Friday, October 7, 2011

Seronok derma darah


Hasnan Humaidi sedang menjalani proses menderma darah.


Tiada siapa yang menyuruh saya menderma darah. Sebenarnya saya tergerak hati hendak menderma darah setelah mendengar Pusat Darah Negara (PDN) kekurangan darah. Saya rasa dengan cara ini saya dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

''Mula-mula saya mendermakan darah whole blood tetapi bila hendak menderma kali kedua, jururawat mencadangkan saya mendermakan platelet.

Lagipun saya tidak mahu menunggu lama untuk tarikh pendermaan seterusnya kerana jika menderma whole blood perlu menunggu setiap tiga bulan, sebaliknya platelet boleh didermakan setiap dua minggu,'' kata Hasnan Humaidi yang bekerja sebagai penghantar surat di Petaling Jaya, Selangor.

Hasnan, 41, yang telah menderma darah sebanyak 14 kali kini berasa seronok kerana selain dapat membantu orang, dia mengetahui faedah menderma darah yang baik daripada segi kesihatan.

Beliau yang mempunyai darah jenis B, akan terus menderma selagi boleh dan diperlukan serta tidak mengharapkan sebarang keistimewaan.

Sementara itu, bakal pakar transfusi perubatan yang telah bertugas di PD Negara sejak tahun 2008, Dr. Mohammad Masrin Md Zahrin, 34, mengakui sudah mula menderma darah sejak tahun 2006 lagi.

Beliau yang telah 14 kali menderma darah berkata, timbul kesedaran di hatinya untuk menderma apabila mengetahui darah tidak boleh dicipta selain PDN memerlukan bekalan darah yang konsisten setiap masa.

''Darah manusia beredar di dalam tubuh selama 120 hari. Selepas itu ia musnah secara semulajadi dan sel darah baru tercipta.

"Jadi salahkah jika kita menderma kerana jika tidak menderma pun ia akan musnah. Dengan menderma kita dapat membantu orang lain,'' ujar bapa kepada tiga orang anak ini.

Dr. Mohammad Masrin menderma darah setiap tiga bulan dan bercadang menjadi penderma setiap dua minggu sehingga berumur 60 tahun.

Rakannya, Dr. Rabiah Adawiyyah Juhari, 29, yang bertugas sebagai pegawai perubatan di PDN juga berpendapat dengan cara menderma darah beliau dapat membantu pesakit-pesakit.

Katanya, kesedaran timbul dengan sendiri dan kini baru tiga kali beliau menderma darah.

Biasanya beliau akan menderma darah pada waktu makan tengah hari atau selepas habis waktu kerja.

Darah yang didermakan ialah whole blood dan setakat ini beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan malah lebih sihat.

Nasihatnya kepada wanita, jangan percaya mitos yang mengaitkan berat badan bertambah jika menderma darah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: