![]() |
| YEE FUNG menunjukkan produk penyelidikannya yang berjaya menarik perhatian juri di Jepun. |
BERMULA dengan idea kreatif, seorang penyelidik muda Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan serat makanan menerusi bahan sisa buangan pertanian yang dapat membantu dalam penjagaan kesihatan.
Hasil penyelidikan Wai Yee Fung, 23, dari Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) itu membuahkan satu penciptaan yang inovatif apabila mengungguli Anugerah Saintis Muda sempena Persidangan Asia keenam mengenai Bakteria Asid Laktik (ACLAB6) di Sapporo, Jepun baru-baru ini.
Pertandingan itu disertai kira-kira 3,000 peserta termasuk pembentang kertas kerja dari pelbagai disiplin ilmu termasuk bakterialogi, mikrobiologi gunaan, mikologi dan virologi.
Menurut Yee Fung yang merupakan pelajar tahun akhir PPTI, bahan itu dihasilkan dengan menggunakan sisa buangan pertanian seperti hampas beras, jagung, gandum dan sisa soya.
Katanya, penyelidikan itu berupaya memberi manfaat kepada penjagaan kesihatan usus, merendahkan tahap kolesterol, mengekalkan sistem penghadaman selain mencegah obesiti dan penyakit kencing manis.
“Serat daripada sisa pertanian melalui kaedah pengkapsulan nano ini menjadi bakteria baik dan dapat digunakan dalam produk penghasilan kesihatan dalam melindungi bakteria baik dalam badan.
“Ia tidak mempunyai rasa, namun boleh dijadikan bahan campuran seperti biskut dan mi bagi membantu penjagaan kesihatan selain dapat mengimbangkan kuantiti bateria dalam badan manusia,” katanya kepada pemberita di USM baru-baru ini.
Kajian yang bermula pada tahun 2009 dengan geran penyelidikan USM berjumlah RM100,000 dan Dana Loreal of Women In Science sebanyak RM20,000.
Rangkul tiga emas
Selain itu, para penyelidik USM turut mempamerkan kecemerlangan mereka apabila berjaya merangkul tiga pingat emas dalam Pertandingan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2011 yang berlangsung di Kuala Lumpur September lalu.
Penyelidik berkenaan, Profesor Zainal Arifin Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral menyumbang emas melalui produk penyelidikan kategori Sains Gunaan.
Selain beliau, dua lagi pingat emas disumbangkan oleh Profesor Madya Kamal Zuhairi Zamli menerusi produk xGTWay dan Profesor Madya Cheong Kuan Yew dengan produknya, Chemical Vapor Growth of Nanowires.
Turut mengungguli malam anugerah tersebut ialah Profesor Madya Dr. Azizi Bahauddin menerusi rekaan tapak pameran yang berjaya merangkul Pempamer Terbaik.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: