bagaimana pula perbezaan dengan filem-filem tinju yang lain?

Sebelum ini sudah banyak filem-filem berkenaan tinju yang dihasilkan seperti Rocky dan Million Dolar Baby. Sudah tentu perbezaan paling ketara adalah filem Real Steel apabila robot dijadikan sebagai peninju. Selain itu, penekanan terhadap hubungan antara ayah dan anak dalam filem ini juga dilihat berbeza supaya tidak nampak persamaan dengan filem tinju yang lain.


PADA usia 42 tahun, 'saham' Jackman masih tinggi dan terus mendapat tawaran melakonkan banyak aksi lasak.


Adakah anda pernah membaca cerpen asal cerita ini yang dihasilkan oleh penulis Richard Matheson?

Terusterang saya katakan yang saya hanya membacanya selepas dua minggu menjalani penggambaran setelah diberikan oleh penerbit, Don Murphy. Menariknya, dia agak terkejut ketika memberitahu kepadanya yang saya belum pernah membaca cerpen itu lagi. Kemudian apabila saya membacanya, saya dapati ia sebuah cerita yang sangat menarik dan sepatutnya saya harus membacanya sebelum menjalani penggambaran lagi. Bagi saya dia adalah seorang penulis yang bagus dan saya berminat untuk membaca hasil tulisannya lagi selepas ini.

Berkenaan dengan gandingan anda bersama Dakota Gayo, bagaimana anda mencari keserasian untuk berlakon bersama seorang pelakon kanak-kanak?

Ketika ditawarkan berlakon dalam filem ini, saya diberitahu akan bergandingan dengan seorang pelakon kanak-kanak. Namun, bagi saya untuk mencari keserasian bukan satu masalah yang besar kerana saya sememangnya sangat menyukai kanak-kanak. Lagipun saya sendiri memiliki dua orang anak yang masing-masing berusia 11 tahun dan enam tahun.


SELURUH keluarga Jackman selalu menyokong kerjayanya dengan menonton filem-filem lakonannya.


Pandangan anda mengenai Dakota?

Pada saya dia adalah seorang kanak-kanak yang baik dan kelakar. Sepanjang menjalani penggambaran dengannya, saya dapati dia seorang yang matang walaupun usianya baru mencecah 12 tahun. Begitu juga dengan lakonannya dalam filem ini yang cukup memberangsangkan sekali. Malah, saya sangat yakin yang dia mampu untuk bergelar seorang pelakon yang hebat apabila dewasa nanti.

Adakah anak anda sudah menontonnya?

Ya, mereka sudah menonton dan sangat menyukainya. Sebenarnya ia adalah kali pertama mereka menonton filem lakonan saya, manakala ibu mertua dan isteri saya juga turut tidak ketinggalan untuk menontonnya.

Adakah anda mengetahui bahawa peninju legenda, Sugar Ray turut terlibat dalam filem ini untuk memberi tunjuk ajar tentang cara tinju yang betul?

Saya masih lagi ingat pihak produksi bertanya sama ada saya selesa atau tidak apabila mereka mahu menggunakan khidmat Sugar Ray. Kemudian saya beritahu mereka yang saya sendiri sangat berbangga dapat menerima tunjuk ajar daripada seorang peninju yang hebat. Selama ini saya sudah bertemu dan bekerjasama dengan bintang filem yang popular dan terkenal dari seluruh dunia. Jadi, saya berasa sangat bertuah apabila dapat bekerjasama dengan seorang ahli sukan yang berjaya dalam bidangnya dan sangat menghargai segala tunjuk ajar yang diberikan.

Bagaimana pula kerjasama anda dengan pengarah, Shawn Levy?

Sepanjang kami bekerjasama tidak ada masalah besar yang timbul sepanjang penggambaran dilakukan. Malah, saya sendiri cukup kagum dengan kerja-kerja yang dihasilkannya dan dia adalah seorang pengarah yang cukup berbakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: