HANYA berbekalkan sebuah drama bersiri, Suria Di Cordoba yang menjadi 'pasport' kemunculan sulungnya di bidang lakonan, nama Anzalna Nasir, 23, semakin hari terus meniti di bibir. Biarpun sekadar menjadi finalis Dewi Remaja 2010, namun berbekalkan wajah cantik macam Rozita Che Wan, dia melangkah setapak lagi apabila bakal membintangi filem sulungnya, Sepah The Movie yang bakal menjalani penggambaran sedikit masa lagi.
“Saya juga minat menyanyi dan menyimpan cita-cita untuk bekerja dengan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS suatu hari nanti. Namun, nyanyian sekadar menjadi perancangan kerana lakonan tetap menjadi keutamaan. Biarlah kita buat satu persatu dulu supaya bidang yang dipilih itu boleh dibanggakan. Saya tak mahu terburu-buru, nanti orang kata saya terkena kejutan budaya pula.
“Biarpun nama saya masih terlalu hijau dalam industri ini, namun saya bersyukur kerana boleh dikatakan saban hari ada saja tawaran berlakon drama dan filem. Pun begitu, saya tak mahu dilabel gelojoh apabila menerima apa saja di depan mata. Saya hanya terima tawaran mengikut kemampuan diri, selain memikirkan jalan cerita, genre yang diketengahkan, siapa pengarahnya dan produser yang bertanggung jawab,” katanya di awal bicara.
Sebelum Anzalna terjun ke dunia seni, dia pernah memuat turun beberapa keping gambar peribadinya bersama pemuda berbangsa Inggeris (kini bekas teman lelaki) ke laman sosial Facebook (FB), namun ia sudah pun tersebar secara meluas di dalam internet sebaik saja beliau menyertai Dewi Remaja 2010. Namun, dia bernasib baik kerana kepercayaan pengarah dan produser tidak pernah luntur terhadapnya gara-gara foto peribadi itu.
Katanya lagi, dia tidak mahu menuding jari kepada orang lain yang mungkin berniat serong terhadapnya kerana penyebaran gambar peribadi itu di internet berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri. Baginya, kelalaian yang dilakukan sebelum bergelar anak seni sebenarnya mematangkan diri sendiri supaya lebih berhati-hati. Kini, baru dia faham, pihak di luar sana sentiasa menanti saat sesuai untuk ‘membekalkan’ kontroversi buatnya.
“Saya dah sedar, gambar peribadi, akan tetap menjadi milik peribadi dan bukan untuk tontonan umum. Kini, saya lebih berhati-hati dengan setiap perbuatan, tutur kata dan tingkah laku. Orang akan sentiasa mencari kesilapan kita apabila diri menjadi perhatian umum. Pun begitu, saya minta maaf di atas kelalaian itu. Berilah saya peluang memperbaiki kesilapan diri,” pinta Anzalna.
Anzalna juga mendakwa dia kerap menjadi mangsa ejekan apabila dikatakan ingin bermegah apabila kerap menggunakan slanga bahasa Inggeris apabila berbual dengannya. Mentang-mentanglah dia pernah menetap di Australia selama lima tahun dan hanya pulang ke tanah air sekitar 2009, pertuturannya dikatakan masih ‘pekat’ apabila perbualan dalam bahasa Malaysia sering diselang seli dengan bahasa Inggeris.
“Saya tidak pernah berniat atau bangga diri sekalipun saya mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dan Perancis dengan baik. Sebaliknya cara pergaulan itu yang mempengaruhi keadaan. Maksudnya apabila saya bersembang dengan orang yang kita tak berapa kenal, mungkin apabila saya terlepas cakap bahasa Inggeris, mereka melabel saya ‘kekwat’ apabila terdengar slanga berkenaan.
“Namun, apabila saya berbual dengan kawan-kawan rapat, mereka tahu, saya sebenarnya tak pernah berniat untuk bangga diri apabila sekali sekala terlepas cakap bahasa Inggeris. Pun begitu, saya minta maaf jika ada satu atau dua slanga Inggeris yang masih ‘terbabas’. Lagipun selepas bergaul dengan juru solek dan kawan-kawan Dewi Remaja, saya semakin kerap menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya apabila bertutur,” jelasnya.
Beralih kepada topik peribadi, Anzalna kini dikatakan bercinta dengan seorang pelajar jurusan automotif yang sebaya dengannya dikenali sebagai Hanif. Justeru, sejauh mana kebenaran dakwaan berkenaan?
“Janganlah menggunakan istilah bercinta. Saya sebenarnya masih trauma dengan beberapa siri percintaan yang terkandas di pertengahan jalan. Lagipun usia perkenalan saya bersama Hanif baru saja beberapa bulan. Jujurnya, antara saya dan Hanif, kami lebih selesa menjadi kawan baik. Justeru, masih terlalu awal untuk kami menjangkakan perhubungan ini akan berakhir di fasa mana.
“Namun, saya tak nafikan, Hanif adalah seorang pemuda yang terlalu mengambil berat mengenai diri saya. Saya dapat rasakan, diri ini amat dihargai. Kini, saya hanya berserah kepada jodoh sama ada perhubungan ini mampu berakhir di jenjang pelamin atau sebaliknya, saya reda. Walau apapun, keutamaan tetap kepada kerjaya apabila soal jodoh saya letakkan di tangga keempat atau kelima,” katanya tersenyum.
Anzalna juga dikatakan pernah menjalin hubungan cinta dengan aktor remaja yang sedang meningkat popular, Shahz Jaszle. Namun, perhubungan mereka tidak mampu bertahan lama. Apa komennya apabila dia kerap gagal dalam percintaan? Bagaimana jika ada tawaran berlakon menggandingkan dirinya di sisi Shahz?
“Itu semua kisah lama, saya dah buang memori itu jauh-jauh. Kehidupan perlu diteruskan. Sebenarnya pengalaman putus cinta mematangkan saya. Pun begitu, jika ditakdirkan saya perlu berlakon bersama Shahz, kami seharusnya bersikap profesional. Saya tak tahu mencampur adukkan kisah peribadi dengan kerjaya. Yang penting, jangan ada perasaan benci atau dendam sesama kita,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: