Syed Zainal Abidin
PERJANJIAN persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Proton Holdings Bhd dengan Nissan Motor Company Ltd Mac lalu bagi kemungkinan penggunaan platform serta enjin yang dimajukan pengeluar automotif ketiga terbesar dunia itu untuk model generasi akan datang Proton sudah ditamatkan.
Katanya, dengan penamatan MoU itu, PROTON tidak akan menggunakan atau menerapkan teknologi dan kepakaran pembuatan Nissan bagi mengeluarkan kenderaan generasi akan datangnya.
“Tempoh MoU itu telah tamat, dan kedua-dua pihak membuat keputusan untuk tidak meneruskan lagi sebarang perbincangan mengenainya kerana buat masa ini rancangan dan hala tuju dari segi pembangunan kenderaan generasi akan datang antara Proton dan Nissan adalah berlainan,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
Proton dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia selepas memeterai MoU dengan syarikat automotif berpangkalan di Nishi-ku, Yokohama, Jepun itu sebelum ini berkata, menerusinya ia akan membuka jalan ke arah kajian daya maju bagi kerjasama khusus antara kedua-dua pihak, termasuk potensi penggunaan platform dan 'powertrain' Nissan.
Powertrain merujuk kepada rangkaian kuasa atau kumpulan mekanisme termasuk kotak gear yang berfungsi memindahkan gerakan putaran dari enjin ke roda kereta.
Pengeluar kenderaan nasional itu berkata, tempoh bagi kajian daya maju itu bermula daripada tarikh pemeteraian MoU berkenaan sehingga 30 April lalu, atau sehingga satu perjanjian muktamad dimeterai, yang mana terlebih dulu, kecuali ia dilanjutkan atas persetujuan bersama.
Pada waktu itu, Proton berkata, kajian berkenaan akan menumpukan hanya kepada perkongsian teknologi bagi meningkatkan daya saing global, sekali gus berupaya mengurangkan kos dan masa bagi pembangunan produk baru serta menyediakan fleksibiliti dari segi pengeluaran pelbagai model menggunakan set komponen yang sama.
Hubungan antara Proton dan Nissan terbentuk susulan pengambilalihan kepentingan dalam Renault F1 Team oleh Group Lotus plc, daripada Nissan yang dimuktamadkan Disember tahun lalu.
Penganalisis sebelum ini menyifatkan menerusi pengambilalihan itu, selain membuka laluan bagi Proton terbabit dalam perlumbaan Formula Satu, turut membantu mengetengahkan beberapa program kerjasama baru lain antara Proton dan Nissan, dan model penggantian Perdana mungkin menjadi titik permulaan kerjasama antara kedua-dua pengeluar kereta berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: