Saturday, October 29, 2011

Susu UHT 1Malaysia selamat diminum

ROHANA SAFINAH (kanan) bersama rakan niaga Ng Boon Leong , Hannah Moo dan Ahmad Azman Sharif menunjukkan susu 1 Malaysia bagi program pendidikan susu untuk murid sekolah seluruh negara di Petaling Jaya baru-baru ini.


SELEPAS berdepan dengan beberapa dugaan kes keracunan yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah yang mengambil susu 1Malaysia, Dutch Lady Malaysia (DLM) memberi jaminan bahawa susu keluaran mereka selamat dinikmati oleh kanak-kanak.

Program susu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak September tahun lalu itu dijalankan di 7,073 sekolah rendah terpilih seluruh Malaysia pada April lalu.

Melibatkan hampir 1.4 juta pelajar, kes keracunan akibat meminum susu tersebut dikatakan berada pada skala yang rendah. Perkara itu terjadi disebabkan pelbagai faktor.

"Kebanyakan pelajar yang diletakkan di bawah program ini merupakan mereka yang tinggal di luar bandar dan berasal dari keluarga susah.

Segelintir daripada mereka telah berhenti minum susu dalam satu tempoh lama dan apabila mereka kembali minum susu, perut mereka akan memberikan satu tindak balas yang berbeza.

"Ia mungkin disebabkan alahan laktosa. Justeru, kami menyarankan agar pelajar ini mengambil separuh susu sahaja pada waktu rehat dan separuh lagi selepas tamat sesi persekolahan pada hari yang sama," ujar Ketua Bahagian Korporat dan Kawal Selia DLM, Rohana Safinah Abdul Hamid.

Sehubungan itu, DLM meminta orang ramai meletakkan keyakinan tinggi terhadap program yang pernah dijalankan suatu ketika dulu sebelum dihentikan pada tahun 2007 bagi melahirkan pelajar-pelajar yang sihat dengan susu.

Dengan pemberian susu dua kali seminggu kepada setiap pelajar, program itu juga diharapkan dapat mengurangkan masalah kekurangan zat makanan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar khususnya di luar bandar.

Keberkesanan susu sebagai penyelesai masalah kekurangan zat dibuktikan dengan program susu yang sama. Program tersebut dijalankan di Thailand, Guatemala, Turki dan lain-lain apabila jumlah pelajar yang mengalami masalah kekurangan zat makanan menurun setiap tahun.

Bagi memastikan matlamat program tersebut dicapai, DLM turut melapangkan masa mencipta pelbagai program di sekolah-sekolah terlibat terutama di kawasan pedalaman.

Di bawah program itu juga hanya susu perisa coklat dibekalkan kerana ia merupakan perisa paling digemari kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment