Friday, October 7, 2011

Ustaz buktikan tiada had umur tuntut ilmu


Zainal Abidin Yahaya (tengah) berkongsi kegembiraan bersama keluarga pada majlis konvokesyen di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Selasa lalu.


SEMUA manusia menyedari kepentingan ilmu tetapi tidak semua yang mampu bertahan dalam berjihad menuntut ilmu. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga dan bercucu.

Bak kata pepatah Arab, "Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad".

Itulah yang dibuktikan oleh dua orang ustaz iaitu Mejar Dr. Burhanuddin Jalal, 48, dan Zainal Abidin Yahaya, 58, yang masing-masing menamatkan pengajian ijazah lanjutan baru-baru ini.

Biarpun sudah dalam kategori veteran, semangat mereka dalam menuntut ilmu wajar dijadikan contoh oleh golongan muda atau yang fresh di universiti.

Antara pemangkin semangat kepada kedua-dua mereka adalah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. (riwayat Muslim)

Burhanuddin adalah Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (Kagat) yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 24 September lalu.

Zainal Abidin pula adalah guru al-Quran dari Cheras, Kuala Lumpur yang menamatkan pengajian ijazah Sarjana Syariah (Fikh dan Usul) selama tiga tahun di Universiti Malaya (UM), 4 Oktober lalu.

Burhanuddin melanjutkan pengajian ke peringkat Ph.D di Fakulti Pengajian Islam, UKM mulai tahun 2007 dengan biasiswa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui skim Pengajian Tinggi Tentera Darat.

Beliau berharap kejayaan tersebut memberi impak positif kepada kerjaya ketenteraan dan juga kepada ATM kerana mempunyai pegawai yang berkelulusan akademik yang tinggi.

Katanya, ia dapat menyumbang ke arah pembinaan organisasi yang cemerlang dan berwibawa.

"Saya bersyukur dan gembira atas kejayaan ini. Semoga ia menjadi pendorong kepada rakan-rakan lain untuk terus menuntut ilmu ke peringkat tertinggi," katanya.

Burhanuddin kini bertugas sebagai Timbalan Komandan Institut Latihan dan Kefahaman Islam ATM, Port Dickson, Negeri Sembian.

Beliau juga adalah kolumnis di Utusan Malaysia.

Sementara itu, Zainal Abidin memberitahu, beliau tidak pernah berasa malu belajar bersama dengan mereka yang lebih muda.

"Sebabnya dalam proses pembelajaran tiada had dan batasan umur," katanya.

Zainal Abidin berkata, isteri dan keluarga serta penyelia banyak memberi dorongan untuk menamatkan pengajian tersebut.

"Saya masih mempunyai keinginan untuk belajar dan mendapatkan Ph.D pula seperti sabda Rasulullah SAW yang menyuruh umatnya belajar sampai ke akhir hayat," katanya.

Beliau menerima ijazah tersebut daripada Pro Canselor UM, Raja Nazrin Shah, baru-baru ini.

Zainal Abidin yang juga datuk kepada empat cucu berkata, bagi mendapatkan segulung ijazah tersebut pelbagai cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi antaranya pernah terlibat dalam kemalangan sehingga patah tulang leher.

Sebelum menyambung pengajian di UM, beliau pernah berjauhan dengan isteri dan keluarga kerana belajar di Riau, Indonesia dalam bidang Sarjana Hukum Islam.

"Walaupun berjauhan dan berada di negara orang serta mengalami masalah kewangan, ia bukan alasan untuk saya menamatkan pengajian," katanya.

Zainal Abidin yang berasal dari Teluk Intan, Perak berkata, beliau juga mahu menjadi contoh kepada ahli keluarganya supaya terus mencari ilmu tanpa jemu.

Tiga daripada empat anaknya masih menuntut iaitu seorang di UM (Ph.D) dan dua lagi masing-masing di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kata beliau, perancangannya selepas ini adalah mahu menamatkan pengajian peringkat diploma Amalan Peguam dan Hakim Syarie di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Ia bagi mendapatkan lesen untuk menjadi peguam dan hakim syarie," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: