Tuesday, October 4, 2011

Alyah Jalani Pembedahan, Berehat Dua Minggu

PETALING JAYA: Penyanyi Alyah telah dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Damansara pada Ahad lalu kerana mengalami penyakit Apendiks.

Menurut pembantu peribadinya, Hafiz Redza, Alyah menjalani pembedahan kecil pada pukul 11 pagi hari yang sama dan terpaksa berehat selama dua minggu sebelum memulakan kerja nyanyiannya semula.

"Alhamdulillah, dia telah selamat menjalani pembedahan tersebut dan kini sedang berehat.

"Berkemungkinan besar dia dibenarkan pulang dari hospital dalam masa dua hari lagi," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Kata Hafiz, penyanyi yang kini popular dengan lagu Kisah Hati itu terpaksa membatalkan kesemua aktiviti nyanyiannya pada hari tersebut apabila mula rasa sakit perut yang teruk.

Kemudian, selepas membuat pemeriksaan di hospital berkenaan, Alyah terus ditahan oleh pihak hospital kerana penyakit yang dilalui penyanyi itu semakin serius.

"Sebenarnya Alyah tidak terfikir pun yang dia akan mengalami sakit Apendiks. Setelah melakukan ujian ultrabunyi baru dia tahu punca penyakitnya yang sebenar.

"Nasib baik dia cepat sedar akan penyakitnya itu, takut semakin melarat pula. Mengikut nasihat doktor dia mungkin boleh melakukan aktiviti seninya selepas dua minggu berehat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: