Thursday, October 13, 2011

Sunfert IVF 'hadiah' bakal ibu bapa


Liow Tiong Lai meraikan ulang tahun pertama Disney dan Sydney pada majlis pelancaran Sunfert IVF di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Selangor.


TARIKH 10 Oktober 2010 tepat jam 10.10 pagi mencatat sejarah manis buat pusat kesuburan swasta Sunfert IVF apabila menyaksikan kelahiran 'bayi sulung' mereka.

Bayi yang lahir kembar diberi nama Disney dan Sydney Wijaya berasal dari negara jiran, Indonesia itu, disenyawakan menerusi proses IVF.

Ia merupakan antara kejayaan pertama pusat kesuburan yang terletak di Pusat Perubatan Sunway, di Bandar Sunway, Selangor.

Justeru ulang tahun pertama kembar tersebut telah diraikan serentak dengan pelancaran Sunfert IVF yang disempurnakan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Hadir sama Pengasas dan Presiden Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah.

Sunfert IVF ditubuhkan untuk membantu para suami isteri yang menghadapi masalah untuk mendapatkan zuriat.

Di sini mereka akan menjalani rawatan kesuburan sambil dipantau oleh beberapa doktor pakar bermula dari proses penilaian hinggalah kelahiran.

Pusat kesuburan yang mempunyai lebih 300 katil dan lebih 100 pakar dalam bidang yang berlainan, merupakan pusat perubatan sehenti yang menawarkan rangkaian komprehensif untuk rawatan kesuburan.

Bukan itu sahaja, Sunfert turut menawarkan khidmat rundingan MindBody Fertility yang menggunakan teknik kuasa minda untuk mempertingkatkan peluang mengandung.

Dalam pada itu Tiong Lai yang berucap pada majlis pelancaran berkata, masalah ketidaksuburan dilaporkan terjadi kepada 10 hingga 15 peratus pasangan suami isteri di Malaysia.

Angka ini menurutnya sama dengan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

"Ketidaksuburan boleh menyebabkan sama ada isteri atau suami atau kedua-duanya sekali mengalami tekanan emosi, mental dan boleh jadi juga fizikal.

"Ini akhirnya akan menjurus kepada masalah seperti kemurungan, pengasingan diri, kebimbangan, kesedihan dan berbagai lagi.

"Satu kajian telah dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) terhadap pasangan yang hadir ke klinik kesuburan di sana mendapati, lebih dari suku (37.3 peratus) isteri dan 18.1 peratus di kalangan suami mengalami kebimbangan dan kemurungan ekoran tidak memiliki zuriat.

"Laporan tersebut juga menyebut bahawa masalah ini terjadi di kalangan wanita yang berstatus tinggi dan kebanyakan dari mereka mengakui mengalami 'tekanan' untuk menjadi ibu bapa," jelas beliau.

Punca ketidaksuburan rakyat Malaysia seperti yang dikaji oleh Hospital Universiti Sains Malaysia adalah dari kegagalan ovum berfungsi (46 peratus), tanpa sebab (22 peratus), pelbagai sebab (13 peratus), suami tidak subur (6 peratus), faktor tubal (5 peratus), faktor serviks (3 peratus) dan lain-lain faktor (5 peratus).

Kes ketidaksuburan telah meningkat antara 15 ke 20 peratus di hospital kerajaan dan 40 peratus dari jumlah tersebut telah menjalani rawatan kesuburan seperti Assisted Reproductive Technology (ART).

ART memang pesat membangun di dalam dunia perubatan dan pusat ART pertama di negara ini terletak di Hospital Kuala Lumpur sejak 2006 lagi.

"Kini negara kita memiliki tiga pusat ART lagi yang terletak di Terengganu, Alor Setar dan Likas, Sabah.

"Tiga pusat ini menyediakan perkhidmatan termasuk makmal, rawatan perubatan yang disokong oleh tiga hospital satelit yang hanya menyediakan rawatan perubatan, antaranya Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Sehingga kini sebanyak 450 kes telah dirujuk dan kes yang telah berjaya puratanya adalah sebanyak 28 peratus," ujar Tiong Lai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: