Tuesday, October 4, 2011

Sam (Bunkface) Sedia Berlakon

Sam bersedia menceburi bidang lakonan.

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Bunkface, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar bersedia berlakon dalam filem terbaru penerbit, Raja Azmi yang berjudul Anak Ikan, jika dia ditawarkan untuk filem berkenaan.

Sam berkata, selain bidang nyanyian, dia sebenarnya mempunyai minat yang mendalam di bidang lakonan sejak kecil lagi, cuma belum diberi peluang.

"Jika saya benar-benar ditawarkan dalam filem Anak Ikan, apa salahnya. Lagipun sebelum ini saya pernah berlakon untuk iklan televisyen dan teater.

"Malah saya juga tidak kisah untuk melakonkan apa saja watak, asalkan skrip yang diberi menarik perhatian saya," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Pada Jumaat lalu, Raja Azmi memberitahu kepada portal Daily Chilli bahawa dia akan menerbitkan sebuah filem baru, Anak Ikan, dan Sam merupakan artis yang diinginkan bagi menjayakan sebuah watak dalam filem tersebut.

Filem yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Ajami Hashim itu mengisahkan mengenai seorang lelaki yang mempunyai seekor ikan belaan yang akhirnya bertukar menjadi ikan duyung lelaki.

Bunkface

Tambah Sam lagi, dia juga tidak mempunyai masalah jika menerima watak seekor duyung jika watak tersebut benar-benar sesuai dengannya

Sementara itu mengenai perkembangan lain pula, dia dan ahli kumpulannya iaitu Paan dan Youk akan ke Jakarta, Indonesia untuk mengadakan persembahan bersempena dengan Festival Urban di sana.

"Selain itu, kami juga bakal membuat pelancaran studio baru Bunkface di Subang pada pertengahan bulan ini dan ia akan mula beroperasi pada minggu hadapan.

"Alhamdulillah, setakat ini Bunkface masih lagi diterima peminat dan Insya-Allah kami akan masuk ke studio merakamkan lagu baru untuk album seterusnya yang akan dilancarkan pada awal tahun depan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: