Monday, October 3, 2011

Scha tak sengaja

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Kesibukan di lokasi halang aktres ini promosi Libas

HASRAT untuk merakamkan wajahnya dalam satu sesi fotografi belum tertunai. Sementelah filem lakonannya, Libas, yang sudah pun menemui penonton Khamis lalu membuatkan hajat itu perlu dilaksanakan dengan segera. Namun sebagai manusia, kita hanya merancang, tetapi Tuhan yang menentukan.
Setiap kali hasrat itu disuarakan kepada si empunya diri, jawapan yang diterima cukup menghampakan. Pelakon tinggi lampai yang juga buah hati kepada pengacara dan pelakon Awal Ashaari ini cukup sibuk dengan drama bersiri lakonannya, Kelas Kau Marlia, yang belum selesai penggambarannya.
Sebagai pemegang watak utama untuk drama arahan Michael Ang itu, Scha Alyahya memang perlu berada di lokasi setiap masa. Justeru, tidak hairanlah andai dia tidak mempunyai waktu langsung untuk diluangkan, terutama dalam membabitkan sesi fotografi.

Ketika ditemubual menerusi telefon petang Rabu lalu, Scha mengakui kesibukannya membuatkan dia tidak dapat memenuhi tuntutan promosi yang sepatutnya dilakukan setiap pelakon.

Bagaimanapun kata bekas pemenang Dewi Remaja 2006 ini, keengganannya membabitkan diri dalam promosi filem terbabit seperti yang tersebar sebelum ini bukanlah kerana disengajakan, ataupun dia tidak mahu memberikan komitmen. Sebaliknya, tegas Scha, dia perlu mendahulukan perkara yang sudah dipersetujui lebih awal.

“Dalam hal ini bukanlah kerana Scha yang tidak mahu membuat sebarang publisiti, tetapi Scha sudah terikat dengan komitmen yang terlebih dulu Scha persetujui. Sebelum ini, Scha memang ada minta jadual promosi daripada pihak penerbit supaya senang untuk Scha mengatur perancangan kerja. Namun mereka gagal memberikannya.
“Sedangkan pada masa sama, Scha akan terbabit dengan penggambaran drama bersiri Kelas Kau Maria dan pihak produksi mahukan Scha memberikan jadual Scha. Disebabkan tidak boleh menunggu lama, jadi Scha terpaksa memberikan kata persetujuan untuk berlakon dalam drama bersiri itu,” cerita Scha menjelaskan perkara sebenar.

Ditanya tidakkah penerbit Libas, MDAG Films Sdn Bhd tidak tersinggung dengan tindakannya, pelakon yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini menjelaskan, dia sudah pun memaklumkan perkara itu sejak awal.

“Lagipun, bukan Scha tidak pernah membuat promosi langsung untuk filem Libas. Sebelum ini Scha ada juga mengikuti aktiviti promosi yang diaturkan mereka. Asalkan mereka memaklumkan perkara itu lebih awal, dan memudahkan Scha menyusun jadual serta tidak menyusahkan sesiapa, itu sudah memadai,” kata pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya ini.

Mengulas wataknya dalam filem Libas, sebagai Ratna Scha berkata, dia perlu memahirkan diri dalam sukan takraw yang cukup asing buatnya.

“Dua minggu sebelum penggambaran bermula, Scha banyak berlatih bermain takraw. Ada juga latihan yang Scha buat sendiri ada juga dengan bimbingan jurulatih. Pada awalnya memang sukar untuk memahirkan diri kerana sukan ini banyak membabitkan pergerakan berbahaya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa,” kata wajah eksklusif Astro ini.

Berlakon di bawah arahan Jurey Rosli, Scha memberitahu, ia sebuah pengalaman baru buatnya.

“Jurey memang tidak banyak bercakap ketika di lokasi. Kalau nak tahu sama ada dia berpuas hati atau tidak, biasanya ia disampaikan sendiri oleh penolong pengarah. Dari segi tunjuk ajar sebelum memasuki set, semuanya dilakukan penolongnya,” cerita Scha.

Dalam filem ini, Scha buat pertama kali berlakon di samping aktor senior yang cukup berpengaruh, Rosyam Nor. Bukan saja julung kali berlakon bersama, tetapi dia juga perlu bercinta dengan pelakon hebat itu.

“Sepanjang berlakon dengan abang Rosyam, dia memang banyak membantu Scha. Kami mudah serasi di set dan ini memudahkan kami untuk membawakan babak bercinta. Tapi babak percintaan kami bukanlah seperti cinta remaja yang romantik, sebaliknya lebih kepada cinta orang dewasa. Syukurlah kami mampu menyempurnakannya,” ujar pelakon berusia 28 tahun ini.

Persiapan kahwin tertangguh

KESIBUKAN Scha bukan saja membataskan dirinya untuk memenuhi undangan promosi filem tetapi apa yang lebih penting, ia juga menjejaskan persiapan untuk dia mendirikan rumah tangga. Sebelum ini pun, Scha dan Awal sudah pun mengumumkan bahawa mereka akan mendirikan rumah tangga selewat-lewatnya penghujung tahun depan.

Apabila si dara terlalu sibuk bekerja dan si jejaka juga tak menang tangan memenuhi pelbagai undangan pengacaraan dan lakonan, maka persiapan serba sedikit sebelum menjelang bahagia nampaknya asyik tertangguh saja.

“Itulah, kami berdua sebenarnya memang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga secepat mungkin. Tapi apabila masing-masing terlalu sibuk bekerja, sudahnya hasrat untuk membuat persiapan serba sedikit lenyap beg itu saja. Namun bukanlah itu bermakna kami mengambil enteng soal perkahwinan. “Mungkin satu hari nanti, kami berdua kena lupakan seketika soal kerja dan beri tumpuan untuk merealisasikan majlis perkahwinan kami ini,” katanya sambil tertawa.

Pada pertanyaan sampai bila dia mahu bergelar wajah eksklusif Astro, Scha berkata, perkara itu belum difikirkan olehnya.

“Kontrak saya akan tamat pada tahun depan dan jika mereka mahu perbaharui, tentunya saya tak kisah. Tapi tengok keadaan juga, manalah tahu saya mempunyai perancangan lain pula,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: