Friday, October 28, 2011

Apa Tengok Tengok? cerita budak sekolah


IQBAL Mazlan (tiga dari kiri) dan Chomatt Samad (dua dari kiri) bersama para pelakon serta tenaga kerja di sebalik Apa Tengok Tengok? selepas pratonton filem itu di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


GEJALA sosial yang banyak berlaku ke atas para pelajar sekolah sejak kebelakangan ini memberi idea kepada penerbit produksi Venture Hills Film Production Sdn. Bhd., Susan Goh untuk menerbitkan filem pertamanya berjudul Apa Tengok Tengok?

Menurut Susan, dia berasa terpanggil untuk menerbitkan filem dengan kos produksi dan promosi mencecah RM1.4 juta itu kerana menganggap banyak cerita menarik tentang para pelajar yang boleh diketengahkan untuk dijadikan teladan.

"Filem secara tidak langsung boleh memberi kesedaran kepada orang ramai tentang banyak gejala sosial yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini. Ramai pelajar yang jiwanya memberontak kerana mahukan kebebasan dan keseronokan walaupun pada usia muda.

"Saya faham perasaan itu kerana saya juga mempunyai tiga anak yang sedang meningkat dewasa. Risiko golongan remaja ini juga ada di mana-mana. Pelajar perempuan misalnya, berasa takut kalau diculik, manakala pelajar lelaki pula sering terbabit dalam gejala merokok.

"Dalam hal ini, sekolah adalah model utama untuk para pelajar sama ada mereka boleh dibentuk atau sebaliknya," katanya sewaktu ditemui selepas pratonton Apa Tengok Tengok? di pawagam Cathay, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Filem yang kebanyakannya dilakonkan oleh para pelakon baru dengan durasi tayangan 100 minit dan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak semalam, merupakan filem terakhir seniwati Mahyon Ismail yang meninggal dunia pada 21 Mei lalu.

Antara pelakon baru yang ditampilkan dalam filem arahan Krishna Roy ialah Iqbal Mazlan, Pratip Baskaran, Chomatt Samad, Aaron Roa dan Grace selain pelakon berpengalaman, Datuk Jalaluddin Hassan.

Selaku pengarah Apa Tengok Tengok? Roy mengakui tiada masalah ketika menjalani penggambaran di sekitar Johor kerana mendapat kerjasama daripada semua pelakon.

"Sembilan puluh peratus gaya lakonan dalam filem ini dilakonkan atas idea setiap pelakon yang terbabit.

"Saya cuma mengadakan sedikit latihan terutamanya membabitkan adegan tarian. Walaupun mereka (pelakon) masih baru tetapi mereka berbakat besar.

"Selepas ini, mereka bukan lagi pelakon baru tetapi mampu mengembangkan bakat masing-masing dalam bidang lakonan. Apatah lagi, mereka masih remaja dan sesuai melakonkan watak pelajar sekolah mewakili generasi hari ini," ujarnya.

Iqmal Mazlan yang melakonkan watak Daniel berkata, dia tiada masalah melakonkan watak pelajar sekolah menengah.

"Dalam filem ini, walaupun terdapat pelajar yang nakal di sekolah tetapi ia diseimbangkan dengan watak murni guru seperti Cikgu Zaaba yang bersungguh mahu membentuk disiplin pelajarnya. Malah, dia menganggap pelajar seperti anaknya sendiri," jelasnya.

Chomatt Samad yang pertama kali diperkenalkan di layar perak turut sependapat dengan Iqbal di mana dia mendapati watak Shariff yang lakonannya banyak memberi peluang kepadanya membuktikan bakat serta keupayaannya sebagai pelakon baru.

"Saya rasa berbaloi berlakon dalam filem ini yang memberi saya banyak pengalaman. Pengarah filem ini banyak memberi tunjuk ajar kepada saya. Saya dapati ada keserasian antara watak lakonan saya dengan Iqbal dalam filem ini. Saya harap ini bukan filem pertama dan terakhir saya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: