Thursday, October 13, 2011

Puteri Nur Kamilia paling comel


Nurnahdatul Salwa Muhamad Zaki dan Isifzal Md. Idris meraikan kemenangan bayi mereka, Puteri Nur Kamilia Alatrash yang dinobatkan sebagai Bayi Paling Comel 2011.


GELAGATNYA yang bersahaja dan penuh yakin tanpa sebarang riak rasa takut biarpun di hadapannya ramai wajah-wajah asing yang tidak dikenali ditambah pula dengan raut wajah yang comel cukup untuk memikat juri bagi menobatkan Puteri Nur Kamilia Alatrash Isfizal dinobat sebagai Bayi Paling Comel 2011.

Si cilik bermata bundar dan beralis mata lentik berusia 10 bulan ini menewaskan 19 lagi peserta akhir dalam pertandingan anjuran Johnson's Baby itu.

Insan paling gembira ketika itu sudah pasti ibu bapanya, Nurnahdatul Salwa Muhamad Zaki dan Isifzal Md. Idris yang bukan saja dianugerahkan dengan anak yang comel malah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM15, 000.

Lebih menarik kejayaan tersebut memberi peluang kepada si cilik itu untuk menjadi penghias kulit majalah keibubapaan serta membawa pulang hamper Johnson's bernilai RM1,000.

"Memang tidak sangka akan menang. Kami menyertai pertandingan ini pun sekadar suka-suka. Apa pun kami bersyukur dan berterima kasih kepada penganjur," kata Nurnahdatul.

Menurut guru di Sekolah Taman Rakan di Cheras, Selangor itu, Puteri Nur Kamilia memang seorang bayi yang ceria, tidak banyak ragam dan mudah dijaga.

Namun satu perkara yang pasti, bayi tunggalnya itu senang fokus pada satu-satu perkara yang dilakukan.

"Puteri (nama panggilan) juga suka bermain dengan cermin. Jika dibiarkan bersendirian akan menilik cermin dengan melihat wajahnya sendiri,'' katanya lagi

Ditanya mengenai hadiah yang dimenangi kata Nurnahdatul, wang tersebut disimpan untuk pelaburan masa depan anaknya termasuklah pembiayaan pengajian.

Seperti ibu-ibu yang lain, dia juga berharap Puteri Nur Kamilia, akan membesar sebagai anak yang sihat dan berjasa pada ibu bapanya.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga dimenangi bayi Santosh Anak Lelaki Gope dan bayi Millen Teo Yee Wei yang masing-masing berusia 14 dan 26 bulan.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 dan RM5,000 serta hamper Johnson's Baby bernilai RM1,000 dan beberapa hadiah lain.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Johnson & Johnson Malaysia, Soo Woon Yee memberitahu, pertandingan tersebut bukan sahaja mencari bayi yang paling comel tetapi juga menitikberat kepada kesihatan bayi tersebut.

Jelas beliau lagi, tujuan pihaknya mengadakan pertandingan ini setiap tahun adalah untuk memberikan peluang kepada ibu bapa hari ini yang sentiasa sibuk dengan tugas masing-masing merapatkan hubungan dengan si manja mereka.

Ini dapat dicapai dengan aktiviti yang mudah seperti mengambil gambar bayi mereka untuk dihantar menyertai pertandingan ini.

"Pertandingan ini adalah platform terbaik bagi ibu bapa untuk berkongsi masa dengan si manja mereka kerana kami memahami bagaimana sukarnya untuk memendam rasa bangga apabila melihat si manja membesar dengan baik,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: