Monday, October 10, 2011

Pereka muda fesyen Muslimah


KREATIVITI pereka tempatan menyerlah dalam rekaan muslimah ini.


HALAL Fiesta Malaysia (Halfest) 2011 yang julung-julung kali diadakan di negara ini bakal menyaksikan pereka-pereka fesyen tempatan berentap di pentas peragaan dengan membawakan rekaan-rekaan berkonsepkan Muslimah.

Menurut pengasas Young Designers Arena (YODA), Baizura Tazri, YODA adalah penganjur persembahan fesyen Muslimah Halfest yang akan mengetengahkan para pereka fesyen tempatan bagi memperkenalkan rekaan-rekaan terkini mereka.

“Persembahan fesyen akan diadakan pada 15 Oktober nanti bertema Modesty in Style dan para pereka yang terdiri daripada pereka YODA dan pereka muslimah lain akan mempersembahkan 10 rekaan terkini mereka mengikut tema yang ditetapkan.

“Pertandingan ini diadakan bagi menggalakkan para pereka muda menonjolkan bakat mereka dan idea-idea baharu yang dapat memberikan inspirasi kepada kita semua,” katanya pada majlis memperkenalkan pereka-pereka untuk Halfest di Menara Maple, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Baizura, pertandingan fesyen tersebut bakal diadili oleh panel-panel hakim yang berpengalaman dalam bidang fesyen dan tiga pemenang bakal diumumkan selepas persembahan fesyen berakhir.

“Pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 termasuk sijil penghargaan, manakala pemenang kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000 serta sijil penghargaan,” ujarnya.

Baizura memberitahu, pihaknya juga berbangga dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada persembahan fesyen itu nanti.

“Dengan kehadiran beliau, saya harap acara ini akan mendapat lebih sokongan daripada orang awam dan syarikat korporat bagi memastikan acara ini mencapai objektifnya dan mempunyai kesan jangka panjang,” jelas Baizura.

Halfest bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 12 Oktober ini sehingga 16 Oktober, manakala pameran bermula jam 10 pagi sehingga 7 malam selama lima hari.

Harga untuk sebuah gerai pameran adalah RM4,500 untuk lima hari dan pihak penganjur membuka peluang untuk semua pereka fesyen Muslimah di negara ini untuk mengambil bahagian.

Acara tersebut merupakan anjuran Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC) dan disokong oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Peranan YODA adalah bagi menyalakan semangat keusahawanan dalam kalangan pereka fesyen di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: