Monday, October 10, 2011

Bimbang lubuk ikan musnah

HASHIM menunjukkan kawasan projek pembinaan chalet terapung yang didakwa boleh menyebabkan kerosakan kawasan pembiakan ikan di perairan Teluk Kemang.
HASHIM menunjukkan kawasan projek pembinaan chalet terapung yang didakwa boleh menyebabkan kerosakan kawasan pembiakan ikan di perairan Teluk Kemang.
Kedudukan projek chalet terapung dikatakan hampir batu karang

PORT DICKSON: Kira-kira 100 nelayan yang mencari rezeki di perairan Teluk Kemang di sini, bimbang projek pembinaan chalet terapung berhampiran pekan Sungai Menyala di sini, bakal mengakibatkan kemusnahan kawasan pembiakan ikan utama di situ.
Mereka mendakwa, walaupun tidak dibina di atas batu karang, kedudukan projek itu agak hampir dan boleh menyebabkan kerosakan ekosistem pembiakan ikan di kawasan berkenaan.
Nordin Awang, 56, berkata nelayan mempertikaikan kelulusan projek membina chalet terapung di kawasan itu sedangkan nelayan sendiri tidak dibenarkan menangkap ikan di situ.

“Jika kami yang hanya menaiki sampan tidak dibenarkan menangkap ikan di situ, bagaimana satu projek berskala besar di atas air yang jelas memerlukan sokongan struktur kukuh di dasar boleh diluluskan.

“Kami bimbang, projek ini akan menjejaskan sumber rezeki nelayan di kawasan ini kerana ikan tidak lagi mempunyai tempat pembiakan yang sesuai, " katanya kepada Berita Harian di sini.

Beliau turut mendakwa pemaju tidak berbincang dengan semua nelayan terbabit serta memberi pampasan kepada mereka walaupun projek itu dimulakan sejak 1 Ogos lalu.
Nelayan, Hashim Mahat, 49, mendakwa berdasarkan sejarah lalu pembinaan membabitkan kawasan laut di sepanjang pantai bandar ini menyebabkan jumlah tangkapan nelayan Teluk Kemang akan berkurangan.

“Pemaju perlu memberi pampasan kepada semua nelayan kawasan Teluk Kemang yang mengharapkan ikan dari kawasan itu dan bukan hanya nelayan dari pangkalan paling hampir dengan tapak projek," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, projek terbabit tidak menjejaskan kawasan pembiakan ikan, sebaliknya akan membantu proses itu.

“Untuk jangka panjang, struktur cerucuk chalet terapung akan menjadi kawasan karang baru dan ini memperluaskan kawasan pembiakan ikan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa memantau rapi aktiviti pembinaan projek itu bagi memastikan tiada pencemaran atau keadaan yang boleh menjejaskan ekosistem laut.

Mengenai larangan menangkap ikan di kawasan itu, katanya, peraturan itu dibuat bagi membolehkan ikan yang membiak membesar sebelum keluar dari situ.

Sementara itu, wakil syarikat pemaju yang enggan namanya disiarkan, mendakwa pihaknya sudah mengadakan dialog dengan nelayan terbabit sebelum ini.

“Bagaimanapun, kami diberitahu tidak semua nelayan dipanggil, namun ia bukan salah kami," katanya yang enggan mengulas mengenai pampasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: