Friday, October 28, 2011

Rezeki Baharudin julang trofi BNKN


JUARA Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2011, Baharudin Bab (kiri) menerima replika cek daripada isteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Masnah Rais sambil diperhatikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


BUKAN mudah untuk memulihara muzik lama di negara ini agar terus dinikmati generasi muda. Atas usaha itu Radio Klasik Nasional dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menganjurkan pertandingan Juara Bintang Nostalgia Klasik Nasional (BNKN) 2011 buat kali kedua.

Selain mencari bakat baru yang mempunyai suara emas, pertandingan itu yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini, dilihat mampu meletakkan lagu-lagu lama yang popular dalam kelasnya tersendiri.

Memulakan sesi pencarian peserta seawal bulan Julai lalu, pertandingan ini akhirnya menyenaraikan 12 peserta akhir.

Ternyata tuah malam itu milik peserta dari Selangor, Baharudin Bab, 59, yang menyampaikan lagu Kerana Mata nyanyian asal Allahyarham R. Azmi.

Walaupun Baharudin terlupa lirik ketika menyampaikan lagu tersebut namun pengadil pada malam itu sebulat suara memilih Baharudin sebagai juara BNKN 2011.

"Mungkin disebabkan terlalu gementar, saya terlupa beberapa lirik dalam lagu tersebut.

"Bagaimanapun peluang bergelar juara hari ini memberi saya satu sebab lagi untuk terus memperjuangkan muzik lama di negara ini," katanya yang juga merupakan peserta paling tua di dalam pertandingan tersebut.

Berjaya membawa pulang RM7,000, pakej penerbangan dan penginapan tiga hari dua malam untuk dua orang ke Pulau Langkawi, Kedah, sijil penghargaan dan trofi, Baharudin mengimpikan untuk melahirkan sebuah album.

"Saya berharap pihak RTM boleh mengusahakan sesuatu agar kami bertiga boleh menghasilkan sebuah album khas sebagai menghargai kemenangan kami.

"Album itu bukanlah untuk bersaing dengan penyanyi muda kerana saya sedar, usia saya sudahpun menjangkau 59 tahun.

"Bagi saya, keyakinan perlu ada dan kerana itulah saya yakin ini merupakan permulaan awal buat saya untuk bertapak dalam industri hiburan tanah air," katanya.

Tempat kedua dimenangi peserta paling muda malam itu Mohd. Rizal Ahmad, 37, yang menyampaikan lagu Berdendang Sayang yang pernah dipopularkan oleh Ismail Ali Muda.

Dia membawa pulang hadiah RM5,000, pakej penginapan tiga hari dua malam untuk dua orang ke Pulau Perhentian, Terengganu, sijil penghargaan dan trofi.

Tempat ketiga, Mohd. Amaran Harun, 51, yang mempertaruhkan lagu Harapan Hanya Bayangan (M. Bakri), membawa pulang RM3,000, pakej percutian ke Pulau Kapas, sijil penghargaan dan trofi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: