Monday, October 10, 2011

Pusingan 'U' dua kilometer

PENDUDUK Kampung Sungai Danga minta bina terowong dan bukan  jejantas di Lebuh Raya Pesisir Pantai.
PENDUDUK Kampung Sungai Danga minta bina terowong dan bukan jejantas di Lebuh Raya Pesisir Pantai.
Penduduk Sungai Danga minta terowong Lebuh Raya Pesisir Pantai

JOHOR BAHRU: Kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Sungai Danga, di sini, terpaksa memandu hampir dua kilometer untuk membuat pusingan balik atau pusingan 'U' berikutan Lebuh Raya Pesisir Pantai yang baru disiapkan di kawasan berkenaan tidak mempunyai terowong bagi memudahkan mereka melintas jalan.
Peniaga, Isa Omar, 46, berkata kedudukan jejantas yang dibina pemaju di laluan lebuh raya itu tidak dapat dimanfaatkan penduduk berikutan ibu bapa perlu membuat pusingan U sebelum dapat menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama berdekatan.
“Sebelum ini, penduduk keluar masuk ke kawasan kampung tanpa perlu memandu jauh berikutan tiada besi penghadang lebuh raya, malah ibu bapa sendiri tidak perlu membuat pusingan U semata-mata mahu menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Sungai Danga, dekat sini.

“Masalah ini turut dihadapi warga tua kerana perlu menaiki motosikal lebih jauh selain menyukarkan mereka yang tidak mempunyai lesen memandu untuk ke masjid di seberang jalan selain tidak mahu menggunakan jejantas yang jauh dan memenatkan," katanya.

Selain itu, katanya pernah beberapa kali kemalangan berlaku kerana arahan papan tanda tidak begitu jelas selain banyak lorong ke kawasan perkampungan dibuka sehala hingga menyebabkan pengusaha makanan kehilangan pelanggan kerana perlu menempuh perjalanan lebih jauh.

Pengusaha makanan ringan, Jamil Darja, 52, berkata penduduk bukan mahu menolak pembangunan, tetapi pemaju seharusnya memikirkan penyelesaian kepada masalah berkenaan yang mengundang rasa tidak puas hati penduduk.
“Kami berasa kecewa apabila perlu berdepan masalah selepas projek disiapkan dan ia membabitkan projek kerajaan negeri. Malah, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang melawat kawasan sebelum ini berjanji akan membawa perkara ini ke peringkat atasan.

“Kebiasaannya pada sebelah malam, saya bersama anak menyertai rakan bermain badminton, tetapi sekarang ia jarang dilakukan kerana sukar ke gelanggang selepas jalan utama di sini ditutup," katanya.

Katanya, penduduk hanya menuntut supaya jalan ini dibina terowong atau disediakan lampu isyarat bagi mengawal lalu lintas dan membolehkan pengguna menyeberangi jalan tanpa risiko dilanggar kenderaan dipandu laju.

“Kita tidak menahan orang ramai daripada melintas jalan walaupun sedar ramai memandu memandu laju menuju ke persimpangan Taman Perling dan Nusajaya kerana jalannya lurus dan laluan lebuh raya ini dapat mengelak bayaran tol di Tol Perling," katanya.

Jalan raya sejauh 15km menghubungkan Kota Iskandar, Nusajaya itu dibina dengan kemudahan tiga lorong sehala dikendalikan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bermula di di persimpangan bertingkat Jalan Tun Abdul Razak.

Sementara itu, harapan penduduk Sungai Danga mendapatkan terowong bagi melintasi Lebuhraya Pesisir Pantai, di sini, mungkin tidak kesampaian kerana pembinaan infrastruktur terbabit dianggap tidak sesuai berikutan membabitkan tambahan kos yang tinggi.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Ismail Ibrahim, berkata pihaknya mengambil berat desakan penduduk mendapatkan terowong itu tetapi pembinaannya itu terpaksa digantikan dengan jejantas kerana membabitkan kos yang tinggi.

“Kita terpaksa menggantikannya dengan jejantas kerana pembinaan terowong bukan hanya membabitkan kos tinggi tetapi turut memerlukan peruntukan tanah tambahan daripada penduduk sedangkan projek ini bakal siap sepenuhnya pada Disember ini.

“Pihak IRDA sudah membina satu persimpangan U dengan jarak 800 meter saja dari kampung, justeru tidak timbul masalah kerana ia tidak membabitkan jarak yang jauh," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: