Monday, October 3, 2011

Red Cube hab transaksi dalam talian


UNTUK memudahkan urusan, kiosk Red Cube bakal ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai.


MEMANG benar kebanyakan aktiviti dan perjalanan tugasan harian manusia hari ini lebih banyak dibantu oleh perkhidmatan secara dalam talian.

Sangat mudah, cepat dan menjimatkan. Itu gambaran tepat terhadap operasi komunikasi dan teknologi maklumat yang boleh dicapai di hujung jari pada bila-bila masa serta di mana-mana sahaja.

Apa yang menjadi keutamaan hanyalah seseorang pengguna itu perlu mempunyai peranti capaian sama ada komputer riba atau telefon bimbit pintar selain sambungan kepada akses Internet.

Namun, jika dilihat daripada skop yang lebih kecil, sebenarnya tidak semua individu mampu memiliki produk pengkomputeran sendiri dan juga melanggan perkhidmatan Internet secara peribadi.

Melihat keadaan itu, sebuah syarikat teknologi tempatan, Vigueur (M) Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif memperkenalkan kiosk perkhidmatan pelbagai guna dikenali sebagai Red Cube.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Aman Rasyidi Mohd. Noor, Red Cube mengetengahkan konsep kiosk pembayaran mudah pelbagai guna untuk transaksi seperti pembayaran bil, pembelian tiket penerbangan, insurans, tambah nilai dan sebagainya.

''Selain perkhidmatan utama berkenaan, kiosk ini turut menyokong beberapa lagi servis tambahan seperti pembelian tiket bas, kurier, penempahan hotel, pembayaran zakat dan memperbaharui lesen serta cukai jalan.

''Bagi pengguna yang tidak mempunyai akses dalam talian secara langsung, medium ini merupakan alternatif terbaik untuk mereka tanpa perlu beratur panjang bagi melakukan transaksi di kaunter-kaunter.

''Malah servis yang ditawarkan oleh Red Cube ini mampu dilaksanakan dalam masa nyata dan sangat pantas,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sesuatu yang unik mengenai Red Cube, setiap kiosk akan dipantau oleh seorang operator yang juga merupakan pemiliknya bertujuan membantu pengguna jika mereka berhadapan dengan sebarang masalah.

Bagi memudahkan pengguna mengakses perkhidmatan tersebut pula, ia bakal ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan seperti pusat membeli belah, pejabat kerajaan, universiti dan restoran.

Bercerita mengenai sistem Red Cube, Aman memberitahu, perisiannya telah dibangunkan sendiri menerusi kerjasama dengan syarikat teknologi bumiputera tempatan sejak Februari lalu dan siap selepas lima bulan.

''Sistem ini sangat mesra pengguna dan telus kerana disambungkan terus kepada portal pembayaran atau perbankan Internet pilihan pengguna.

''Untuk setiap transaksi normal, ia dianggarkan mengambil masa selama lebih kurang tiga minit.

''Selepas selesai transaksi pula, pengguna akan dibekalkan dengan resit yang mengandungi maklumat lengkap tentang pembayaran untuk rujukan,'' jelasnya.

Pada peringkat awal, Red Cube bakal menawarkan lebih daripada 40 jenis perkhidmatan merangkumi pembayaran bil utiliti, servis syarikat telekomunikasi, penerbangan, perkhidmatan kerajaan, insurans, hiburan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: