|
PERANCANGAN awal pasangan Siti Sunartye Mohd. Syam, 22, dan Mohd. Hafiez Ibrahim, 24, untuk mengadakan resepsi perkahwinan secara sederhana seperti pasangan lain bertukar menjadi satu majlis yang mendapat liputan luas.
Persandingan mereka bukan saja menjadi tatapan orang ramai sekitar Johor Bahru, malah setiap persiapan bagi menjayakan majlis perkahwinan mereka dirancang dan disiapkan sepenuhnya oleh penganjur.
Menerusi Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia anjuran Rakan Belia 4B (M) Johor dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. (NIPV) itu, Sunartye dan Hafiez menceduk pelbagai pengalaman berharga sepanjang majlis tersebut dilangsungkan selama empat hari.
Bermula dengan acara pernikahan beramai-ramai, tiga pasangan yang menyertai festival itu juga berpeluang mengadakan majlis berinai dan persandingan berkonsepkan tradisional Melayu Johor.
“Kebetulan festival ini dijalankan dalam tempoh rancangan perkahwinan kami, jadi secara tidak langsung ia menjimatkan kos.
“Kebiasaannya, majlis yang dibuat sendiri tidak memerlukan penglibatan keseluruhan pengantin kerana hampir semua persiapan dikendalikan keluarga dan sanak saudara, tetapi dalam majlis ini kami terlibat dari awal hingga akhir acara.
“Kami dapat belajar selok-belok sesuatu adat perkahwinan Melayu itu dijayakan dan tenaga juga dapat dijimatkan di samping memberi kelapangan kepada ahli keluarga terdekat,” ujar Sunartye yang mendapat sokongan sepenuhnya keluarga kedua-dua belah pihak bagi melangsungkan perkahwinnanya dalam festival itu.
Begitu juga dengan pasangan Wan Noor Wajiha Wan Mustapha, 24, dan Muhammad Firdaus Padzil, 28. Kedua-duanya turut menggalakkan agar lebih ramai orang awam menyertai festival itu pada masa akan datang.
Sepanjang empat hari itu, penginapan mereka ditaja. Walaupun jumlah tetamu bagi setiap pasangan terhad, ia tidak mengundang apa-apa masalah kerana kehadiran keluarga terdekat menjadi keutamaan.
Kemuncak festival
“Pakaian nikah dan bersanding termasuk solekan semua ditanggung penganjur, bukan itu sahaja kami turut dibawa menaiki kereta Proton Perdana secara konvoi di sekitar Johor Bahru sebelum tiba ke tempat persandingan.

“Pengalaman itu memang tidak akan dilupakan sampai bila-bila apatah lagi kami berpeluang bertemu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar ketika majlis resepsi Noraniza Idris,” ujar Wan Noor Wajiha yang akan mengadakan kenduri kesyukuran buat keluarga terdekat selepas majlis itu berakhir.
Kemuncak festival itu sudah tentu persandingan perdana penyanyi lagu-lagu irama Malaysia, Noraniza Idris, 43, dan Jeffri Hudi, 52. Mereka dibawa menaiki Proton Perdana Eksekutif diiringi 20 buah kereta perdana dari Kelab Proton Perdana Johor (Properd) dan 40 buah motosikal berkuasa tinggi oleh Johor Bikers.
Kemodenan hidup dan kecendurangan masyarakat hari ini mempraktikkan budaya Barat sedikit sebanyak menghakis budaya dan tradisi peninggalan nenek moyang yang sewajarnya dijaga sampai bila-bila.
Konteks perkahwinan berteraskan adat Melayu jua dilihat seperti sudah kehilangan identitinya apabila pelbagai upacara dan pengisian majlis penyatuan Adam dan Hawa itu rata-rata mengalami asimilasi Barat yang agak berlebihan.
Jarang sekali kita dapat melihat perkahwinan Melayu seperti adat berbalas pantun saat pengantin lelaki bertandang ke rumah pengantin perempuan, adat membayar ‘tol’ juga semakin karam berikutan peredaran zaman.
Namun, selama festival itu berlangsung di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor ia menyaksikan pelbagai aturcara berkaitan perkahwinan Melayu tradisional ditonjolkan menerusi demonstrasi dan juga secara langsung.
Pada majlis yang julung-julung kalinya dilaksanakan itu, istiadat perkahwinan dijalankan mengikut budaya Melayu Johor dan mendidik orang awam membezakan antara tuntutan agama dan adat ciptaan manusia.
Perkahwinan moden pula menyaksikan majlis diisi dengan montaj video pasangan meniti hari-hari perkenalan, perarakan pula diiringi kanak-kanak perempuan yang dipanggil flower girl menabur bunga sepanjang laluan pengantin ke pelamin.
Elemen Inggeris
Begitu juga dengan pemilihan busana. Sukar menemui mempelai yang rela menyarungkan pakaian raja sehari tradisional kerana bimbang dikatakan ketinggalan zaman. Hampir semua masyarakat Melayu kini selesa menempah busana moden elemen Inggeris.

Mungkin mentaliti masyarakat zaman ini lebih global dan tidak mahu terperangkap dalam adat lapuk yang dianggap membebankan menyebabkan adat perkahwinan tradisi semakin hilang keasliannya.
Kerjasama produksi Noraniza dan Belia 4B Johor yang disokong oleh Tourism Malaysia, Jabatan Diraja Johor, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan banyak lagi itu cuba menepis tanggapan itu dengan menekankan keindahan perkahwinan Melayu tradisional.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Johor, Syahrin Mad Jamaludin, 36, berkata antara tujuan festival itu diadakan adalah bagi memaparkan adat perkahwinan Melayu Johor yang begitu kuat dipengaruhi unsur-unsur Islamik seperti khatam al-Quran dan berzanji.
Dalam pada itu, ia turut diselitkan elemen-elemen budaya seperti majlis rewang yang menyaksikan muafakat orang ramai menyiapkan hidangan buat tetamu seperti yang dapat dilihat di kebanyakan kampung di seluruh negeri.
“Demonstrasi upacara merisik dan meminang dilakonkan semula bagi memberi kefahaman kepada orang ramai khususnya golongan belia akan makna di sebalik perkara-perkara itu.
“Sebagai gerakan belia, kami berharap agar festival sebegini dapat menarik minat anak-anak muda mempelajari adat dan budaya mereka yang semakin dilupai.
“Walaupun penganjuran kali pertama ini kurang mendapat penyertaan pasangan-pasangan pengantin, kami percaya lebih ramai anak muda akan memilih berkahwin dalam festival ini pada masa akan datang,” jelas Syahrin.
Memandangkan majlis tersebut memetik konsep 1Malaysia, pelbagai persoalan timbul adakah kaum-kaum lain dibenarkan menyertai majlis itu memandangkan fokus penganjur adalah terhadap perkahwinan Melayu sahaja.
Jelas Noraniza, perkahwinan kaum lain hanya dipaparkan menerusi demonstrasi sahaja tetapi pihak penganjur terbuka untuk menerima penyertaan kaum lain pada masa akan datang.
“Manfaat yang diterima kaum lain adalah mereka dapat merasai bagaimana adat perkahwinan kaum Melayu, tetapi ia tidak akan melibatkan pernikahan dan penyatuan mereka sebagai suami isteri boleh dilakukan secara berasingan mengikut agama masing-masing.
“Insyaallah tahun depan kita akan menjalankan majlis ini di dua negeri iaitu Johor dan Pahang, mengikut perancangan, festival akan datang akan melibatkan kerjasama jabatan agama negeri membabitkan kursus perkahwinan agar ia lebih menyeluruh,” ujar Noraniza yang yang bertindak selaku pengerusi festival.
Penutup festival itu diisi dengan Konsert Masyhur 1Malaysia menyaksikan persembahan lagu-lagu tradisional oleh Noraniza sendiri serta pertandingan nyanyian yang disertai empat finalis bagi merebut hadiah wang tunai RM3,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: