
Menurut Muhamad Rafi Kori dari Kembara Outdoor Centre yang juga ahli Persatuan Kembara Negara (PKN), antara objektif perlumbaan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu itu adalah bagi memenuhi kalendar pelancongan negerit, sekali gus memperkenalkan destinasi menarik di negeri berkenaan kepada pengunjung dalam dan luar negara.
Beliau berkata, misi itu mencapai sasaran apabila perlumbaan yang diadakan itu berjaya menarik penyertaan peserta dari luar negara.
Katanya, sebanyak 15 peserta dari negara Kenya menyertai larian yang menjadikan laluan ke puncak Gunung Berembun yang terletak pada ketinggian 1,108 meter dari paras laut (dpl) itu sebagai trek perlumbaan.
"Perlumbaan ini juga diadakan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda melalui aktiviti sukan dan rekreasi.
"Selain itu, ia turut mengajak remaja dan belia mengisi aktiviti yang berfaedah dan sihat yang boleh mencegah mereka daripada terjebak dalam gejala sosial," katanya kepada S3.
Dinamakan Mount Berembun Green Challenge 2011, acara sukan lasak itu berjaya menghimpunkan seramai 274 peserta dari dalam dan luar negara.
Kesemua mereka begitu bersemangat untuk menyahut cabaran perlumbaan ke puncak Gunung Berembun yang kaya dengan khazanah flora dan fauna, selain memiliki air terjun yang cantik.
Kesemua keindahan itu boleh dilihat sepanjang laluan mendaki ke puncak gunung yang menjadi tumpuan para pendaki dari seluruh negara pada hujung minggu itu.
Dalam perlumbaan lasak ini, Muhamad Rafi menjelaskan, para peserta diletakkan dalam kategori berbeza iaitu terbuka lelaki, terbuka wanita, tertutup lelaki, tertutup wanita dan veteran.
Mereka berlumba untuk merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM22,700 termasuk hamper dan sijil.
Para peserta dari negara Kenya nampaknya menguasai perlumbaan apabila membolot kesemua hadiah utama bagi kategori terbuka lelaki. Manakala dua peserta wanita dari negara itu pula membawa pulang hadiah kedua dan ketiga bagi kategori terbuka wanita.
Rakan penaja bagi acara perlumbaan ini adalah 100 Plus, Powerbar, Nestle, Fitness, Corezone, Mumtaz Murad Ali, Oplex Communication, WTA Travel, Hotel Primula, Mayang Sari Resort, Nor Arfa Batik dan TADC.
Mengulas lanjut, katanya, bagi memeriahkan acara larian gunung itu, beberapa program sampingan diadakan seperti pameran oleh Jabatan Perhutanan, Ketengah, AADK, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Belia dan Sukan.
"Antara aktiviti yang diadakan adalah pemeriksaan kesihatan, pertandingan mewarna lukisan & tong sampah sempena Kempen 1MG 1MC dan gotong royong membersih hutan lipur," tambahnya.
Majlis perasmian perlumbaan telah disempurnakan oleh Datuk Abdul Rahin Mohd Said, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, manakala majlis penutup dilakukan oleh ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: